Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Alhamdulillah segala puji kepada Illahi kerana Program Diploma Teknologi Kimpalan telah berjaya mendapat pengiktirafan akreditasi penuh dari Malaysia Board of Technologists (MBOT) sehingga tahun 2024. Sekalung tahniah dan terima kasih kepada warga Jabatan Teknologi Mekanikal dan Pembuatan atas kerjasama dan komitmen bagi memastikan Program Diploma Teknologi Kimpalan terus menerus mendapat pengiktirafan akreditasi dari MBOT. Pengiktirafan ini penting bagi memastikan kemenjadian dan kebolehpasaran para pelajar dalam mendepani revolusi industri 4.0.
Netizen mula membuka mata apabila banyak kejayaan graduan TVET dipaparkan di dada-dada akhbar. Kempen secara meluas di dalam media nasional sama ada stesen TV dan radio serta media sosial giat digerakkan bagi memaparkan sisi positif laluan kerjaya ini. Antaranya adalah graduan TVET dari Kolej Vokasional yang berjaya menjadi jurukimpal wanita pertama dalam air di Malaysia dengan bayaran lumayan. Ini jelas menunjukkan graduan TVET terutamanya dari Kolej Vokasional menjadi rebutan para pemain industri dan peluang pekerjaan sentiasa terbuka . Oleh itu para graduan TVET perlulah merebut peluang berkenaan untuk mempelajari kemahiran dalam satu bidang khusus sebagai persediaan pekerjaan serta kemahiran yang boleh menjadi penyelamat keadaan yang mencabar kini.
Kesimpulannya, dalam mendokong aspirasi TVET negara, pemahaman terhadap pemerkasaan TVET perlu dicerna dengan baik agar masyarakat secara umumnya jelas dengan maksud dan matlamat agenda TVET negara, lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan situasi endemik ini.
Mohd Suhardy Bin Zainal
Ketua Jabatan
Jabatan Teknologi Mekanikal dan Pembuatan
Kolej Vokasional Gerik