Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) yang pada asalnya dikenali sebagai Kolej Yayasan Pelajaran MARA (KYPM) telah diasaskan sebagai sebuah institut pengajian tinggi swasta di bawah Akta Institut Pengajian Tinggi Swasta Tahun 1996 (Akta 555) pada September 2003. KPTM diuruskan oleh Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh Majlis Amanah Rakyat (MARA). KPTM menawarkan pelbagai peluang pendidikan dalam bidang-bidang seperti Teknologi Maklumat, Sains Komputer, Sains Kesihatan, Sains Sosial, Perakaunan, Pengurusan Perniagaan, Kejuruteraan, Kemanusiaan dan Bio-Industri.
Pada Jun 1983, Maktab Sains MARA (dahulunya dikenali sebagai Kolej Komuniti MARA) telah ditubuhkan di Kuantan, Pahang dengan menawarkan sebuah program berkembar yang dikenali sebagai Ijazah Bersekutu Amerika (American Associate Degree, AAD). Program ini telah diterima dengan baik oleh lebih daripada 75 universiti di Amerika Syarikat dan New Zealand sebagai program ijazah pemindahan 2+2 dan seterusnya beberapa pakatan strategik antarabangsa telah dibentuk bersama Konsortium Utara United Kingdom (1988), Konsortium Pengajian Tinggi Australia di Malaysia (1994) dan Konsortium Pengajian Tinggi British di Malaysia (1994) yang membolehkan pelajar untuk melanjutkan pelajaran mereka di beberapa universiti ternama UK dan Australia.
KPTM juga telah menjalinkan kolaborasi bersama universiti awam dan swasta tempatan seperti Universiti Teknologi MARA (1994), Universiti Putra Malaysia (1995), Universiti Malaya (1995), Universiti Kebangsaan Malaysia (1996), Universiti Sains Malaysia (1996), Universiti Multimedia (1998), Universiti Utara Malaysia dan Pusat Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia (1999).
Kekuatan KPTM sedia ada dibina melalui rekod yang cemerlang dengan penggabungan 2 institusi terkemuka MARA iaitu Kolej Yayasan Pelajaran MARA (KYPM) dan Akademi Infotech MARA (AIM).
KPTM telah berkembang sejak penubuhannya sebagai antara institut pengajian tinggi swasta Bumiputera yang terbesar di Malaysia dengan seramai lebih 17,600 orang pelajar sepenuh masa di sembilan kampus; Kuala Lumpur, Bangi, Kuantan, Batu Pahat, Ipoh, Alor Setar, Kota Bharu, Semporna dan Gua Musang. Sehingga ke hari ini, KPTM telah menghasilkan seramai 32,487 orang graduat sejak penubuhannya secara rasmi pada tahun 2003.