Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (SEGAK) adalah satu bateri ujian standard kecergasan fizikal bagi mengukur tahap kecergasan fizikal murid berdasarkan kesihatan. Komponen kecergasan dalam SEGAK terkandung dalam kurikulum Pendidikan Jasmani sekolah rendah dan sekolah menengah.
Menurut Corbin dan Lindsey (2006), kecergasan adalah keupayaan sistem badan bekerja dengan efisien bagi membolehkan seseorang itu sihat dan dapat melaksanakan aktiviti dalam kehidupan seharian. Komponen Kecergasan berdasarkan kesihatan terdiri daripada daya tahan kardiovaskular, daya tahan otot, kekuatan otot, fleksibiliti, dan komposisi badan. Tahap kecergasan berdasarkan kesihatan yang tinggi memberi faedah kepada seseorang itu memiliki kesihatan yang baik, bertenaga, dan mempunyai keupayaan untuk melakukan aktiviti harian dengan berkesan.
Kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sejak tahun 1986 hingga kini menunjukkan kadar peningkatan peratus rakyat Malaysia mengidap penyakit kronik, penyakit tidak berjangkit, dan obesiti adalah amat membimbangkan. Masyarakat Malaysia perlu mengubah cara hidup sedentari kepada cara hidup aktif dan sihat dengan memberi fokus kepada meningkatkan tahap kecergasan fizikal. Kecergasan fizikal yang optimum boleh membantu seseorang itu melaksanakan aktiviti harian dengan aktif tanpa berasa letih. Selaras dengan itu, satu aktiviti kecergasan yang terancang di sekolah perlu dilaksanakan dengan sempurna mengikut prosedur dan norma yang ditetapkan.
Pada tahun 2008 SEGAK mula dilaksanakan kepada murid Tahun 4 hingga Tingkatan 5 yang berumur 10 tahun hingga 17 tahun. SEGAK dilaksanakan secara pentaksiran sekolah dan skor murid direkodkan. Pelaporan SEGAK memberi maklum balas kepada murid, guru, pentadbir sekolah, ibu bapa, dan pihak berkepentingan tentang tahap kecergasan fizikal murid. Melalui maklum balas tersebut tindakan susulan dapat dirancang dan dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kecergasan fizikal seseorang murid.
PAUTAN