PENGENALAN
PENGENALAN
Pendidikan STEM adalah penting dalam dunia pendidikan global abad ke-21. Kebanyakan negara telah membangunkan pelan strategik dalam meningkatkan kualiti PdP STEM dan literasi STEM, serta menggalakkan murid memilih bidang ini dalam pengajian dan kerjaya. PPPM 2013-2025 dibangunkan bagi melaksanakan transformasi pendidikan negara. KPM komited dalam memastikan murid dilengkapi dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperlukan terutamanya dalam bidang STEM bagi menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks. Perubahan landskap pendidikan dunia terutamanya Pendidikan STEM menuntut KPM mengubah suai pendidikan formal agar seiring dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 (4IR) bagi melahirkan generasi yang berdaya saing di peringkat global.
Modul Pelaksanaan PBL STEM Bersepadu dibina berpandukan dapatan rintis Projek STEMEC pada tahun 2019 hingga 2020 di 32 buah sekolah seluruh negara. Projek STEMEC memberi fokus kepada pengalaman murid dalam pembelajaran bersepadu disiplin STEM yang mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam konteks dunia sebenar. PBL adalah pedagogi terpilih untuk pelaksanaan PdP menggunakan pendekatan STEM yang melibatkan pengintegrasian mata pelajaran bidang STEM dan bukan bidang STEM di bawah Projek STEMEC. Dapatan rintis Projek STEMEC menunjukkan dengan bimbingan dan sokongan pasukan secara kolaboratif, guru berupaya merancang dan melaksanakan PdP STEM yang menarik dan bermakna. Modul ini dihasilkan sebagai bahan rujukan guru bagi memberi pendedahan dan peluang pembelajaran secara fleksibel mengikut masa dan ruang tersendiri untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam melaksanakan PdP yang menggunakan pendekatan STEM.
Justeru, diharapkan modul ini dapat membantu guru dan pihak sekolah:
mempamerkan dengan jelas pelaksanaan Pendekatan STEM di sekolah secara bersepadu berbanding dengan secara berasingan/ konvensional;
memberikan murid peluang, pengalaman dan penghayatan pembelajaran kontekstual serta relevan dalam kehidupan harian;
meningkatkan minat murid terhadap STEM di sekolah;
meningkatkan keberhasilan murid dalam literasi STEM dalam kalangan murid; dan
melestarikan pendidikan STEM.