Allah memberitahukan nikmat-Nya dan rahmat-Nya kepada makhluk-makhlukNya, kerana Dia mendedahkan Al-Qur'an kepada hamba-hamba-Nya, Dia memberi penghafalan dan pemahaman dengan mudah bagi orang-orang yang Dia telah berikan rahmatNya.
Dia telah mengajar Al-Quran.
Dia mencipta manusia.
Dia mengajarnya Al-Bayan.
Al-Hasan berkata: "ucapan yang fasih."
Ini merujuk kepada Allah mengajar Al-Qur'an iaitu mengajar para hamba bagaimana cara membacanya dengan memudahkan mereka bercakap dan mengucapkan makhraj dari pelbagai bahagian mulut, seperti jambatan alveolar, lidah dan bibir.
Ayat 1:
(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya.
Ayat ini ada satu perkataan sahaja. Begitu hebat sekali. Allah buat begini kerana hendak kita memikirkan dan tadabbur pada makna ayat ini. Banyak sekali pengajaran yang kita boleh ambil.
Setiap ketika dan masa, ada sahaja rahmah yang Allah berikan kepada kita. Apabila kita membaca satu ayat ini, bayangkan apakah rahmah yang Allah sedang beri kepada kita sekarang, hari ini, semalam, minggu ini, minggu lepas dan sebagainya. Tidak terkira banyaknya tapi cubalah. Ada yang kita perasan dan ada yang kita tidak perasan pun. Tidak akan habis kalau kita nak kira.
Dan nikmat yang Allah berikan kepada makhluk adalah dalam bentuk rohani dan jasmani. Nikmat rohani adalah faedah kepada roh – santapan rohani. Dan dalam ayat kedua nanti, Allah dulukan nikmat rohani. Kerana nikmat jasmani lebih rendah dari nikmat rohani. Nikmat rohani adalah asal nikmat. Kerana kalau dapat nikmat rohani, ia dari dunia sampai syurga. Kalau nikmat jasmani, setakat hidup di dunia sahaja.
Dialah Tuhan yang bersifat Rahman. Dalam Qur’an, ada dua nama yang selalu digunakan untuk DiriNya, samada Allah atau ar-Rahman. Tapi dalam ayat ini, hanya ada ar-Rahman. Ar-Rahman bermaksud sangat-sangat pemurah. Ia juga dalam bentuk present tense, bermaksud Allah ‘sedang’ melakukan aktiviti ‘pemurah’ itu. Kerana kalau kata seseorang itu seorang yang suka memberi sedekah, tidak semestinya dia sedang memberi sedekah waktu itu. Tapi ar-Rahman bermaksud, Allah sedang bersifat Rahmah semasa kita menyebut namaNya itu.
Allah menyebut salah satu sifatNya dalam ayat ini. Asal perkataan ar-rahman itu dari perkataan ‘rahmah’. Kalau kita lihat, tempat kita semasa dalam perut ibu kita pun dipanggil rahim yang juga dari katadasar yang sama dengan rahman, rahmah, rahmat.
Ada banyak makna rahmah itu. Antaranya: sayang, kasihan, cinta, kelembutan, kemaafan. Ia juga mengandungi makna keselamatan. Ianya mempunyai makna seseorang itu diberikan segalanya itu tanpa dia melakukan apa-apa. Tanpa ada usaha apa-apa, tapi diberikan kepada mereka. Kalau kita buat kerja, memang kita layak dapat upah. Tapi itu apabila kita ada buat kerja. Dalam hal rahmah ini, tanpa buat apa-apa pun, Allah berikan kepada kita. Bayangkan semasa kita lemah dalam perut ibu kita, Allah berikan keselamatan kepada kita dalam rahim ibu kita.
