A. Terma dan syarat penyertaan pertandingan
Penyertaan akademi pengacaraan terbuka kepada semua wakil agensi awam melalui pautan https://forms.gle/HC15hAGgtqj7znt99.
Terdapat tiga peringkat dalam sayembara iaitu saringan, separuh akhir dan akhir seperti yang berikut:
Peringkat Saringan – Peserta yang menyertai akademi akan disaring dalam penilaian berterusan oleh penceramah, fasilitator dan urus setia. Penyertaan hanya terhad kepada 50 peserta terpilih sahaja.
Peringkat Separuh Akhir – Pada hari terakhir akademi, Sayembara Separuh Akhir akan dijalankan kepada 25 peserta terbaik saringan bagi memilih sepuluh peserta terbaik yang akan mara ke pentas akhir. Kaedah sayembara seperti yang dijelaskan di perkara B, C dan D.
Peringkat Akhir – Sepuluh orang peserta yang melepasi separuh akhir akan berentap di pentas akhir yang akan diadakan secara bersemuka di INTAN Bukit Kiara. Kaedah pertandingan seperti yang dijelaskan di perkara B, C dan D.
Akademi Pengacaraan Perkhidmatan Awam akan diadakan bagi peserta yang terpilih di peringkat saringan sehingga peringkat akhir seperti yang berikut:
Akademi akan dilaksanakan bagi 50 peserta pada 21 hingga 23 April 2025 secara bersemuka di INTAN Jalan Elmu. Maklumat lanjut akan disusulkan kepada peserta terpilih; dan
Sebanyak sembilan sesi penataran akan dijalankan bagi peserta yang akademi sebagai wadah pembangunan kemahiran pengacaraan serta persediaan ke pentas akhir bagi peserta yang terpilih.
Kesemua sesi akan dikendalikan oleh pengacara majlis berpengalaman daripada Persatuan Pengacara Perkhidmatan Awam (PPPA).
Hanya sepuluh orang peserta yang terbaik akan disenarai pendek bagi menentukan kedudukan sebagai johan, naib johan, tempat ketiga, keempat dan kelima serta sagu hati. Pertandingan akhir akan dilaksanakan pada 29 Mei 2025 di INTAN Bukit Kiara. Maklumat lanjut akan dikemukakan kepada sepuluh peserta terlibat.
Pengacara yang terbaik akan dipilih oleh hakim yang dilantik dan keputusan ketua hakim adalah muktamad.
Pengacaraan akan dilaksanakan dalam bahasa Melayu dan/atau Inggeris tertakluk kepada urus setia pertandingan.
B. Kaedah Pertandingan
Sayembara dibahagi kepada dua pusingan iaitu Berskrip dan Spontan.
Peserta diberi masa lima minit untuk Pusingan Berskrip. Skrip disediakan oleh peserta dan bahagian yang disayembarakan ialah bermula daripada awal skrip sehingga tamat masa.
Peserta diberi masa minimum dua minit dan maksimum empat minit bagi Pusingan Spontan. Jenis majlis akan dicabut sebelum sayembara berlangsung.
Penyampaian selepas loceng penamat dibunyikan tidak akan diberi markah.
Setiap peserta akan diberikan maksimum tiga jenis gangguan ketika Pusingan Spontan bergantung kepada pertimbangan panel hakim.
C. Syarat Pertandingan
Sebarang kritikan terhadap isu sensitif yang berkaitan dengan agama, bangsa dan kebudayaan atau terhadap keperibadian seseorang adalah dilarang. Kesalahan ini akan menyebabkan markah adab dipotong.
Penggunaan bahasa atau tutur kata yang kurang sopan adalah dilarang. Kesalahan ini akan menyebabkan markah adab dipotong.
Peserta diwajibkan memakai pakaian pejabat yang dibenarkan oleh pekeliling yang berkuat kuasa.
Pengerusi majlis berhak menegur peserta yang melanggar mana-mana peraturan di atas.
Hakim pertandingan berhak memberhentikan/mengulang giliran peserta pada bila-bila masa atas sebab-sebab yang wajar
D. Permarkahan
Vokal
Peserta akan diadili dari segi kejelasan, pengawalan, dan lantunan suara yang dinamik, seimbang, serta mampu menarik perhatian audiens dengan intonasi yang berkesan.
Ton
Peserta akan diadili berdasarkan keselarasan ton suara dengan emosi yang ditonjolkan, kepelbagaian ton suara dan keselarian ton dengan teks.
Diksi
Peserta akan diadili berdasarkan penggunaan kosa kata yang kaya, kesesuaian perkataan dan impak perkataan kepada audiens.
Tempo
Peserta akan diadili berdasarkan kelajuan bicara, jeda yang strategik dan pengawalan ritma ucapan yang mempengaruhi kejelasan, kesan dramatik serta daya tarik penyampaian kepada audiens.
Bahasa
Peserta diadili dari segi ketepatan tatabahasa, struktur ayat yang lengkap dan gramatis serta sebutan baku yang jelas, lancar, dan mematuhi norma sebutan dalam bahasa Melayu standard.
Penampilan
Peserta diadili dari segi pemakaian yang kemas, bersesuaian dengan tema/teks dan mencerminkan profesionalisme, serta aksesori/solekan yang sederhana, tidak berlebihan, dan melengkapi penampilan secara harmoni