PENGENALAN
Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) merupakan peringkat pertama dalam sistem pendidikan sebelum memasuki Pendidikan Rendah dan Menengah.Pendidikan Awal Kanak-kanak merangkumi pengajaran kanak-kanak dari o hingga 6 tahun. Awal kanak-kanak ialah istilah yang merujuk kepada tempoh masa kanak-kanak sejak lahir hingga ke tahap lapan tahun. Konsep PAKK di Malaysia terdiri daripada dua peringkat berdasarkan tahap umur kanak-kanak. Peringkat pertama adalah TASKA khas untuk kanak-kanak di bawah umur 4 tahun manakala peringkat kedua adalah peringkat prasekolah, tabika untuk kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun. Oleh itu, pendidikan Prasekolah adalah program yang menyediakan pengalaman pembelajaran kanak-kanak yang berumur 4-6 tahun selama setahun sebelum mereka masuk ke tahun 1.
TASKA adalah singkatan kata dari Taman Asuhan Kanak-kanak. TASKA boleh didefinisikan sebagai "mana-mana premis yang menerima masuk kanak-kanak melebihi 4 orang yang berumur 4 tahun kebawah selain dari seisi rumah dengan menerimaupah." TASKA adalah berbeza dengan Prasekolah dan Tabika. Tujuan TASKA adalah untuk membantu ibu bapa menjaga anak mereka sepanjang ketiadaan ibu bapa. Penubuhan TASKA perlu didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Sementara di sekolah-sekolah kerajaan pula lebih dikenali sebagai PRASEKOLAH. Peringkat umur pula di antara 4 hingga 6 tahun. Juga bertujuan memberi pengalaman awal kepada kanak-kanak sebagai persediaan untuk memasuki persekolahan arus perdana. Konsep yang digunakan ialah "Belajar Sambil Bermain" dengan menekankan "Pembelajaran Bertema". Kaedah pembelajaran ialah meliputi aktiviti kelas, aktiviti kumpulan dan aktiviti individu. Keunikan prasekalah yang dianjurkan Kementerian Pelajaran Malaysia (КРМ) ialah aktiviti kumpulan yang berupaya meningkatkan kualiti kawalan emosi dan intelektual. Pendedahan terhadap aktiviti ini dapat menyediakan asas yang kukuh bagi pembelajaran berkonsepkan sekolah bestari.
Program pendidikan awal kanak-kanak yang dianjurkan oleh KEMAS dikenali sebagai Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) merupakan program yang memberi peluang pendidikan awal bagi kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun. Konsep Tabika KEMAS ialah 'Belajar Melalui Bermain' yang diselaraskan dengan sifat semula jadi kanak-kanak iaitu bermain, ingin tahu dan mencuba. Konsep tersebut kemudiannya diperluaskan kepada menguasai kemahiran 4M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul). Ini bertujuan untuk memberi peluang dan galakan kepada kanak-kanak menguasai kemahiran asas dan pengalaman yang akan memudahkan mereka menerima pendidikan formal di sekolah rendah kelak.