Masyarakat Rungus atau dikenali juga sebagai etnik Momogun boleh ditemui di bahagian utara Borneo. Bahagian utara Borneo ini meliputi daerah Kudat, Matunggong, Kota Marudu, Pitas, termasuk Banggi dan sebahagiannya di Sandakan.
Peta Sabah
Daerah Kudat terletak di utara negeri Sabah, iaitu kira-kira 190 kilometer dari Kota Kinabalu dan pernah menjadi ibu negeri bagi North Borneo (Sabah) dari 17 Disember 1881 hingga 1884.
Peta Kudat
Di barat Kudat ialah Laut China Selatan dan di timur Kudat menghadap Laut Sulu. Kudat terletak pada garis lintang 6°55’ utara, garis bujur 116°50’ timur. Nama Kudat berasal daripada dua legenda tempatan iaitu “KUTAD” yang bermaksud “Rumput Lalang” dalam suku kaum terawal di daerah Kudat, iaitu Rungus dalam rumpun Kadazan Dusun (asalnya Momogun tetapi atas kepentingan politik, Kadazandusun telah digunakan).
Masyarakat Rungus dikenali dalam sejarah sebagai penduduk terawal di negeri Sabah. Mereka telah berhijrah dan bertapak di Borneo ini lebih kurang 5,000 tahun dahulu. Suku kaum ini dipercayai perintis kepada penghijrahan beramai-ramai ke selatan dari negeri China dan Tibet menerusi Tanah Besar Asia Tenggara dan seterusnya ke Semenanjung Tanah Melayu hingga ke Kepulauan Indonesia, termasuk Borneo (Raymond Majumah, 2014).