PENYAKIT DEMAM KUNING
Pengenalan
Demam Kuning adalah satu penyakit berjangkit yang akut. Dikenali dalam dua (2) bentuk iaitu demam kuning yang berlaku di bandar dan hutan. Demam Kuning yang berlaku di bandar disebarkan oleh nyamuk kepada manusia. Manakala Demam Kuning di hutan merebak dari nyamuk kepada monyet dan juga kepada manusia (zoonotic). Walaupun penunjuk utama risiko penyakit adalah berdasarkan kepada kes yang dilaporkan di kalangan manusia, penyakit ini kurang dikesan kerana tahap kekebalan penduduk adalah tinggi serta kelemahan sistem memantau kejadian.
Demam Kuning merupakan ancaman kesihatan di negara-negara endemik.
Individu yang melakukan perjalanan ke negara-negara yang mengalami risiko transmisi Yellow fever di Afrika, Amerika Tengah dan Selatan berrisiko dijangkiti Demam Kuning.
Kehadiran vektor di Asia, iaitu nyamuk Aedes menyumbang kepada kejadian penyakit. Malaysia terdedah dan mudah mendapat jangkitan Demam Kuning.
Agen penyebab: Arbovirus dari Genus Flavivirus dan keluarga Flaviviridae.
Cara jangkitan: Gigitan nyamuk Aedes aegypti yang dijangkiti.
Tempoh pengeraman: 3 hingga 6 hari (atau lebih) selepas digigit oleh nyamuk yang dijangkiti.
Negara-negara yang mengalami risiko transmisi Yellow fever
AMERIKA TENGAH DAN SELATAN
Argentina
French Guiana
Suriname
Brazil
Guyana
Trinidad & Tobago
Bolivia
Panama
Venezuela
Colombia
Paraguay
Ecuador
Peru
AFRICA
Angola
Guinea Equat
Benin
Ivory Coast
Burkina Faso
Kenya
Burundi
Liberia
Cameroon
Mali
Central Africa Republic
Mauritania
Chad
Niger
Congo
Nigeria
Democratic Republic Of Congo
Rwanda
Ethiopia
Senegal
Gabon
Sierra Leone
Gambia
Sudan
Ghana
South Sudan
Guinea
Togo
Guinea Bissau
Uganda
Nota: Senarai ini dikemaskinikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia berdasarkan senarai terkini oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Tanda dan Gejala
Sesetengah jangkitan adalah asimptomatik (tanpa gejala) tetapi kebanyakan jangkitan adalah akut dan berlaku dalam dua peringkat.
Peringkat permulaan:
- Demam 
- Sakit otot 
- Sakit kepala 
- Seram sejuk 
- Hilang selera makan 
- Loya dan/atau muntah-muntah 
- Bradikardia 
Peringkat kedua:
Selepas beberapa hari, 15% pesakit melarat sehingga ke peringkat kedua, dengan kemunculan semula:
- Demam 
- Jaundis 
- Sakit perut 
- Muntah 
- Pendarahan 
- Kematian boleh berlaku 10 hingga 14 hari selepas kemunculan penyakit. 
Komplikasi
Pendarahan termasuklah pendarahan hidung (epistaksis), pendarahan gusi (gingival), muntah darah (hematemasis), najis berdarah (melena) dan kegagalan hati dan buah pinggang. Anggaran 20 hingga 50% kes boleh membawa maut.
Rawatan
Tiada rawatan khusus.
Rawatan simptomatik:
- Berehat 
- Minum banyak air 
- Ambil ubat penahan sakit (contohnya Parasetamol atau Ibuprofen) untuk melegakan gejala demam atau sakit 
Pencegahan
Keperluan Vaksinasi
Sijil vaksinasi Demam Kuning diperlukan daripada semua individu (rakyat Malaysia dan warga asing) yang melakukan perjalanan pergi ke atau melalui negara-negara yang mengalami risiko transmisi Yellow fever. Sijil vaksinasi antarabangsa Yellow fever juga diperlukan bagi pengembara yang transit melebihi 12 jam melalui lapangan terbang di negara yang mengalami risiko transmisi Yellow fever (seperti yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) 2005 dan Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit – Akta 1988).
Individu tanpa sijil vaksinasi Demam Kuning yang sah akan dikuarantin setibanya di Malaysia dalam tempoh tidak melebihi 6 hari. Sijil vaksinasi antarabangsa Yellow fever hanya akan sah sepuluh (10) hari selepas tarikh vaksinasi diberikan dan sah untuk seumur hidup (berkuat kuasa pada Jun 2016)
Peringatan kepada rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan ke negara-negara endemik
- Dapatkan vaksinasi sekurang-kurangnya 10 hari sebelum tarikh berlepas ke negara-negara endemik untuk perlindungan dari jangkitan. 
- Bawa sijil vaksinasi antarabangsa semasa perjalanan untuk pemeriksaan kesihatan. 
- Dapatkan vaksinasi Demam Kuning dari pusat vaksinasi yang sah di Malaysia. 
- Lapor diri di Pejabat Kesihatan di pintu masuk setibanya di Malaysia untuk pemeriksaan kesihatan. 
Vaksin Demam Kuning
Jenis vaksin: Virus hidup yang dilemahkan
Bilangan dos: Satu suntikan dengan dos sebanyak 0.5ml
Kontraindikasi:
- Alahan telur 
- Penyakit kurang daya ketahanan badan 
- Penyakit atau jangkitan HIV bergejala 
- Hipersensitiviti terhadap dos sebelumnya 
- Kehamilan 
Kesan buruk: jarang-jarang berlaku Ensefalitis (inflamasi otak) atau kegagalan hati.
Sebelum berlepas: Pastikan sijil vaksinasi antarabangsa sah 10 hari selepas tarikh vaksinasi.
Disyorkan untuk: Semua individu yang melakukan perjalanan ke negara-negara yang mengalami risiko transmisi Yellow fever dan kawasan yang diwajibkan.
Langkah berjaga-jaga: Tidak boleh diberikan kepada bayi berumur di bawah 12 bulan.