NOTA KOMANDAN
NOTA KOMANDAN
SAC KAMAL FAIZUL BIN MOHD ZAIN
KOMANDAN PULAPOL KL
Selamat Datang ke Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur
Sejarah tertubuhnya Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur bermula pada tahun 1904, di mana lokasi asalnya ialah di Bluff Road, yang kini merupakan Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman. Mula beroperasi pada tahun berikutnya dengan kemasukan seramai 426 orang pelatih terdiri dari 207 pelatih berbangsa melayu dan 219 pelatih berbangsa India.
Setelah lebih 20 tahun beroperasi, pusat latihan tersebut tidak lagi mampu menampung pengambilan pelatih baru memandangkan kawasannya yang terhad. Maka pada bulan Oktober 1940, secara rasminya pusat latihan tersebut dipindahkan ke Pusat Latihan Polis Jalan Gurney. Semasa pemerintahan Jepun pada tahun 1941, pusat latihan ini telah dijadikan Markas Kempitai Jepun sehingga tahun 1945. Selepas Jepun menyerah kalah, D. P Macmara, seorang pegawai berbangsa British telah dilantik selaku Komandan pertama pusat latihan ini.
Pada tahun 1957, apabila negara mencapai kemerdekaan, Tuan Merican Sutan merupakan anak melayu pertama dilantik sebagai Komandan sehingga tahun 1959. Sehingga kini seramai 45 Komandan telah menerajui tampok kepimpinan pusat latihan ini. Berkeluasan 42 hektar, pusat latihan ini mampu menampung sehingga 2000 pelatih dalam satu-satu masa.
Fungsi utama pusat latihan ini adalah mengendalikan latihan asas kepolisan bagi Pegawai Kanan dan Pegawai Rendah Polis termasuk menganjurkan lain-lain kursus lanjutan.
Bagi memastikan setiap kursus yang dijalankan mampu mencapai objektif yang ditetapkan, elemen di dalam PULAPOL Kuala Lumpur secara holistiknya sentiasa komited memberikan yang terbaik. Menjadikan modul latihan sebagai panduan pengetahuan dan pengalaman sebagai rujukan, ianya merupakan asas utama dalam melahirkan pegawai dan anggota PDRM yang cekap dan berdaya saing selari dengan motto 'Genesis of Police Excellence' sebagai titik permulaan kecemerlangan PDRM di bawah kibaran Sang Saka Biru.