ASSALAMUALAIKUM PENCINTA ILMU, JOM KENALI USUL AD-DIN
Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) sebagai kurikulum kebangsaan telah dilaksanakan secara berperingkat bermula dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 mulai tahun 2015. Pelaksanaan KBD melibatkan lima mata pelajaran iaitu Usul al-Din, Al-Syariah, Al-Lughah al-'Arabiah al-Mu'asirah, Al-Adab wa al-Balaghah, Manahij al-'Ulum al-Islamiah.
Kini, KBD telah melalui proses semakan semula bertujuan meningkatkan kualiti kurikulum yang dilaksanakan di peringkat menengah atas, agar setanding dengan keperluan standard antarabangsa. Bagi merealisasikan hasrat tersebut, KBD semakan ini telah disesuaikan dengan Kurikulum Maahad Bu'uth Al-Azhar selaras dengan Perjanjian Persefahaman Akademik dan Kebudayaan Antara Kerajaan Malaysia dengan Al-Azhar Al-Syarif, Republik Arab Mesir yang dimeterai pada 6 Jun 2022.
Sehubungan dengan itu, Bahagian Pendidikan Islam (BPI)menggubaI Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang mengandungi Standard Kandungan (SK), Standard Pembelajaran (SP) dan Standard Prestasi (SPi). Menerusi penggubalan DSKP ini, diharapkan para guru dapat menterjemahkannya dalam sesi pengajaran dan pembelajaran dengan memberikan penekanan kepada penguasaan kandungan ilmu dan kemahiran berbahasa Arab dalam kalangan murid.
Pada masa yang sama, dokumen ini dapat membantu guru untuk mentaksir murid bagi mengenal pasti tahap penguasaan mereka secara berterusan dan membolehkan guru membuat tindakan susulan untuk mempertingkatkan kebolehan murid. DSKP yang dihasilkan juga telah mengintegrasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai, serta memasukkan secara eksplisit Kemahiran Abad Ke-21 dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Penyepaduan tersebut dilakukan untuk melahirkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani sebagaimana tuntutan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Kementerian Pendidikan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penggubalan DSKP KBD Semakan ini. Semoga dokumen ini dimanfaatkan oleh para guru untuk melaksanakan PdP yang lebih berkesan ke arah melahirkan murid yang berilmu pengetahuan dan bertanggungjawab untuk mengamalkan cara hidup Islam serta mampu memberi sumbangan yang bermanfaat kepada agama, diri, ummah dan negara.
HAJI HASSAN NUDIN BIN A. HAMID
Pengarah
Bahagian Pendidikan Islam
Kementerian Pendidikan Malaysia
Firman Allah SWT :
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah Ar-Ra'd : 11)