Jawatankuasa Projek Pelajar
JABATAN KEJURUTERAAN ELEKTRIK, POLITEKNIK MERLIMAU, MELAKA
JABATAN KEJURUTERAAN ELEKTRIK, POLITEKNIK MERLIMAU, MELAKA
35th Electrical Engineering Design & Innovation Awards
Tarikh Saringan : 27 Oktober 2025 (Isnin) di JKE, Politeknik Merlimau
Tarikh Pertandingan : 6 November 2025 (Khamis) di Dewan Platinum , Politeknik Merlimau
Anjuran : Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Politeknik Merlimau
Tema : ‘Empowering TVET Through Innovation’
EDIAs atau 'Electrical Engineering Design and Innovation Awards' merupakan sebuah platform inovasi yang diadakan khas kepada para pelajar semester akhir di Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Politeknik Merlimau agar pelajar dapat berupaya mengaplikasikan pengetahuan TVET yang telah dipelajari kepada penghasilan sebuah produk atau idea kreatif untuk dipamerkan, dipertandingkan dan diberi pengiktirafan. EDIAs yang kini memasuki edisi ke-35 penganjurannya dimulakan sejak sesi pengajian politeknik pada Jun 2008 yang pada mulanya dinamakan sebagai Hari Inovasi JKE PMM. Dalam program EDIAs, penilaian pengiktirafan dilakukan berasaskan tema-tema khas projek dan program pengajian di Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Politeknik Merlimau.
Pertandingan ini mendedahkan pelajar terhadap domain kompetensi iaitu pengetahuan, kemahiran praktikal, kemahiran dan tanggungjawab sosial, nilai, sikap dan profesionalisme, kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan, kemahiran penyelesaian masalah, kemahiran saintifik, kemahiran pengurusan maklumat, pembelajaran sepanjang hayat, kemahiran mengurus serta kemahiran keusahawanan. EDIAs ini dilaksanakan setiap semester yang melibatkan ke semua pelajar yang mengambil kursus DEE50102 Projek 2 di Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Politeknik Merlimau Melaka. Melalui kursus ini, pelajar diberi peluang untuk mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran serta mempamerkan keupayaan dalam merealisasikan idea, kreativiti, inovasi dan penyelesaian masalah ke arah penghasilan produk yang mempunyai nilai komersial dan berdaya saing.
Adalah menjadi harapan agar Program EDIAs atau 'Electrical Engineering Design and Innovation Awards' yang dirancang ini berjaya dilaksanakan dan sekaligus menjadi platform mentarbiahkan pelajar meliputi semua aspek mental dan fizikal. Oleh itu, kertas kerja ini dirangka adalah untuk memohon pertimbangan dan kelulusan daripada pihak Pengurusan Politeknik Merlimau untuk mengadakan Program EDIAs atau 'Electrical Engineering Design and Innovation Awards' bagi pelajar program diploma di Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Politeknik Merlimau yang mengambil kursus DEE50102 Projek 2.
Objektif penganjuran EDIAs adalah :
Menyediakan platform pembentangan lisan projek pelajar dan membentuk persaingan yang sihat dalam penghasilan projek terbaik.
Membantu pelajar meningkatkan kemahiran berkomunikasi secara efektif, kemahiran berorganisasi dan meningkatkan keyakinan diri dalam kalangan pelajar.
Menentukan projek terbaik untuk dipertandingkan di peringkat Politeknik Merlimau menerusi Program PERKAYA Inovasi PMM.
Meningkatkan kualiti pendidikan yang menyumbang kepada pencapaian akademik pelajar dalam masa yang sama dapat melahirkan pelajar mempunyai kemahiran komunikasi persembahan yang baik.
Impak penganjuran EDIAs ini adalah :
Memperkasa sistem pendidikan dengan menghasilkan graduan TVET berkualiti yang mampu berkomunikasi dengan baik dalam membuat persembahan dari segi teknikal seterusnya dapat menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan menjadikan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama pelajar untuk menyambung pengajian.
Menghasilkan pelajar yang mempunyai keyakinan tinggi dan bertanggungjawab dalam pelbagai aspek iaitu menyelesaikan isu masalah, dan pengurusan masa dan kerja.
Melahirkan graduan yang mampu memenuhi kriteria pihak industri dan meningkatkan lagi imej politeknik dalam menghasilkan graduat yang dapat memenuhi pasaran kerja setanding pelajar-pelajar di IPT lain.
Pertandingan ini adalah pertandingan TERTUTUP yang diwajibkan kepada semua pelajar yang mengambil kursus DEE50102 Projek 2 dari program Diploma Kejuruteraan Elektrik / DET, Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer) / DTK dan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) / DEP di Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Politeknik Merlimau Melaka. Pendaftaran penyertaan adalah secara automatik berdasarkan pendaftaran kursus DEE500102 Projek 2 pada Sesi I : 2025/2026.
Penjurian bagi EDIAs Ke-35 terdiri daripada Project Examiner bagi Kursus DEE50102 Projek 2 yang menilai rubrik Model & Pembentangan untuk Kerja Kursus DEE50102 Projek 2. Selain itu terdapat beberapa orang Juri Dalaman iaitu dikalangan warga kerja PMM dan Juri Luar iaitu dikalangan wakil akademik atau industri bagi penilaian Anugerah.