AKADEMIK
AKADEMIK
Sebagai Pusat Latihan terulung Polis Diraja Malaysia, pendekatan latihan turut merangkumi aspek akademik di mana para pelatih Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) akan didedahkan dengan silibus undang-undang.
Antara silibus undang-undang yang diajarkan kepada pelatih PLAK ialah Kanun Keseksaan, Undang-undang Am, Kanun Tatacara Jenayah, Akta Polis, Akta Keterangan serta Perbendaharaan Negara. Setiap akta ini perlu dikuasai oleh Pelatih dan Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagi memastikan para Pelatih cukup bersedia untuk bertugas di lapangan, ujian penilaian akan dilaksanakan di akhir sesi pembelajaran.
Adalah menjadi hasrat pucuk pimpinan PDRM dalam memastikan produk PLAK yang dikeluarkan sentiasa relevan dan kompeten.
FIZIKAL
Teras utama dalam Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) ialah berkaitan latihan fizikal. Dalam memastikan transformasi diri Pelatih daripada Orang Awam kepada Penjawat Awam PDRM, latihan kawad merupakan silibus wajib dikuasai.
Ianya mampu membentuk sahsiah, jatidiri baharu serta asas disiplin para Pelatih. Turut diselitkan latihan fizikal kecergasan seperti Ujian Larian Bermasa, Seni Mempertahankan Diri, Latihan Menembak serta Latihan Renang.
Kesemua silibus yang dirancang secara terperinci ini mampu mempersiapkan para Pelatih untuk menjadi seorang Pegawai Polis yang berdaya saing dan aktif.
KEROHANIAN
Keseimbangan rohani dan jasmani amatlah penting dalam melahirkan Pegawai dan Anggota yang berintegriti tinggi.
Kelas-kelas kerohanian turut diwujudkan sepanjang latihan, dengan objektif agar Pelatih dapat menguasai secara holistik nilai-nilai murni dan keperibadian terpuji.
Kestabilan dan keteguhan sebuah organisasi bergantung kepada kekuatan jati diri keanggotaannya dan konsep sebegini diserapkan dalam latihan secara terancang agar pelatih tidak lalai dengan cabaran semasa dan sentiasa mempamerkan potensi diri tanpa meminggirkan keperluan rohani, jasmani serta keperluan duniawi dan ukhrawi