Sinopsis

Novel Sejambak Bakti bermula apabila Harun, Swee Lan dan Saridevi bertugas di koperasi sekolah sebelum loceng untuk sesi pembelajaran berbunyi. Cikgu Zulkifli datang kepada mereka dan menyerahkan surat panggilan untuk menyertai Mesyuarat Lembaga Pengarah untuk kali pertama pada tahun tersebut. Dalam Mesyuarat yang dilangsungkan di bilik mesyuarat pada waktu petang, seramai sebelas pelajar dan empat orang guru telah dipilih sebagai ahli lembaga pengarah. Cikgu Syamsudin yang merupakan pengetua sekolah sebagai pengerusi dan Razali telah dipilih sebagai penolong setiausaha. Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh pegawai daripada Jabatan Pembangunan Koperasi

Pelantikan Razali sebagai penolong setiausaha dicemburui oleh Munir. Bermula hari itu, dia sering memonteng tugas di koperasi sekolah bersma Leong dan Selvam. Munir juga cuba merapatkan diri dengan Ramlah dengan mengajak menonton wayang namun gagal. Sikap munir yang tidak hadir menjalankan tugas telah dilaporkan kepada guru kaunseling. Selepas peristiwa tersebut, Munir bertindak untuk berhadapan dengan Razali dan menumbuknya sehingga berdarah. Kejadian tersebut menyebabkan Munir dipanggil oleh pengetua dan dihukum rotan. Pada masa yang sama, Razali telah terpilih untuk menyertai kursus koperasi bersama-sama wakil koperasi sekolah dari seluruh Malaysia.

Koperasi Sekolah Menengah Teknik Pertanian Sri Kayangan telah menyertai sebuah pertandingan anjuran ANGKASA. Dua minggu sebelum pertandingan tersebut diadakan, warga sekolah telah dikejutkan denganpencerobohan yang berlaku di koperasi sekolah. Barang-barang di dalamnya dipunggah dan duit sebanyak RM200 telah hilang dicuri. Pihak sekolah melaporkan kepad apihak polis untuk membuat siasatan. Razali yang memiliki kunci koperasi telah dipanggil ke balai untuk membantu siasatan Bersama cikgu Zulkifli. Peristiwa ini telah membuatkan ayah tiri Razali berasa malu dan menghalaunya keluar dari rumah

Akhirnya, penjenayah sebenar berjaya ditangkap apabila berlaku pencerobohan kali kedua di koperasi tersebut. Munir telah ditangkap kerana memiliki sekeping wang kertas RM10 yang bertanda “K”. Akibatnya, Munir telah dihukum tiga kali sebatan rotan di hadapan pelajar lain di tapak perhimpunan. Selain itu, dia digantung sekolah selama seminggu. Hakim yang mengadili pertandingan koperasi yang disertai mereka hadir dan membuat pengadilan. Koperasi Sekolah Menengah Teknik Sri Kayangan telah diumumkan sebagai johan pertandingan yang dianjurkan oleh ANGKASA. Razali turut mendapat tahu tentang keberadaan ayah kandungnya yang merupakan ayah juga kepada Ramlah.