SEJARAH PENUBUHAN

SEJARAH SMKPP 5(1)

Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1) telah siap dibina pada tahun 2012. Sekolah ini mula beroperasi pada 2 Januari 2013 di bawah kepimpinan Puan Um Taksiah binti Ismail sebagai Pengetua yang pertama. Memulakan sesi persekolahan dengan lapan orang guru dan empat puluh orang murid yang berdaftar pada awal pembukaannya pada 2013 dengan ambilan murid tingkatan satu dan dua sahaja. Selepas sebulan beroperasi, JPWPP menambah seorang guru kaunseling, seorang pembantu makmal dan pembantu pejabat.

Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1) terdiri dari empat blok yang dinamakan sebagai Blok A, B, C dan D. Blok A ialah Blok Pentadbiran, Bilik Darjah, Bilik- bilik Khas dan dilengkapi dengan kemudahan tandas serta Bilik Persalinan. Blok B ialah blok yang menempatkan kelas-kelas tingkatan Enam, Bilik Khas, Makmal dan Surau Sekolah, di tengah-tengahnya adalah Gelanggang Sepak Takraw. Blok C adalah Dewan Sekolah dan Blok D adalah Kantin Sekolah. Blok C dan D bercantum dengan Dewan Sekolah sebelah atas dan Kantin di bawahnya. Padang serba guna dikongsi dengan Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1).

Bermula 1 Januari 2016, Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1) telah dijadikan sebagai Pusat Tingkatan Enam bagi Putrajaya di bawah Kategori MOD 3. Pelajar Tingkatan 6 Atas dari SMKPP 14(1) dan SMKPP 8(1) menjadi warga SMKPP 5(1). Puan Salleha binti Salleh dilantik sebagai Guru Penolong Kanan Tingkatan Enam dan dibantu oleh 17 orang guru. Pada pertengahan bulan Januari 2016 juga menyaksikan pertukaran pengetua SMKPP5(1) buat kali ketiga dalam masa tiga tahun. Pengetua baharu, Puan Helena binti Osman melapor diri pada 16 Januari 2016 dan mula bertugas di SMKPP 5(1). Tahun 2016 juga bermulanya kohort pertama pelajar Tingkatan 6 Bawah dibawah satu Pusat Tingkatan Enam dengan pembukaan satu kelas aliran Sains dan empat kelas aliran Kemanusiaan.


Puan Meriam binti Abd Karim telah melapor diri sebagai pengetua yang keempat dalam sejarah SMK PP5(1) bermula 1 Oktober 2017. Pada tahun 2017, SMK Putrajaya Presint 5(1) telah membolot Juara Keseluruhan kategori sekolah menengah di samping kategori lain dalam pertandingan menghias kelas peringkat Putrajaya sempena Bulan Kemerdekaan 2017. Seorang pelajar tingkatan enam telah berjaya menjadi Johan menulis esei Sejarah peringkat kebangsaan kategori pengajian tinggi anjuran Persatuan Sejarah Malaysia. Pada penghujung Disember 2017, pelajar tingkatan 6 telah menjadi johan dalam pertandingan Video Pendek Pencegahan Rasuah anjuran Kementerian Belia dan Sukan. Kejayaan demi kejayaan telah dilakar oleh anak-anak SMK PP5(1) terutama dalam pelbagai aktiviti kokurikulum dan mewakili Putrajaya ke peringkat kebangsaan seperti merentas desa, memanah, pertandingan Kawad Bomba, Polis dan KRS. Pada tahun 2017, SMK Putrajaya Presint 5(1) telah melahirkan calon sulung SPM iaitu seramai 30 orang.


Pada tahun 2018, SMK PP5(1) telah mencatat sejarah apabila telah dipilih mewakili Putrajaya ke peringkat kebangsaan dalam Pertandingan Amalan Perkhidmatan Kantin Tahun 2018. Kejayaan telah diraih apabila sekolah berjaya meraih Naib Johan pertandingan Video Kategori Sekolah Menengah tahun 2018 bagi Anugerah Amalan Perkhidmatan Kantin Terbaik 2018. Pada bulan April 2018, murid tingkatan 2 Alya Fariha binti Azairry telah terpilih dalam Program Jelajah Budaya Antarabangsa.

Pada tahun 2018, sekolah telah terpilih mewakili Putrajaya dalam pertandingan Toyota Eco Youth Tahun 2018. Potensi murid-murid SMK Presint 5(1) tidak dapat dinafikan apabila satu demi satu anak-anak ini telah terpilih dan mewakili Putrajaya dalam pertandingan Bahas Bahasa Inggeris, Kejohanan Memanah, Merentas Desa, Kuiz Teknologi Hijau, Kadet Bomba, Bola Jaring dan Badminton. Seorang pelajar tingkatan 6, Ghalib bin Muhamad Azimi telah mewakili Malaysia dalam Sukan Asia Jakarta/Palembang 2018 dalam acara “rock climbing”. Pada bulan Disember 2018, empat orang murid tingkatan 3 telah menjadi Johan dalam Merekacipta Teknologi Berasaskan Internet of Things (I0T) anjuran Perbadanan Putrjaya & MCMC.