Dan kemudian kita dilahirkan, dalam keadaan amat lemah. Tapi Allah berikan segala keperluan yang kita perlukan untuk meneruskan hidup. Apakah yang kita telah buat untuk melayakkan kita dapat segala perhatian dari Allah itu? – Tidak apa-apa. Tidak ada amalan ibadah apa lagi pun yang kita lakukan. Kita pun memang tak boleh buat apa-apa kerana masih bayi lagi. Tapi lihatlah berapa banyak rahmat yang Allah berikan kepada kita. Maknanya, Allah beri segala rahmat itu bukanlah kerana perbuatan kita, bukan?
Sifat rahmah bermaksud ‘penjagaan’. Selalunya ditafsirkan sebagai mercy/kasihan. Mungkin tidak berapa sesuai kalau itu sahaja makna yang kita faham. Kerana kalau kita hanya mengambil maksud ‘kasihan’, itu hanya bermaksud Allah tidak menghukum seseorang atas kesalahan orang itu. Macam tentera tawan tawanan perang dan kerana ‘kasihan’, dia tidak membunuh orang itu. Jadi, kalau itu sahaja maksud ‘rahmah’, itu baru bermaksud ‘tidak ada perkara buruk’ sahaja. Itu adalah satu tafsir yang terhad, tidak seperti yang sepatutnya.
Sedangkan maksud الرَّحْمَٰنُ lebih lagi dari itu. Nama sifat ini merujuk kepada sifat yang ‘menjaga segala keperluan makhluk’. Kita semua memerlukan rahmat Allah untuk hidup dalam dunia ini. Dari dalam perut, sampailah kita mati. Macam bayi dalam perut memerlukan rahmah dari Allah. Allah beri penjagaan kepada bayi itu kerana bayi itu tidak mampu menjaga dirinya sendiri. Nak minta tolong pun tak boleh. Maka, tanpa minta tolong pun Allah telah berikan segala kemudahan kepada bayi itu.
Itulah setakat yang kita mampu jelaskan tentang maksud rahmah itu. Kita tentu tidak akan dapat memahami keseluruhan maksud الرَّحْمَٰنُ ini kerana kecetekan ilmu kita dan kerana kekurangan akal kita sebagai seorang manusia.
Itulah pemberian Allah dalam bahagian pertama surah ini – Allah beri kita Qur’an, kebolehan bercakap, alam yang begini luas dan sebagainya lagi – semua itu tanpa ada apa-apa usaha amal dari kita.
Selain dari diberikan pemberian tanpa apa-apa usaha, ada juga pemberian yang diberikan kepada makhluk atas usaha amal mereka. Ini disebut dalam bahagian kedua surah ini – Allah berikan syurga, segala apa yang ada di dalamnya, dengan bidadari dan sebagainya – ini adalah jenis pemberian yang Allah berikan atas usaha baik yang mereka telah lakukan semasa di dunia. Mereka layak mendapat segala pemberian itu kerana usaha dari manusia itu sendiri.
Jadi, ada dua jenis pemberian yang Allah berikan kepada kita – yang diberikan walaupun kita tidak ada apa-apa usaha dan satu lagi yang diberikan kepada kita atas amal kebaikan kita semasa di dunia.
Allah memulakan surah ini dengan memperkenalkan sifatNya ar-Rahman, kerana dalam surah ini akan disebut berkali-kali pemberian yang diberikan kepada makhluk. Kemudian Allah akan tanya balik: “manakah nikmat Allah yang kamu tidak mengaku?”
Ayat 2: Allah menyenaraikan rahmah-rahmahNya yang diberikan kepada kita. Susunan rahmah itu mengikut kepentingan sesuatu perkara itu. Maka, Allah mulakan dengan menyebut tentang Qur’an kerana itu adalah perkara yang paling penting sekali. Tidak ada nikmat yang lebih besar lagi. Nikmat yang boleh menyelamatkan manusia sampai bila-bila dari azab.
Dialah yang mengajarkan Al-Quran.
