Pelbagai hiasan daripada manik diperagakan dalam pakaian etnik Rungus. Hiasan yang amat dominan dipakai secara bersilang pada badan dipanggil pinakol. Selain itu, manik turut diperaga pada togkol (Gabungan manik carnelian, kaca dan cangkerang yang dijadikan kalung), arad dan inggot (Anyaman manik yang dipakai pada bahagian leher) pada bahagian leher serta tinimbuku atau titimbok (sanggul) pada bahagian kepala.
Variasi Rantai Manik Rungus
Togkol
Kalung Manik Rungus
Perhiasan kepala
Dipercayai bahawa seni pinakol menjadi pusaka daripada ibu kepada anak perempuan. Pembuatannya memerlukan kemahiran mencantum manik yang tinggi seperti teknik ikatan dan jahitan. Harga aksesori ini mampu mencecah ratusan ringgit kerana keunikan susunan maniknya dan motif yang menarik. Pada masa kini, pembuatannya berkembang pesat dan lebih kreatif dengan transformasi warna serta ragam hias yang pelbagai.
Secara tradisinya, pembuatan manik pinakol adalah terhad disebabkan faktor bilangan manik yang sedikit dan agak susah diperoleh. Manik diperoleh melalui pertukaran barang di antara pedagang China mahupun Brunei dengan masyarakat tempatan pada zaman dahulu.
Pinakol dipercayai mempunyai semangat (spiritual) yang datangnya daripada roh nenek moyang mereka. Lazimnya, pinakol diperturunkan kepada waris perempuan kerana dikaitkan dengan kecantikan. Oleh itu, anak perempuan harus mempelajari serta menjaga aksesori ini dengan baik dan ditegah menghilangkannya.
Motif yang dihasilkan lebih cenderung kepada kehidupan masyarakat Rungus pada ketika itu. Mereka menterjemahkan kisah yang telah berlaku melalui reka corak yang dihasilkan dalam pinakol.
Motif-motif ini dapat dikategorikan kepada empat jenis iaitu berbentuk
manusia,
senjata,
binatang seperti cicak, biawak, katak atau ular,
serta bersumberkan tumbuh-tumbuhan daripada spesies bunga, rotan dan rebung.
Penggunaan warna-warna terang seperti hitam, kuning, merah dan putih menjadikan corak pinakol lebih tersusun. Pembuatan manik yang berselang-seli menghasilkan bentuk geometri agar nampak pemisah di antara motif-motif tersebut.
Warna hitam lazim digunakan sebagai latar motif dalam seni manik. Warna ini selalunya dikaitkan dengan upacara spiritual. Hal ini demikian kerana hitam melambangkan kekuasaan atau warna ketuhanan. Warna hitam juga dipercayai dapat melindungi si pemakai daripada makhluk halus yang jahat. Puan Molatak menjelaskan bahawa penggunaan warna hitam adalah disesuaikan dengan cara hidup dan keadaan semula jadi pada ketika itu. Pinakol dan pakaian mereka turut mengandungi warna merah, putih dan kuning sebagai gambaran kepada keceriaan dan kecantikan.
Masyarakat Rungus khasnya mengekspresikan bentuk-bentuk alam di sekelilingnya melalui motif pakaian mahupun aksesori seharian. Pinakol terbina daripada untaian manik yang dianyam atau diikat berdasarkan motif yang sangat menarik. Motif yang direka mempunyai cerita di sebaliknya dan memberi pengajaran kepada masyarakat itu sendiri.
Motif berupa manusia iaitu lelaki bermaksud pahlawan.
Masyarakat Rungus menggambarkan tiningulun sebagai pahlawan lelaki Rungus pada zaman dahulu.
Menurut Puan Molatak yang telah ditemu bual, motif ini dicipta berdasarkan kisah pahlawan (tiningulun) yang gagah menentang musuh dan berjaya memiliki gadis cantik (vinusak) lalu mereka berkahwin.
Motif ini berupa tombak, bermaksud senjata ianya diambil daripada senjata yang dipanggil Tompuling dalam Bahasa rungus.
Tompuling merupakan senjata iaitu tombak ikan. Tombak banyak digunakan kerana kehidupan kaum rungus berhampiran dengan pesisir sungai. Aktiviti harian yang dilakukan adalah menangkap ikan untuk dijadikan sumber makanan.
Bagaimanapun, ada juga yang mengatakannya senjata anak panah kerana pada zaman dahulu masyarakat dikaitkan dengan kegiatan berburu di hutan untuk mendapatkan bekalan makanan.
Motif ini berupa haiwan yang berspesies reptilia seperti bengkarung ianya diambil daripada perkataan Tugarang.
Tinugarang adalah motif bersumberkan binatang yang berbentuk seperti cicak. Binatang ini dipercayai tinggal di celah-celah batu sungai dan mempunyai bisa.
Puan Molatak menggambarkan tinugarang sebagai manusia yang dianggap bukan bangsa Rungus. Menurut beliau, tiningulun (lelaki Rungus) dan tinugarang (seorang lelaki yang berbangsa selain Rungus) bermusuhan kerana ingin merebut vinusak (seorang gadis yang cantik). Maka, berlaku pergaduhan di antara mereka dan akhirnya tinugarang terbunuh akibat ditikam menggunakan inompuling (senjata) oleh tiningulun.
Motif ini berupa bunga perkataan tersebut diambil daripata kata Vusak yang bererti bunga.
Vinusak merupakan tumbuhan berasaskan bunga di hutan. Masyarakat Rungus mengibaratkan vinusak dengan gadis cantik yang bersopan-santun.
Motif manik yang dominan dalam pinakol seperti vinusak melambangkan wanita cantik dan tiningulung iaitu pahlawan Rungus. Inugarang pula berbentuk haiwan reptilia yang melambangkan lelaki daripada bangsa lain, manakala inompuling motif yang berunsurkan senjata. Keempat-empat motif ini dihasilkan untuk menerangkan secara ringkas kepada masyarakat tentang cerita rakyat yang kononnya pernah berlaku dahulu. Mereka mengaplikasikan cerita melalui motif bentuk alam. Disebabkan bentuk motif yang agak abstrak, maka masyarakat generasi muda tidak mengetahui maksud di sebalik motif tersebut. Sifat ingin tahu yang tinggi perlu diterapkan dalam jiwa generasi sekarang agar masyarakat Rungus lebih menghargai peninggalan warisan nenek moyang mereka.