Etika Keguruan

Etika Keguruan

Etika adalah berkenaan apa yang baik untuk individu dan masyarakat. Etika merangkumi bagaimana menjalani kehidupan yang baik, hak dan tanggungjawab。 Kesemua konsep etika berakar umbi daripada agama, falsafah dan budaya. Bagi menjaga nama baik profesion keguruan serta meningkatkan lagi mutu profesion, semua guru di Malaysia tertakluk kepada Tatasusila Profesion Keguruan yang disediakan. dalam bentuk ikrar.


Tanggungjawab Guru

Tanggungjawab terhadap murid

Seorang guru yang bertanggungjawab akan sentiasa mengutamakan muridnya sama ada di dalam bilik darjah mahupun di luar bilik. Guru adalah individu yang terpenting di sekolah dan tugasnya sentiasa berhadapan dengan para murid. Guru merupakan seorang pendidik, pembimbing dan penyampai ilmu serta bertanggungjawab terhadap pembentukan sahsiah dan pemupukan nilai-nilai murni dalam kalangan murid.

Tanggungjawab terhadap ibu bapa

Tanggungjawab ini perlu digalas oleh guru dan dilaksanakan dengan baik bagi memastikan semua pihak sama ada guru mahupun ibu bapa sentiasa bekerjasama dengan penuh kesefahaman dan kesepakatan dalam membentuk dan mendidik anak murid. Guru yang bertanggungjawab akan mewujudkan hubungan antara guru dan ibu bapa dalam usahanya ke arah pencapaian dan kecemerlangan murid-murid.

Tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara

Guru perlu sentiasa peka dan prihatin dengan keperluan dan kehendak masyarakat dalam usaha memajukan masyarakat dan negara. Tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara ini amat penting kerana ia boleh memberi kesan kepada martabat profesion keguruan.

Tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesion keguruan

Tanggungjawab guru terhadap rakan sejawat dan profesion keguruan tidak boleh dipandang ringan oleh mereka yang bergelar guru. Ini adalah kerana profesion keguruan didokong oleh mereka yang bergelar guru. Maka adalah wajar seseorang yang bergelar guru menjaga dengan baik nama baik dan martabat profesion keguruan dengan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas tugas yang telah diamanahkan. Etika profesion perguruan juga telah menggariskan tanggungjawab guru terhadap rakan sejawat dan profesion keguruan.