Ayat ini menegaskan yang Qur’an ini dari Allah. Ini menidakkan tuduhan penentang Qur’an yang mengatakan Nabi Muhammad lah yang menulis sendiri Qur’an itu. Ini adalah tuduhan yang tidak ada asasnya.
Ayat ini juga bermakna Allah sendiri yang mengajar Qur’an kepada kita, bukan orang lain. Guru atau ustaz yang mengajar itu hanya menyampaikan sahaja. Tapi yang memberi pemahaman adalah Allah sendiri. Kita belajar tafsir Qur’an dari guru kita, guru kita belajar dari gurunya, gurunya dari gurunya, sampai kepada sahabat, sampai kepada Nabi, yang belajar dengan Jibrail yang mendapatnya dari Allah juga. Akhirnya, pemahaman itu dari Allah juga. Kalau Allah tak beri, kita pun tidak dapat.
Kadang-kadang, pengajaran yang diberikan sama, tapi pemahaman anak murid tidak sama. Dua orang murid duduk dalam kelas yang sama, mengikuti pembelajaran yang sama, tapi apabila mereka periksa pemahaman mereka, adakalanya tidak sama pemahaman mereka. Ini menunjukkan pemahaman itu diberikan oleh Allah. Ini menunjukkan Allahlah sebenarnya guru yang mengajar.
Allah kata Allah ‘mengajar’ Qur’an kepada kita, bukannya hanya ‘menurunkan’ sahaja. Allah mengajar kita dengan sifatNya yang Maha Pemurah.
Ayat ini adalah jumlah ismiah – iaitu disebut ism dahulu. Dua ayat pertama ini adalah satu perkataan yang lengkap sebenarnya: Ayat yang lengkap berbunyi begini: “Allahlah yang mengajar Quran itu”. الرَّحْمَٰنُ adalah mubtada’ dan عَلَّمَ الْقُرْآنَ adalah khabar. [Ini adalah bermanfaat kepada mereka yang ada sedikit ilmu nahu bahasa Arab]. Gunanya adalah menekankan kepada ‘pelaku’ – mengingatkan kita bahawa Allahlah sebenarnya yang mengajar Qur’an itu walaupun zahirnya kita nampak guru kita yang mengajar Qur’an dan tafsir kepada kita. Kita kena ingat bahawa pada hakikatnya Allahlah yang mengajar.
Kalau dalam dunia akademik, kita selalunya berbangga dengan guru yang mengajar kita. Kita beritahu orang bahawa syeikh itu, syeikh ini yang mengajar kita. Sekarang lihatlah, Allah yang mengajar kita sebenarnya. Kita boleh berbangga dengan mengatakan bahawa Allah lah yang mengajar Qur’an kepada kita. Guru kita adalah Allah sendiri. Tapi jangan salah faham pula, kenalah mulakan dengan belajar dengan guru. Jangan baca dan memandai faham sendiri pula.
Digunakan nama Allah الرَّحْمَٰنُ dalam ayat sebelum ini. Ada makna tertentu kenapa digunakan nama ini. Nama Tuhan yang selalu kita pakai adalah Allah, tapi tidak digunakan nama itu dalam ayat sebelum ini. Kalau digunakan nama ‘Allah’, ianya merangkumi seluruh sifat Allah. Tapi apabila digunakan namaNya ar-Rahman, ia memberi penekanan kepada sifat Rahmah Allah.
Atas sifat rahmah Allah itulah, Allah mengajarkan Qur’an kepada manusia. Ianya diturunkan kepada manusia sebagai penjagaan kita, kerana Allah sayang kepada kita. Tidak wajib bagi Allah untuk turunkan Qur’an. Allah boleh sebut NamaNya yang lain, sebagai contoh: “Allah mengajar Qur’an”. Tapi apabila Allah menekankan Sifat RahmanNya dalam ayat ini, ini menunjukkan penurunan Qur’an ini adalah dari sifat kasih sayangNya.
