PEREKAYASAAN PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING DI SEKOLAH
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
TUJUAN
Perekayasaan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling (B&K) bertujuan supaya Guru B&K memfokuskan perkhidmatannya kepada usaha Pembangunan Sahsiah dan Peningkatan Disiplin Murid di sekolah.
KONSEP
Perkhidmatan B&K di sekolah sebagai perkhidmatan yang mesra murid, rakan guru, ibu bapa dan masyarakat. Menerusi perkhidmatan yang diberikan, boleh membantu murid meningkatkan keupayaan berfikir dan bertindak secara positif dan berkesan.
Murid merupakan aset penting yang perlu sentiasa dibantu dan dibimbing menerusi perkhidmatan B&K agar mereka boleh membuat keputusan yang wajar dan betul dalam menjalani kehidupannya.
Guru B&K menghayati bahawa memenangi jiwa murid merupakan teras perkhidmatan B&K serta berupaya mendahului (win over) jangkaan tindakan murid-muridnya.
Guru B&K adalah seseorang yang memiliki personaliti sebagai guru yang paling dipercayai, diyakini dan disenangi (trustworhthy) oleh murid, rakan sejawat, ibu bapa dan masyarakat di sekolah.
OBJEKTIF
Objektif perkhidmatan B&K di sekolah adalah;
Guru B&K menghayati bahawa memenangi jiwa murid merupakan teras perkhidmatan B&K di sekolah.
Sebagai perkhidmatan yang mesra, selesa dan kondusif kepada murid untuk menyuarakan isi hati dan permaslaahan mereka, seterusnya dapat membuat keputusan yang wajar dan betul.
Agar Guru B&K boleh mendahului (win over) jangkaan tindakan-tindakan yang di luar norma sosial dalam kalangan murid-muridnya.
Agar murid boleh meneroka peluang dan ruang kerjaya yang sesuai dengan personaliti mereka.
FOKUS PERKHIDMATAN B&K
Perkhidmatan B&K dilaksanakan secara sepenuh masa dan berfokus kepada program dan aktiviti seperti berikut;
Pembangunan dan pengembangan sahsiah diri murid
Peningkatan disiplin diri murid
Pendidikan kerjaya murid
Psikososial dan kesejahteraan mental murid
Fokus 1 : Pembangunan dan Pengembangan Sahsiah Diri Murid:
Fokus ini adalah untuk memupuk pengembangan personaliti kendiri (character)
murid daripada aspek berikut :
Sikap penyayang (kepedulian)
Budi bahasa
Konsep kendiri
Kepemimpinan
Komunikasi
Kekemasan diri
Ketepatan masa
Outcome : Perwatakan murid yang berketrampilan dan terpuji.
Fokus 2 :Peningkatan Disiplin Diri Murid
Fokus ini adalah memupuk disiplin diri murid termasuk intervensi yang perlu dilakukan bagi mencegah terlibat dengan gejala-gejala disiplin dan anti-sosial yang lain.
Outcome : Murid yang berdisiplin serta sekolah yang aman dan sejahtera.
Fokus 3 : Pendidikan Kerjaya Murid
Fokus ini adalah berkaitan pendedahan dan bimbingan kepada murid mengenai maklumat berkaitan peluang pendidikan dan hala tuju kerjaya. Menerusi fokus ini, guru B&K hendaklah;
Melaksanakan program Pendidikan Kerjaya secara terancang bagi memastikan semua murid dapat mengenal pasti potensi diri, minat, sikap dan hala tuju kerjaya.
Menyediakan Profil Kerjaya setiap murid bermula dari sekolah rendah sehingga ke sekolah menengah dalam pelan pembangunan dan perkembangan kerjaya mereka.
Menyediakan rekod murid selepas tamat persekolahan sama ada terus memasuki alam kerjaya atau meneruskan pengajian ke institusi-institusi pengajian tinggi awam atau swasta.
Outcome : Murid yang tahu hala tuju pendidikan dan kerjaya masa hadapan
Fokus 4 : Psikososial dan kesejahteraan mental murid
Fokus ini adalah membimbing murid supaya mampu mengekalkan dan mengurus kesejahteraan diri dan mental. Menerusi fokus ini, guru B&K hendaklah;
Membimbing murid dalam proses sosialisasi dan interaksi
Membimbing murid dalam aspek pengurusan emosi
Membantu murid mengembangkan pemikiran yang positif
Outcome : Murid yang sihat pemikirannya
KAEDAH PELAKSANAAN
Pengurusan Profil Murid
Fokus ini adalah menyediakan pangkalan Profil Murid yang bertujuan untuk membuat analisis terhadap sesuatu isu berkaitan murid. Dengan analisis ini, tindakan membantu dan mencegah sesuatu isu itu boleh dilakukan dengan lebih berkesan. Menerusi fokus ini, guru B&K hendaklah;
Menyediakan profil setiap murid bermasalah disiplin
Menyediakan profil setiap murid ponteng sekolah
Menyediakan profil kerjaya setiap murid
Menyediakan profil murid dari segi kesejahteraan mental/emosi
Profil murid hendaklah mengandungi maklumat mengenai latar belakang murid, latar belakang ibu bapa/penjaga, latar belakang masalah, kekerapan dan punca masalah dan status tindakan penyelesaian.
