Pengenalan
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025) telah memasuki gelombang ketiga pelaksanaannya. Bagi mencapai aspirasi kerajaan untuk meletakkan pendidikan di Malaysia sebaris dengan negara maju, pemimpin sekolah perlu bertindak proaktif dalam melaksanakan setiap agenda transformasi pendidikan. Pemimpin sekolah perlu menjadi teladan dalam menggunakan teknologi digital. Mereka perlu menunjukkan kemahiran dan pemahaman yang kuat tentang teknologi dalam berkomunikasi, menguruskan data, dan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui teknologi. Sehubungan itu pemimpin dapat memberikan inspirasi kepada semua guru dan pelajar untuk mengadopsi dan memanfaatkan teknologi digital dengan lebih efektif. Pemimpin sekolah juga harus mampu membangun strategi dan dasar yang menggalakkan penggunaan teknologi digital dalam pengajaran dan pembelajaran. Mereka perlu mempertimbangkan keperluan dan harapan pihak berkepentingan di sekolah, dan menentukan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mencapai tujuan digitalisasi.
Anjakan paradigma dalam konsep kepimpinan menuntut pemimpin sekolah perlu bersikap proaktif dalam melaksanakan teknologi dan bersedia dengan pengetahuan dan kemahiran berkaitan teknologi baharu (Avolio et al., 2000; Ottestad, 2013). Sebagai pemimpin teknologi digital, pemimpin sekolah terlebih dahulu harus menguasai aspek kepimpinan digital dan berkompetensi menggunakan teknologi serta perlu berfikiran futuristik dalam merancang jika ingin bersaing dalam dunia pendidikan yang kompetitif (Ariffin, 2020). Sehubungan itu, Kursus Kepimpinan Digital ini direka bentuk khas untuk pemimpin sekolah dalam menguasai kepimpinan digital bertujuan mengurus organisasi bagi menghasilkan modal insan berkemahiran abad ke 21 dan menepati aspirasi murid fasih digital seiring dengan Dasar Pendidikan Digital, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Objektif
Pada akhir kursus, peserta dapat:
Mengetahui tahap kompetensi digital diri sendiri
Meningkatkan pengetahuan digital bagi pengurusan organisasi pendidikan;
Merancang strategi bagi membangunkan pendidikan digital dalam organisasi;
Memanfaatkan penggunaan teknologi digital bagi mencapai matlamat organisasi melalui amalan kepimpinan digital;
Mewujudkan hubungan yang baik melalui kepimpinan dan komunikasi digital dalam kalangan warga sekolah serta komuniti setempat;
Menyediakan ruang untuk perkongsian ilmu dan amalan terbaik dalam kepimpinan digital; dan
Mentransformasikan organisasi ke arah pendigitalan pendidikan.
Kandungan Modul MDL
Konsep Kepimpinan Digital
Komponen Literasi Digital dalam kepimpinan dan pengurusan pendidikan.
Kompetensi digital dalam kepimpinan dan pengurusan pendidikan.
Pemikiran Komputasional dalam Kepimpinan Digital.
Wawasan pendidikan digital dalam organisasi.
Pengintegrasian dan transformasi digital dalam kepimpinan dan pengurusan pendidikan.
Kepimpinan projek.
Penghasilan kertas kerja cadangan projek digital Organisasi
Overview dan refleksi perkongsian isu serta cabaran dalam pelaksanaan projek.
Perkongsian amalan terbaik kepimpinan digital oleh pemimpin badan korporat.
Pelaksanaan Kursus
Kursus MyDigital Leaders memberi pendedahan berkaitan pendigitalan dalam pendidikan kepada pemimpin pendidikan dalam usaha ke arah membudayakan penggunaan teknologi digital pada masa akan datang.
Modul ini mengandungi tiga (3) fasa yang melibatkan Fasa Asas, Fasa Pertengahan dan Fasa Lanjutan.
Fasa Asas meliputi tiga subtopik utama (i) Pemikiran Komputasional, (ii) Kompetensi Digital (iii) Kepimpinan Digital.
Fasa Pertengahan (i) Kepimpinan Digital, (ii) Penetapan Wawasan Digital, (iii) Transformasi Digital (iv) Pengintegrasian Digital dan Aplikasi Teknologi.
Fasa Lanjutan (i) Pembelajaran sepanjang hayat, (ii) Perkongsian Amalan Terbaik (iii) Pembentangan Progres Pelaksanaan Projek
(iv) Pembudayaan dan Kelestarian Pendigitalan Organisasi.
Penilaian akhir Peserta seterusnya akan membentangkan projek digital untuk dilaksanakan dalam organisasi.