Selamat datang ke Laman Web Rasmi Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Batu.
Barisan guru dan anggota kumpulan pelaksana (AKP) SKPK Jalan Batu sesi 2022.
Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Batu (B) atau nama ringkasnya SKPK Jalan Batu merupakan sebuah sekolah Pendidikan Khas (SKPK) yang disediakan khas untuk mendidik Murid Bekeperluan Pendidikan Khas (MBPK) dalam kategori Ketidakupayaan Penglihatan (BL). Sekolah ini terdiri daripada 21 orang guru, 4 orang Pembantu Pengurusan Murid (PPM) dan 36 orang murid [setakat Julai 2022].
SKPK Jalan Batu merupakan sekolah yang mendapat bantuan penuh kerajaan dan telah ditubuhkan pada tahun 1988. Terdahulu dari tarikh ini iaitu dari tahun 1986 hanya dikenali sebagai ‘Bilik Resos’ untuk murid-murid cacat penglihatan dalam Program Pendidikan Khas Intergrasi Pendidikan Cacat Penglihatan di Sekolah Rendah Kebangsaan (L) Jalan Batu 1.
Apabila sekolah ini dibawah pentadbiran sendiri pada tahun 1988, satu blok atas, bangunan SRK(L) Jalan Batu telah diserahkan kepada Sekolah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) untuk kegunaannya. Blok yang mengandungi 3 buah bilik darjah ini telah disekat-sekat untuk menjadi beberapa buah bilik yang boleh menampung kelas-kelas Tadika, Tahun 1 hingga 6, Pejabat Am, Pejabat Guru Besar dan Pusat Sumber.
Blok ini menempatkan kelas-kelas Tadika, tahap 1 dan Bilik Muzik. Murid-murid di sekolah ini terdiri daripada lelaki dan perempuan dari pelbagai bangsa yang berumur dari 4 tahun hingga 14 tahun. Mereka tinggal disekitar Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Shah Alam. Di sini mereka belajar bermula dari Kelas Tadika hingga ke Tahun 6. Bagi murid yang mempunyai kepelbagaian ketidakupayaan, mereka mendapat perhatian khusus di Kelas Pemulihan di sini. Sukatan pelajaran yang digunakan adalah sama dengan sekolah-sekolah normal. Cuma kaedah pengajaran dan pembelajaran sahaja yang berbeza.
Laluan di dalam bangunan SKPK Jalan Batu
Laluan ke Bilik Terapung di hadapan kelas Prasekolah
Laluan di hadapan bilik guru menghala ke SK (L) Jalan Batu
Kelas Murid Tahun 2
Bagi MBPK kategori B1, murid akan menggunakan Braille. Buku teks braille yang digunakan oleh MBPK ini adalah sama seperti buku teks KSSR yang digunakan di peringkat kebangsaan. Manakala bagi MBPK kategori B2 & B3, murid akan menggunakan buku teks bercetak besar yang diterbitkan dari buku teks biasa. Mereka juga menggunakan alat-alat bantuan pelajaran seperti kanta pembesar dan close cicuit TV untuk membantu mereka dalam pembelajaran. Murid-murid ini juga menjalani pentaksiran bilik darjah [PBD] yang sama seperti murid di arus perdana. Semasa menjalani peperiksaan am dan sekolah, mereka diberi peruntukan kelebihan masa setengah jam daripada murid arus perdana bagi menyempurnakan kertas jawapan mereka.
Disamping itu, dalam sukatan pembelajaran MBPK ini juga diajar beberapa subjek istimewa seperti Orientasi dan Mobiliti, Kemahiran Manipulatif, Aktiviti-aktiviti koordinasi [untuk murid-murid tadika dan pemulihan] dan menaip bagi pelajar-pelajar Tahun 5 dan 6. Adalah diharap pada masa hadapan dengan adanya kemampuan yang mengizinkan, sekolah ini akan memulakan kelas-kelas komputer Braille.
Aktiviti-aktiviti kokurikulum di sekolah ini ialah kegiatan beruniform Pengakap, Kelab dan Persatuan Rukun Negara dan Sukan Goalball. Aktiviti kokurikulum ini divariasikan tahun demi tahun mengikut kesesuaian MBPK. Sekolah ini juga aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum di peringkat daerah, negeri dan juga kebangsaan dalam kategori pendidikan khas antaranya ialah pertandingan e-Nilam, e-Mahabbah, Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas, e-Nyanyian dan bermacam pertandingan lain yang sememangnya mencungkil bakat MBPK. Kemasukan di sekolah ini adalah percuma dan boleh diuruskan melalui Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan atau menghubungi terus ke sekolah ini
Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Batu mempunyai satu keistimewaan yang dibanggakan. Sekolah ini bukan sahaja terletak di tengah-tengah bandar, malah ia sangat berdekatan dengan bangunan yang amat bersejarah di tengah kota raya iaitu Bangunan Sultan Abdul Samad.
Bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak di hadapan Dataran Merdeka adalah mercu tanda bagi bandar raya Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia. Bangunan ini mengambil nama Sultan Abdul Samad, sempena nama Sultan Selangor pada masa ia mula dibina 1894. Di hadapan bangunan indah ini beberapa peristiwa sejarah berlaku. Di sinilah tempat di mana bendera Union Jack diturunkan pada 31 Ogos 1957 dan bendera Jalur Gemilang dikibarkan. Peristiwa ini menunjukkan berlalulah satu era dijajah kepada era masyarakat yang merdeka. Bangunan ini diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan dalam kategori Tapak Warisan pada 2007 oleh Jabatan Warisan Negara, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia di bawah Akta 645.
Oleh kerana itu, lokasi kedudukan SKPK Jalan Batu dikira sangat bertuah kerana keistimewaan berada sangat hampir dengan bangunan yang sungguh bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia.
Mentafsirkan SPK sebagai sekolah yang menyediakan pendidikan khas bagi MBK pada semua peringkat persekolahan. SPK dikendalikan sepenuhnya oleh Bahagian Pendidikan Khas (BPKhas) KPM.
[Akta pendidikan 1996]
Murid yang diperakukan oleh pengamal perubatan, ahli optik, ahli audiologi atau ahli psikologi, mengikut mana-mana yang berkenaan, sama ada dalam perkhidmatan kerajaan atau tidak, sebagai murid yang mempunyai;
ketidakupayaan penglihatan;
ketidakupayaan pendengaran;
ketidakupayaan pertuturan;
ketidakupayaan fizikal;
masalah pembelajaran;
[Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013]