Seni manik dikenali sebagai kraf tangan yang menampilkan pelbagai variasi bentuk, corak dan motif. Keunikan manik masyarakat Rungus di Kudat, Sabah menampilkan motif bersumberkan alam. Motif ini penuh simbolik dan menterjemahkan cerita masyarakatnya. Kraf tangan ini dikenali sebagai perusahaan berbentuk kerja seni dan daya cipta yang memerlukan kemahiran tangan (Kamus Dewan, 2000: 55). Lazimnya, kraf tangan ini disifatkan sebagai barangan kemahiran yang melibatkan pemikiran dan peralatan mudah atau tanpa menggunakan alat. Kerja kraf ini dijalankan secara sendiri atau tidak langsung (Akta 222, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia 1979).
Melalui sejarah peradaban manusia kita dapat lihat, penggunaan kerang, biji-biji tumbuhan, batu dan bahagian binatang seperti tulang dan kulit sudah sinonim dengan peralatan harian mahupun perhiasan. Hasil seni atau perhiasan tersebut biasanya dikat pada leher mahupun anggota badan lain. Manik didapati wujud sebelum 40 000 tahun sebelum masihi lagi. Penemuan manik di Gua La Quina di Perancis merupakan penemuan manik pertama yang diperbuat daripada tulang dan gigi binatang. Berdasarkan sejarah, manik berkembang melalui peradaban besar dunia iaitu; Mesir, Rom, India dan Cina.
Manik merupakan sejenis objek kecil yang berlubang di tengahnya dan mempunyai pelbagai bentuk. Lubang pada manik adalah tempat untuk memasukkan benang atau tapi dan dirangkai menjadi untaian rantai, gelang mahupun eksesori lainnya. Kecantikkan atau keunikan manik selalunya bergantung dengan bahan, bentuk, warna dan yang paling penting teknik pembuatan manik tersebut. Tradisionalnya, manik diperbuat daripada tumbuhan seperti kayu atau biji buah, haiwan iaitu tulang ataupun gigi, kaca dan bahan-bahan lain seperti tanah liat, mutiara atau permata. Kini, manik banyak dibuat daripada plastik dan logam. Seorang ahli manik dari Amerika, Peter Francis Jr. (1989) mengatakan “Manik adalah benda indah. Setiap butir merupakan karya seni kecil. Sesungguhnya manik adalah bentuk seni pertama yang dikenal di manapun. Semua orang menggemarinya: tidak ada yang tidak menggunakannya!”
Awal penggunaan manik dalam masyarakat Rungus umumnya tidak meluas dan hanya dimiliki oleh individu yang berkemampuan. Hal ini disebabkan oleh harga manik yang mahal dan susah didapati.
Pinakol merujuk kepada hiasan gubahan manik yang dipadanan dengan pakaian masyarakat Rungus di Kudat. Gubahan manik pinakol telah diwariskan secara turun-temurun dalam kalangan masyarakat Rungus Kudat. Pinakol ialah objek budaya yang bermakna dalam kehidupan. Oleh itu, seni kraf ini merupakan warisan pusaka masyarakat Rungus yang mesti diturunkan kepada anak-anak perempuan.
Pinakol terdiri daripada sepasang aksesori jenis selempang yang diperbuat daripada manik leper. Pinakol biasanya dipakai secara melintang pada dada hingga ke belakang bagi kegunaan hiasan umum. Selain itu, pinakol juga sering diperagakan pada majlis perkahwinan.
Warna yang digunakan dan reka bentuknya dapat membezakan masyarakat Rungus dengan etnik lain di Sabah dengan mudah. Lambang dan identiti etnik Rungus secara tidak langsung dipaparkan pada motif atau reka corak melalui barangan kraf tangan mahupun pakaian.
Hal ini memberi gambaran bahawa terdapat penceritaan disebalik sesuatu motif yang dihasilkan. Masyarakat Rungus di Sabah mempunyai lambang warisan budaya tersendiri. Hal ini dapat dilihat kaitannya dengan kepelbagaian adat serta budaya yang unik dan mempesonakan.