Pelaksanaan Pendidikan Pencegahan
Fokus ini adalah memberi pendidikan pencegahan serta membimbing murid agar berupaya mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan kegiatan-kegiatan yang memudaratkan diri seperti kegiatan seks bebas, bahaya HIV, dadah, rokok termasuk bahan inhalan.
Fokus ini juga memberi pendidikan pencegahan serta membimbing murid agar mengelakkan diri daripada terlibat dengan jenayah rogol dan bunuh diri.
Konsultasi Keibubapaan
Fokus ini adalah membimbing murid agar mereka mengetahui tanggungjawab diri dalam keluarga di mana;
Kemahiran keibubapaan akan diterapkan bermula dari alam persekolahan.
Melaksanakan aktiviti engagement bersama ibu bapa murid.
Pengembangan Kemahiran Pembimbing Rakan Sebaya (PRS)
Fokus ini adalah meningkatkan kemahiran menolong dan soft skills (kemahiran generik) semua ahli PRS. Guru B&K hendaklah;
Melaksanakan latihan kemahiran kepada murid yang menjadi PRS
Melatih PRS agar berupaya memainkan peranan membantu rakan sebaya berkonsepkan ‘Bantu Diri Untuk Bantu Orang Lain’ dengan;
PRS sebagai role model kepada orang lain
Memberi galakan kepada rakan-rakan agar bersikap positif
Menjadi rakan yang peka kepada perasaan orang lain
Murid Berkeperluan Khas
Fokus ini adalah memberikan perkhidmatan kaunseling dan bimbingan khas kepada murid-murid berkeperluan khas di sekolah.
Fokus ini juga memberi penekanan dari segi kebajikan, kemudahan, soft skill dan hala tuju kerjaya murid berkeperluan khas.
Membimbing murid normal yang lain untuk menerima, membantu dan sentiasa memberi pertolongan kepada murid-murid berkeperluan khas.
Penyampaian (outreach) perkhidmatan
Membuat sebaran kepada murid berkaitan perkhidmatan yang boleh diberi oleh Guru B&K serta faedah yang diperoleh daripada perkhidmatan B&K.
Sebaran berkaitan peluang-peluang pendidikan dan kerjaya murid.
Perkhidmatan Kaunseling Individu dan Kaunseling Kelompok
Perkhidmatan Kaunseling Individu dan Kaunseling Kelompok adalah menjadi Sasaran Kerja Utama guru B&K.
Murid boleh mendapatkan perkhidmatan kaunseling secara individu atau kelompok pada bila-bila masa waktu persekolahan termasuk semasa waktu pengajaran dan pembelajaran (P&P).
PENGURUSAN
Menjalankan Tugas Luar
Seorang guru B&K boleh dibenarkan menjalankan tugas di luar sekolah mereka dengan kadar 10 peratus setahun. Ini bermakna, 90 peratus masanya setahun hendaklah berada di sekolah tempat mereka bertugas.
Kekecualian boleh diberikan sekiranya guru B&K diarahkan;
Mengikuti kursus, latihan termasuk menyambung pengajian dalam tempoh masa yang panjang.
Menjalankan tugas luar apabila berlaku sesuatu bencana atau mala petaka di sesuatu tempat.
Kekecualian menjalankan tugas luar melebihi tempoh atau kadar yang ditetapkan dalam perkara itu boleh juga diberikan dengan syarat mendapat kelulusan bertulis daripada Pengarah Pelajaran Negeri terlebih dahulu.
Dalam hal ini, tugas luar bermakna tugas yang diarahkan atau diminta oleh KPM, JPN atau PPD.
Kelas Ganti
Guru B&K Sepenuh Masa boleh mengambil kelas ganti tidak melebihi 8 waktu seminggu.
Semasa bertugas sebagai guru ganti di sesebuah bilik darjah, mereka hendaklah melaksanakan program atau aktiviti yang berkaitan Perkhidmatan B&K.
Guru B&K boleh menggunakan Modul Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling sebagai panduan dan rujukan semasa melaksanakan aktiviti bimbingan di dalam kelas ganti.
Jadual Waktu
Tempoh masa bertugas Guru B&K adalah sama seperti guru P&P. Walau bagaimana pun, jadual waktu bertugas bagi Guru B&K di sekolah perlu lebih fleksibel (flexi). Hal ini bermakna sesi bertugas seseorang Guru B&K di sekolah tidak terikat sama seperti masa bertugas guru P&P di bilik darjah. Ianya boleh disesuaikan mengikut keperluan tugas seharian Guru B&K.
