Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah dengan izin dan limpah kurnia-Nya, Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) telah berjaya menghasilkan Modul Pelaksanaan PBL STEM Bersepadu secara digital untuk kegunaan guru di sekolah yang terlibat dengan Projek STEM Executive Consultation (STEMEC) secara khususnya dan semua pendidik secara amnya. Pendidikan STEM merupakan agenda penting dalam transformasi pendidikan negara seperti yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Setiap guru berperanan untuk menguasai pengetahuan, kemahiran dan pendekatan pengajaran terutamanya pendekatan STEM supaya dapat merangsang murid untuk menyelesaikan masalah dunia sebenar secara berkesan. Penghasilan modul ini bertujuan memberi bimbingan dan sokongan kepada guru dalam meningkatkan pengetahuan, pemikiran, kepimpinan, etika/kerohanian dan identiti nasional. Modul ini memberi penekanan kepada Pembelajaran Berasaskan Projek atau Project-Based Learning (PBL) sebagai pedagogi terpilih untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang menggunakan pendekatan STEM di sekolah. Fokus diberikan kepada PdP yang melibatkan pengintegrasian pelbagai mata pelajaran bidang STEM dan bukan bidang STEM secara interdisiplin. Modul ini merangkumi video penerangan secara berfokus dan flipbook yang menunjukkan contoh pelaksanaan PBL STEM Bersepadu di sekolah rendah dan sekolah menengah.
Besar harapan saya agar modul ini dapat menjadi pencetus idea, melonjakkan motivasi serta membantu guru melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi menghadapi cabaran pendidikan masa kini. Akhir kata, syabas dan tahniah diucapkan kepada panel penulis dan semua pihak yang terlibat dalam pembinaan Modul Pelaksanaan PBL STEM Bersepadu ini. Semoga modul ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak dan menjadi pelengkap kepada pendekatan STEM. Usaha ini penting dalam merealisasikan aspirasi negara ke arah negara maju serta melahirkan warga Malaysia yang mampu bersaing di peringkat global melalui penciptaan, inovasi dan kreativiti.
Sekian, terima kasih.
DR. RUSMINI BINTI KU AHMAD
Pengarah
Bahagian Pembangunan Kurikulum