Allah boleh sahaja jadikan kita dan kemudian hukum kita apabila kita buat salah. Tapi Allah hendak kita selamat maka Allah turunkan Qur’an kepada kita. Jadi kena ceritakan tentang sifat Rahman Allah ini. Kerana Qur’an bukan hanya nak menceritakan tentang halal haram dan mengajar hukum untuk manusia sahaja. Ia juga mengajar kita tentang Allah dan sifatNya. Apabila kita tidak faham perkara ini, maka kita akan melihat Allah dan Qur’an itu sebagai sesuatu yang garang, yang hendak menentukan bagaimana kita hidup sahaja. Sikit-sikit nak hukum, sikit-sikit cerita pasal neraka sahaja – macam nak masukkan manusia dalam neraka dan beri azab sahaja.
Kita jangan cetekkan pemahaman kita tentang Qur’an tapi hendaklah kita tahu bahawa apa yang Allah ajar dalam Qur’an itu adalah untuk kebaikan kita sebenarnya.
Tapi adalah sesuatu yang menyedihkan kerana manusia tidak nampak rahmah yang ada dalam Qur’an itu. Golongan orientalis sentiasa sahaja mencari masalah yang ada dalam Qur’an. Mereka mengatakan Qur’an itu adalah satu buku yang amat teruk sekali, yang menyuruh pengikutnya membunuh orang lain, menindas perempuan, menyebabkan masyarakat Islam mundur tidak maju dan sebagainya. Inilah retorik yang sering kita hadapi. Sampaikan zaman ini ada masyarakat barat yang menjalankan majlis membakar Qur’an pun ada.
Kalau ianya datang dari orang Kafir, kita masih faham lagi. Tapi kalau ianya datang dari orang Islam sendiri, bagaimana? Tentulah lagi sedih.
Dalam surah ini, akan disebutkan berbagai-bagai rahmat yang Allah berikan kepada kita. Tapi rahmat yang pertama sekali disebut adalah Qur’an. Selalunya yang pertama disebut, itulah yang terpenting. Oleh itu, dari sini kita boleh tahu bahawa Qur’anlah rahmat Allah yang paling hebat sekali.
Kalimah عَلَّمَ bermaksud ‘mengajar’. Dalam bahasa Arab, sesuatu ayat yang lengkap memerlukan ‘subjek’ dan ‘predikat’. Macam kalau kita kata: ‘Ahmad pukul’, kita mesti tertanya-tanya, siapa yang Ahmad pukul? Kita akan tertanya-tanya kerana ayat itu tergantung. Tidak ada subjek kepada ayat itu. Dalam ayat ini, ia adalah jenis ayat yang tergantung juga. Kerana disebut tentang ‘mengajar’ – Allah yang mengajar, dan disebut apa yang ‘diajar’ – iaitu Qur’an – tapi tidak disebut kepada siapakah ianya diajar. Kenapa begitu?
Banyak jenis ayat sebegini yang terdapat dalam Qur’an. Apabila objek tidak disebut, ini bermakna ianya dibiarkan terbuka. Supaya ia mempunyai makna yang luas. Boleh dipakaikan dalam banyak keadaan. Banyak elemen boleh dijadikan sebagai objek. Sebagai contoh, Allah mengajar Qur’an kepada Nabi Muhammad, kepada manusia, orang lelaki, perempuan, yang dah lama masuk Islam, yang baru masuk Islam, termasuk orang bukan Islam dan lain-lain lagi. Semuanya boleh ambil pengajaran dari Qur’an itu. Lihat bagaimana luasnya pemahaman itu?
Perkataan عَلَّمَ bukan sahaja bermaksud ‘mengajar’, tapi mengajar dalam masa yang lama. Mengambil masa untuk mengajar dan belajar. Bukan mengajar sekali harung sahaja. Bukan setakat memberitahu sahaja – kerana kalau memberitahu sahaja, perkataan a’lamayang digunakan. Tapi Allah meluangkan masa untuk mengajar Qur’an kepada manusia. Inilah rahmah dari Allah – Allah meluangkan masa untuk mengajar Qur’an kepada kita. Inilah yang hendak ditekankan dalam ayat ini.