Kini, di bawah kepimpinan Puan Thalsiah binti Mohd Salleh@Hassan yang telah melapor diri di SMK Putrajaya Presint 5(1) pada 15 November sebagai pengetua kelima, telah menempah pelbagai kejayaan. Antara kejayaan yang amat membanggakan sekolah dalam bidang kokurikulum pada tahun 2019, pasukan Bahas Bahasa Inggeris berjaya merangkul Johan peringkat negeri pada tahun 2019. Kejayaan lain yang diperoleh di peringkat negeri ialah Johan Pertandingan Kadet Bomba, Johan Petanque (perempuan), Johan Pertandingan Memasak peringkat negeri sekaligus mewakili Putrajaya, Johan dalam pertandingan Infohunt MSU(Kategori War Cry), Johan pertandingan Terrarium sempena Floria Diraja 2019. Sejarah telah tercatat, pasukan Drama Bahasa Melayu dan Drama Bahasa Inggeris, telah mewakili Putrajaya dalam pertandingan Drama Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan pada tahun 2019.


Suasana persekitaran sekolah yang ceria dan menarik telah merangsang minda, potensi dan minat murid secara amnya. Minat murid dalam bidang usahawan telah mencetus kejayaan apabila sekolah telah memperoleh Naib Johan dalam pertandingan Koperasi YESS peringkat Wilayah Persekutuan dan Selangor. Dalam Anugerah HEBAT Putrajaya, sekolah telah mendapat tempat kedua dalam Anugerah Cemerlang Kokurikulum 2019 kategori sekolah menengah. Selain itu, dalam kategori Kaunseling, sekolah telah mendapat 5 Bintang (terbaik) dalam Pengurusan Sahsiah Terpuji Gemilang. Program Jaringan dengan sekolah di Putrajaya dan pihak UNIKL turut dilaksanakan bagi meningkatkan kecemerlangan sekolah dalam bidang akademik. Tahun 2019, pihaksekolah turut mengadakan Lawatan Sambil Belajar ke Hatyairatprachusun School dan Islam Wittaya Foundation School pada 13- 16 September 2019. Lawatan ini dijangka akan membuka lembaran baru dalam Program Pengantarabangsaan pada tahun hadapan.


Pada tahun 2020, SMKPP 5(1) juga telah melakar banyak kejayaan. Kejayaan pada awal tahun 2020 adalah apabila sekolah telah dinobatkan sebagai johan dalam Pertandingan Tandas Awam Sekolah-sekolah Putrajaya anjuran Perbadanan Putrajaya. Seterusnya kejayaan dilakar oleh murid tingkatan lima yang bertanding dalam lukisan poster anjuran Kementerian Perancang Bandar Malaysia. Sekolah ini juga telah berjaya mewakili Putrajaya dalam teater Bahasa Melayu ke peringkat kebangsaan dan berjaya meraih tempat ketiga. Kejayaan seterusnya adalah dalam pertandingan Pusat Sumber Sekolah. SMKPP 5(1) telah berjaya menjadi johan di peringkat Putrajaya dan seterusnya telah mewakili Putrajaya ke peringkat kebangsaan. Tokoh Nilam Bahasa Inggeris dari sekolah ini juga telah dinobatkan sebagai johan di peringkat Putrajaya dan meraih naib johan di peringkat kebangsaan.


Dalam pertandingan MBMMBI peringkat kebangsaan, wakil dari SMKPP 5(1) telah meraih pelbagai kemenangan dalam pelbagai kategori. Antaranya ialah johan mencipta sajak Bahasa Inggeris bagi kategori tingkatan 6, naib johan peringkat kebangsaan dalam pertandingan menulis esei untuk menengah rendah dan beberapa calon dari sekolah ini juga telah meraih tempat kesepuluh terbaik di peringkat kebangsaan untuk pertandingan mencipta sajak dan menulis esei. Kejayaan sekolah ini juga telah dilakar apabila Musolla Sekolah mendapat anugerah Empat Bintang dalam pertandingan Musolla peringkat Putrajaya. Semua kerjayaan ini diperolehi kerana adanya kerjasama padu daripada pelbagai pihak.


Pada tahun 2021, SMK Putrajaya Presint 5(1) sekali lagi melakar sejarah apabila pada tahun ini Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) akan ditubuhkan di sekolah ini. PPKI ini adalah berfokuskan kepada masalah pembelajaran. Pada peringkat pertama ini, PPKI ini akan dijalankan dengan melibatkan 4 buah kelas, 4 orang guru dan anggaran murid berjumlah 20 orang. Pada tahun 2021 juga bilangan kelas dijangkakan akan bertambah sehingga menjadi 30 buah kelas untuk aliran perdana, 12 kelas untuk tingkatan 6 dan 4 buah kelas untuk PPKI dengan jangkaan murid melebihi seribu orang dan pertambahan bilangan guru secara keseluruhannya menjadi sebanyak 90 orang.


Besarlah harapan seluruh warga sekolah agar segala perubahan yang berlaku, kejayaan yang dikecapi, aktiviti dan program yang dijalankan serta pelbagai penyertaan dalam pelbagai bentuk aktiviti ini akan terus memacukan kejayaan Sekolah Menengah Putrajaya Presint 5(1) sebagai sebuah Sekolah TS25 Kohort 4 dalam mempertingkatkan kualiti guru dalam membentuk amalan PdP terbaik dan persekitaran pembelajaran yang berkesan.