Sebagai kesimpulan, dapatlah dilihat bahawa FPK dan FPG sentiasa relevan dengan setiap perkembangan pendidikan di Malaysia. Meskipun ia tidak diperkenalkan secara rasmi sebelum negara mencapai kemerdekaan, visi pemerintah pada ketika itu adalah jelas iaitu ingin melahirkan generasi masa depan negara yang elok peribadinya mempunyai semangat cinta akan negara yang tinggi iaitu dengan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Antaranya seperti berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berketerampilan.
FPG pula diperkenalkan bagi menjelaskan tugas dan tanggungjawab guru yang bukan sahaja sebagai pendidik malah sebagai contoh teladan kepada murid-murid. Hal ini kerana, murid mula membina identiti dan peribadi di sekolah. Oleh itu, telah menjadi tugas guru supaya membentuk akhlak dan adab murid-murid kepada individu yang berkeperibadian yang mulia. Guru yang bersahsiah dan berakhlak mulia akan melahirkan anak didik penerus negara bangsa yang turut berpekerti mulia. Bak kata pepatah, "bagaimana acuan begitulah kuihnya".
Antara kesan keselarasan FPK dan FPG terhadap masa depan pendidikan ialah :
Setiap guru yang mengamalkan dan berpegang teguh dengan prinsip FPG akan dapat mendidik anak muridnya dengan penuh keikhlasan. Hal ini akan menyebabkan proses PdP berjalan dengan lebih efektif dan lancar.
Penyelarasan ini menyebabkan ilmu pembelajaran yang disampaikan menjadi lebih berkualiti. Hal ini disebabkan oleh pelbagai faktor seperti cara penyampaian ilmu dan juga kaedah pembelajaran yang berbeza dengan zaman dahulu.
Rakyat Malaysia yang berbeza kaum dapat menimba ilmu yang sama. Hal ini berbeza dengan zaman dahulu di mana setiap kaum menerima pelajaran yang berbeza mengikut ketetapan pemerintah pada ketika itu.