Geotapak berlandskap pantai berbatu indah ini dibentuk oleh lapisan-lapisan batuan yang berusia sekitar 15 juta tahun dahulu. Lapisan batuan yang terdedah mempamerkan sebuah pentas hakisan yang sangat luas dan memukau pandangan.
Turut kaya dengan kepelbagaian geologi berkualiti tinggi seperti perlapisan silang batu arang, laminasi konvolut, kas beban, kesan riak, struktur bebola dan bantal serta kas palung. Kewujudan mineral garam Epsomite yang sangat langka ditemui dan struktur gerbang laut yang unik menjadikan geotapak ini antara yang menonjol di Pulau Labuan.
Geotapak ini juga terdiri daripada pantai berlumpur berselang-seli dengan pantai berpasir dan terletak tidak jauh dengan Sanktuari Hidupan Liar Pulau Ular yang merupakan tempat pembiakan tiga spesies burung tern iaitu Camar Batu, Camar Topi Hitam dan Camar Jambu. Kepelbagaian biologi di sini menambah nilai warisan geotapak ini.
Fitur geomorfologi menarik iaitu tafoni yang seakan menyerupai sarang lebah lazimnya terbentuk pada permukaan batu di tepi pantai yang terdedah kepada semburan air garam dari laut. Air bergaram yang terkumpul pada permukaan batuan akan meresap memasuki batuan.
Apabila kering air bergaram akan meruap dan membentuk hablur garam yang akan membuka liang-liang antara butiran batuan menjadi lebih besar dan akhirnya terhakis lalu membentuk struktur seperti sarang lebah.
Lokasi Geo Tapak 6
Pemandangan pentas hakisan luar biasa yang mendedahkan lapisan batuan secara selari.
Klasta-klasta batu arang yang tersusun cantik mengikut lapisan silang pada batu pasir.
Struktur sedimen lapisan silang yang sangat jelas dan sempurna.
Mineral Epsomite yang sangat jarang ditemui terhablur dengan cukup sempurna pada permukaan batuan.
Pengaruh ombak berterusan telah membentuk struktur unik ini yang dikenali sebagai gerbang laut.
Sanktuari Hidupan Liar Pulau Ular yang terletak berhampiran merupakan tempat pembiakan tiga spesies burung tern yang belum terganggu.
Landskap pantai berlumpur berselang seli dengan pantai berpasir yang luas.
Tafoni sarang lebah.