Bidang kegiatan membentuk dan membuat binaan merupakan salah satu aktiviti yang mengandungi karya yang berbentuk 3 dimensi. Berdasarkan rekaan bentuk, pelbagai jenis kraf boleh dihasilkan. Bidang ini juga mengembangkan persepsi murid terhadap aspek seni dari segi ruang, bentuk, imbangan, struktur dan kestabilan. Ia memainkan peranan yang amat penting dalam perkembangan kanak- kanak serta membolehkan pemikiran yang kreatif dibina dari segi seni visual.
Teknik Membentuk dan Membuat Binaan Tahun 4 :
Diorama adalah satu model tiga dimensi (3D) yang mengandungi pelbagai objek untuk menggambarkan situasi yang sebenar. Diorama biasanya dipamerkan di dalam muzium untuk menceritakan peristiwa-peristiwa sejarah atau untuk tujuan pendidikan. Selain itu, diorama juga disimpan sebagai koleksi seni di dalam rumah. Diorama terdapat dalam pelbagai bentuk, saiz dan tahap ketelitian. Diorama biasanya dibina di atas tapak khas yang dipanggil diorama base.
Arca adalah suatu bentuk dalam susunan tiga dimensi. Permukaannya dapat dirasai serta dipandang dari pelbagai sudut. Pengertian arca berasal daripada bahasa latin iaitu sculpere bermakna satu proses mengukir, melarik , mencungkil dan menguris. Selalunya arca dapat dilihat di galeri, Taman permainan, dan tempat – tempat yang menjadi tarikan pelancong seperti di muzium dan Tugu Peringatan.
Arca bersifat realis atau abstrak. Arca realis menampilkan objek sebenar yang difahami kewujudannya seperti ukiran dan acuan patung manusia. Arca abstrak pula adalah bersifat konseptual dan memerlukan daya pemikirkan yang tinggi untuk menginterpretasikan betuk dan maksud arca tersebut. Ini sesuai dengan peranan pengarca itu sendiri dalam merakam segala pengalaman dalam kehidupan melalui perluahan rasanya ke dalam bentuk arca. Arca terbahagi kepada dua kategori yang besar iaitu arca estetik dan arca berfungsi.