Sahsiah Guru Cemerlang

Sahsiah guru cemerlang


Seorang guru yang berkualiti sudah semestinya memiliki sahsiah yang cemerlang. Tugas mendidik dan melahirkan modal insan yang cemerlang bukanlah suatu perkara yang mudah. Guru harus memiliki jati diri yang jitu untuk menzahirkan akhlak mulia bagi menjadi contoh kepada anak didik mereka. Guru perlu memiliki peribadi yang cemerlang agar dapat menarik perhatian dan menjadi tempat rujukan muridnya. Dengan perkataan lain, kunci kepada usaha untuk melahirkan insan berkualiti bergantung kepada kualiti insan guru itu sendiri. Guru yang berjiwa pendidik pasti mampu membimbing muridnya untuk memiliki nilai keinsanan dengan kualiti peribadi dan jalinan sosial yang baik.

Definisi

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sahsiah didefinisikan sebagai keperibadian atau peribadi. Sahsiah atau personaliti merupakan satu konsep yang menggambarkan keperibadian seseorang individu. Sahsiah ialah paduan sifat fizikal, mental, emosi, nilai dan tingkah laku seseorang individu sebagaimana yang dilihat oleh individu lain.



Ciri-ciri sahsiah guru cemerlang


Dalam konteks perguruan, ciri-ciri personaliti yang positif seperti baik, sesuai, berkesan dan mulia merujuk kepada sahsiah yang perlu ada pada seseorang guru. Sahsiah guru yang cemerlang akan memperlihatkan tingkah laku dan sifat-sifat peribadi yang positif sebagaimana yang dilihat oleh orang lain di samping memiliki pengetahuan dan kemahiran pengajian profesional.

Konsep kendiri positif

Ciri-ciri konsep kendiri positif yang perlu dimiliki oleh seseorang guru terdiri daripada sikap menghargai, berpuas hati dengan diri dan pencapaiannya, murah hati, mudah berkawan dan memuji orang lain.


Berakhlak mulia

Seorang guru yang berakhlak mulia akan bersikap adil dengan tidak memihak atau pilih kasih antara anak muridnya. Semua anak murid diberi layanan sama rata dan sentiasa memastikan mereka memperoleh ilmu yang disampaikannya. Guru seperti ini juga akan sentiasa mengamalkan disiplin yang tinggi dan mematuhi peraturan melaksanakan sesuatu tugas dengan teratur dan teliti sesuai dengan keperluan.


Bertanggungjawab dan amanah

Guru yang cemerlang akan sentiasa amanah dalam tugas sebagai seorang guru mahupun penjawat awam serta sebagai individu dalam masyarakat. Guru yang wab dan amanah akan menepati masa untuk masuk ke kelas, melaksanakan bertanggungjawab pengajaran .


Dedikasi

Guru cemerlang juga mempunyai sikap dedikasi yang tinggi dan komited terhadap tugasnya sebagai seorang pendidik. Seseorang guru yang benar-benar berdedikasi tidak akan melihat tugas mendidik, mengajar dan mengurus sebagai satu beban, sebaliknya sentiasa bersedia menerima tugas dan tanggungjawab tanpa banyak soal jawab atau rungutan.


Bersikap terbuka

Guru yang bersikap terbuka, akan memahami dan bertimbang rasa terhadap setiap pendapat yang dikemukakan oleh murid. Mereka tidak merasakan diri mereka mempunyai kuasa autoriti bagi menentukan sesuatu perkara tanpa mengambil kira pendapat dan perasaan murid.

Penyayang

Guru cemerlang mempunyai personaliti seorang guru yang penyayang. Sifat penyayang ini perlu ada dalam diri seseorang guru. Ciri guru penyayang termasuklah bersedia menjaga kebajikan murid dengan mengambil tahu masalah murid, membina hubung mesra antara guru dengan murid dan berlemah lembut dengan murid.

Penampilan

Penampilan memainkan peranan yang penting dalam membentuk personaliti seseorang guru. Guru perlu menjaga penampilan disebabkan tiga tujuan utama, iaitu menjaga kredibiliti profesion keguruan, mengundang rasa hormat daripada sesiapa sahaja yang berurusan dengan guru dan membina identiti guru yang efektif.

Keterampilan

Keterampilan diri guru termasuklah keupayaan mempelbagaikan cara untuk membantu murid menguasai ilmu baharu, sesuai dengan pembelajaran masa kini. Selain itu, guru hendaklah berkemahiran menguruskan bilik darjah, tingkah laku dan disiplin murid.