A. Terma dan syarat penyertaan pertandingan
Penyertaan akademi pidato terbuka kepada semua wakil agensi awam.
Tema pidato ialah Perkhidmatan Awam 5.0: Menakhoda Tatakelola MADANI.
Terdapat tiga peringkat dalam pertandingan iaitu saringan, separuh akhir dan akhir seperti yang berikut:
Peringkat Saringan – Peserta menyerahkan rakaman video pidato selama tiga minit (penyerahan video tidak wajib tetapi akan menjadi markah tambahan penilaian peserta untuk mara ke peringkat seterusnya) melalui Borang Penyertaan Gegar Pidato 2025 secara dalam talian Google (Google Form) di pautan https://forms.gle/bMqhcxKVMqRddVcSA. Peserta disyaratkan untuk berdiri statik dan memakai pakaian pejabat di dalam video pidato tersebut. Peserta juga perlu memuat naik video tersebut ke Google Drive masing-masing dan menjana pautan video tersebut untuk disertakan ke dalam borang penyertaan. Penyertaan hanya terhad kepada 100 peserta terawal sahaja.
Peringkat Separuh Akhir – 50 pemidato terpilih akan diundang bagi Akademi Pidato Perkhidmatan Awam di INTAN Jalan Elmu. Pada hari terakhir akademi, saringan Separuh Akhir akan dijalankan bagi memilih 20 peserta yang akan mara ke Pertandingan Separuh Akhir. Kaedah pertandingan seperti yang dijelaskan di perkara B, C dan D.
Peringkat Akhir – Sepuluh orang peserta yang melepasi separuh akhir akan berentap di pentas akhir yang akan diadakan secara bersemuka di INTAN Bukit Kiara. Kaedah pertandingan seperti yang dijelaskan di perkara B, C dan D.
Akademi Pidato Perkhidmatan Awam akan diadakan bagi peserta yang terpilih di peringkat saringan sehingga peringkat akhir seperti yang berikut:
Akademi akan dilaksanakan bagi 50 peserta yang melepasi saringan pada 6 hingga 9 Mei 2025 secara bersemuka di INTAN Jalan Elmu. Maklumat lanjut akan disusulkan kepada peserta terpilih; dan
Sebanyak sembilan sesi penataran akan dijalankan bagi peserta yang akademi sebagai wadah pembangunan kemahiran berpidato serta persediaan ke pentas akhir bagi peserta yang terpilih.
Kesemua sesi akan dikendalikan oleh pemidato-pemidato berpengalaman di peringkat kebangsaan.
Hanya sepuluh orang peserta yang terbaik akan disenarai pendek bagi menentukan kedudukan sebagai johan, naib johan, tempat ketiga, keempat dan kelima serta sagu hati. Pertandingan akhir akan dilaksanakan pada 29 Mei 2025 di INTAN Bukit Kiara. Maklumat lanjut akan dikemukakan kepada sepuluh peserta terlibat.
Pemidato yang terbaik akan dipilih oleh juri yang dilantik dan keputusan ketua juri adalah muktamad.
Berpidato hanya dalam bahasa Melayu.
B. Kaedah Pertandingan
Peserta diberi masa tujuh minit untuk berpidato;
Loceng akan dibunyikan sekali, dua minit sebelum tamat, dan dua kali setelah tamat masa yang diperuntukkan untuk menyampaikan pidato.
Penyampaian pidato selepas loceng penamat dibunyikan tidak akan diberi markah.
Juri pertandingan boleh bertanyakan soalan spontan berdasarkan bidang kemahiran masing-masing namun soalan tersebut haruslah termaktub dalam tema yang ditetapkan. Peserta harus menjawabnya dalam tempoh masa seminit sahaja.
Hakim pertandingan berhak memberhentikan pidato peserta pada bila-bila masa sekiranya pemidato melanggar sebarang syarat pertandingan.
C. Syarat Pertandingan
Sebarang kritikan terhadap isu sensitif yang berkaitan dengan agama, bangsa dan kebudayaan atau terhadap keperibadian seseorang adalah dilarang. Kesalahan ini akan menyebabkan markah adab dipotong.
Penggunaan bahasa atau tutur kata yang kurang sopan adalah dilarang. Kesalahan ini akan menyebabkan markah adab dipotong.
Peserta yang membaca nota atau teks, menyentuh isu sensitif, menggunakan bahasa yang kurang sopan dan tidak sempat membuat kesimpulan (semua kesalahan tersebut atau mana-mana satu daripadanya), tidak layak untuk diumumkan sebagai pemenang pertandingan.
Peserta pidato diwajibkan memakai pakaian pejabat.
Pengerusi majlis berhak menegur peserta yang melanggar mana-mana peraturan di atas.
Hakim pertandingan berhak memberhentikan pidato yang disampaikan sekiranya idea/isi yang dikemukakan menyentuh isu sensitif secara keterlaluan.
D. Permarkahan
Idea/Isi
Peserta pidato akan diadili dari segi pengutaraan tiga idea atau isi. Isi/idea hendaklah bernas yang disokong oleh data bahan yang tepat/ logik sebagai peneguh huraiannya.
Bahasa
Peserta pidato akan diadili dari segi bahasa yang jelas dengan struktur dan sebutan yang baik, gaya bahasa yang berkesan dan tepat dengan maksud yang hendak disampaikan.
Penyampaian dan Persembahan
Peserta pidato akan diadili dari segi persembahan yang lancar, kesesuaian nada, meyakinkan, gaya yang menarik dan susunan isi yang tertib. Lima markah maksimum akan dipotong jika peserta tidak memberi salam/kata-kata aluan atau menyentuh isu sensitif serta menunjukkan pelakuan/tutur kata yang kurang sopan.