Maknanya, Allah bukan sahaja memberikan Qur’an kepada kita, tapi Allah juga mengajar kepada kita. Oleh itu, apa yang kita boleh ambil pengajaran dari sini? Kita juga kenalah meluangkan masa untuk belajar Qur’an itu. Bukanlah nak habiskan cepat-cepat sahaja. Bukan hendak habiskan 30 juzuk tafsir, kita belajar cepat-cepat sampai kita tidak mementingkan pemahaman lagi. Itu tidak betul. Kita kena pentingkan kefahaman daripada hendak menghabiskan belajar sahaja. Apa guna kalau kita dah habis belajar, tapi kita tidak faham? Adakah kita hendak jaja kepada orang lain yang kita sudah belajar tafsir Quran 30 juzuk? Kenapa kita nak jaja? Adakah kerana kita hendakkan pujian dari orang ramai?
Ada ulama yang mengatakan bahawa pembelajaran tafsir Qur’an itu ada tiga lapis. Lapis pertama adalah secara ringkas untuk semua ayat. Kemudian lapis kedua, kita mendalami pemahaman tafsir ayat-ayat Qur’an itu. Kemudian lapis ketiga belajar dengan lebih mendalam lagi.
Perkataan الْقُرْآنَ juga ada makna yang kita kena faham. Ianya dalam bentuk sighah mubalaghah – hyperbolize form – dalam bentuk yang kuat. Ini kita tahu kerana ada huruf ن dalam kalimah الْقُرْآنَ. Ini adalah kerana Qur’an adalah satu kitab yang dibaca berkali-kali dengan banyak sekali. Itulah yang kita boleh faham dengan penambahan huruf ن dalam perkataan الْقُرْآنَ itu.
Oleh itu, ini mengajar kepada kita bahawa memang Qur’an itu perlu dibaca banyak kali. Diulang-ulang baca setiap hari. Inilah yang perlu dilakukan oleh orang Islam. Tidak ada alasan untuk tidak membaca Qur’an. Pentingnya membaca Qur’an sampaikan Allah telah wajibkan kita untuk membaca Qur’an dalam solat kita. Itulah waktu yang yang wajib untuk kita membaca Qur’an, sekurang-kurangnya.
Apakah yang Allah ajar?:
1. Membaca – membaca dalam bentuk umum. Ini boleh jadi tulisan mana-mana sahaja. Kalau Allah tak beri kelebihan ini kepada kita, kita langsung tak dapat baca apa-apa pun.
2. Membaca Qur’an – iaitu kitab yang mengandungi kalamNya ini yang sedang belajar ini.
Kalau kita ambil pemahaman dari kedua-duanya, maka kita boleh ambil kesimpulan bahawa kita belum lagi membaca dengan sebenarnya, selagi kita tidak membaca Qur’an. Qur’anlah pembacaan yang paling penting sekali. Ianya adalah satu kitab yang selayaknya kita baca berkali-kali dan belajar tanpa henti.
Hikmah yang ada di dalamnya tidak akan habis untuk kita pelajari. Bayangkan ada orang yang meluangkan masa berpuluh-puluh tahun mempelajari Qur’an tapi masih lagi mereka meneruskan pembelajaran. Tidak habis ilmu untuk dikaut dari ayat-ayat Allah.
[1] Tafsur Ibn Kathir
[2]Tafsir Surah Rahman Ayat 1 – 16 (Kenanglah rahmat Allah kepada kita), https://tafsirsunnah.me/2014/07/02/rahman-1-16/. Retrived 4th Feb 2018.
Artikel di atas ditulis semula berdasarkan sumber sekunder. Sebarang kesilapan boleh berlaku & sumber utama dirujuk sebagai yang betul.