15 juta tahun lampau, geotapak ini ialah sebuah muara sungai kuno yang kini telah berubah menjadi sebuah kawasan berlandskap pantai berbatu dan berpasir putih indah. Batuan di sini mempamerkan jujukan struktur sedimen yang paling sempurna berkualiti buku teks dan merupakan contoh muara kuno terbaik di Malaysia. Struktur sedimen utama yang ditemui adalah perlapisan silang yang sangat jelas dan dominan pada batu pasir yang terhasil disebabkan oleh kegiatan arus air. Selain itu, batu arang juga sangat lazim ditemui di sini.
Geotapak ini juga unggul dengan sejarah penting bagi Pulau Labuan kerana di sinilah terdapatnya “Raffles Anchorage” iaitu peninggalan bekas tapak kapal-kapal mengisi semua bahan bakar batu arang untuk menjalankan enjin stim pada era perlombongan zaman penjajah suatu ketika dahulu. Turut menjanjikan pemandangan yang memukau, geotapak ini amatlah ideal dijadikan tempat rekreasi utama melihat matahari terbit dan para jurugambar khususnya ahli geologi untuk merakam foto batuan sedimen yang sangat berkualiti tinggi.
Lokasi Geo Tapak 2
Struktur lapisan silang pelbagai jenis dan bentuk tersingkap sangat sempurna pada kebanyakan batuan di sini.
Tindakan ombak yang berterusan menghasilkan rupa bumi gua laut yang unik.
Kewujudan batu arang berbentuk klasta dan kekanta yang lazim ditemui pada batu pasir.
Gedung ubat merupakan tempat penyimpanan peluru ketika zaman penjajahan British .
Rupa bumi tafoni yang unik di permukaan batu pasir berwarna putih.