Sesi bertugas mereka hendaklah lebih fleksibel (flexi) kerana fungsi mereka termasuk aktiviti engagement bersama ibu bapa murid, agensi-agensi lain yang berkaitan termasuk dengan pemimpin-pemimpin masyarakat dan komuniti di luar sekolah di mana aktiviti tersebut hendaklah hanya untuk kepentingan dan faedah murid mereka di sekolah.
Perkapita Grant (PCG) Bimbingan Kaunseling Sekolah
PCG yang diperuntukkan kepada sekolah bagi Bimbingan dan Kaunseling hendaklah digunakan sepenuhnya untuk semua aktiviti perkhidmatan B&K yang berfokus kepada 4 bidang utama seperti di perenggan 7 (Fokus Perkhidmatan B&K).
Sokongan Pentadbir Sekolah
Pentadbir sekolah hendaklah memastikan perkhidmatan Guru B&K berfokus kepada Program Pembangunan Sahsiah dan Peningkatan Disiplin Murid. Dalam hal ini pentadbir sekolah hendaklah memastikan Guru B&K memberikan perkhidmatan terbaik dan berkesan serta memberi tumpuan kepada pembangunan diri murid semasa melaksanakan perkhidmatan B&K.
Dalam masa yang sama, pihak pentadbir sekolah juga hendaklah membuat pemantauan serta memberikan maklum balas kepada Guru B&K akan keberkesanan perkhidmatan mereka.
SENARAI TUGAS GURU BIMBINGAN DAN KAUNSELING SEPENUH MASA
1. Mengenalpasti keperluan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling sekolah melalui kajian keperluan, soal selidik, temu bual dan perbincangan dengan murid, guru, pentadbir, kakitangan sekolah, ibu bapa dan bekas murid.
2. Menyediakan rancangan tahunan program dan aktiviti Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah.
3. Merancang, melaksana dan mengawalselia sesi bimbingan dan kaunseling individu dan kelompok, secara profesional dan beretika.
4. Merancang, mengelola dan melaksana aktiviti bimbingan individu dan kelompok serta tunjuk ajar (instructional) yang merangsang perkembangan murid secara optimum.
5. Merancang, menyedia dan menyebar maklumat bimbingan dan kaunseling kepada semua murid melalui media yang sesuai.
6. Merancang, mentadbir, memeriksa, merekod, menganalisis, mentafsir dan melapor Pentaksiran Psikometrik berdasarkan arahan Kementerian Pendidikan Malaysia dari semasa ke semasa.
7. Merancang, mengawalselia dan mengemaskini rekod dan inventori murid yang berkaitan dengan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling.
8. Merancang, melaksana, mengawalselia serta menilai program dan aktiviti konsultasi dan rujukan, berhubung dengan Pembangunan dan Perkembangan Sahsiah Diri Murid.
9. Merancang, melaksana, mengawalselia serta menilai program dan aktiviti konsultasi dan rujukan, berhubung dengan Peningkatan Disiplin Diri Murid.
10. Merancang, melaksana, mengawalselia serta menilai program dan aktiviti konsultasi dan rujukan, berhubung dengan Pendidikan Kerjaya Murid.
11. Merancang, melaksana, mengawalselia serta menilai program dan aktiviti konsultasi dan rujukan, berhubung dengan Psikososial dan Kesejahteraan Mental murid.
12. Merancang, melaksana, mengawalselia serta menilai program, aktiviti dan konferens dengan ibu bapa, guru, staf sokongan serta agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang terlibat dalam proses pendidikan dan perkembangan murid.
13. Membuat penilaian aktiviti, modul, instrumen, pendekatan dan sebagainya secara menyeluruh bagi meningkatkan mutu dan profesionalisme Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah.
14. Merancang, menyelaras dan menilai sumber serta bahan resos berkaitan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah.
15. Setiausaha kepada Jawatankuasa Penyelaras Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah.
16. Penggerak utama dalam program latihan bagi meningkatkan kefahaman tentang profesionalisme Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah.
17. Membuat rujukan atau memberi khidmat kaunseling kepada murid, guru, kakitangan serta sesiapa sahaja yang memerlukan, sekiranya berlaku krisis dalam kawasan sekolah.
18. Pegawai perhubungan / seranta sekolah dengan agensi-agensi luar yang berkaitan.
19. Menjalankan tugas di luar sekolah dalam bidang bimbingan dan kaunseling, sebagaimana diarahkan Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah.
20. Melaksana tugas-tugas yang diarahkan oleh Ketua Jabatan dari semasa ke semasa.
RUJUKAN BAHAN