Budaya Kerja KPM

Pembentukan budaya kerja dalam kalangan penjawat awam amatlah penting. Penjawat awam telah diperkenalkan dengan konsep Budaya Kerja Cemerlang dan Budaya Kerja Kelas Pertama mulai tahun 1989. Pembentukan budaya kerja ini seterusnya dimantapkan dengan Nilai dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam serta Tonggak 12 yang mengiringinya. Budaya kerja cemerlang didefinisikan sebagai tatacara dan etika kerja di kalangan kakitangan pengurusan atasan dan pekerja bawahan. Tatacara yang baik itu antaranya ialah rajin, gigih, daya cipta, kreativiti, inovatif, semangat kerjasama, kerja berpasukan, integriti, berdisiplin dan bersikap untuk berusaha meningkatkan prestasi.


Etika Kerja KPM

Prinsip-prinsip Etika Kerja KPM

Niat yang betul

  • Memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), misi, matlamat dan objektif Kementerian Pendidikan Malaysia.

  • Ikhlas menyempurnakan tanggungjawab terhadap agama dan negara

  • Memberikan sumbangan bermutu

  • Sentiasa memperbaharui niat untuk kebaikan

Perlakuan yang baik

  • Menunjukkan penampilan diri, pertuturan dan perbuatan yang terbaik sepanjang masa.

  • Menghasilkan kerja berkualiti secara berterusan, di samping memberikan kepuasan kepada pelanggan.

  • Menghargai dan bertanggungjawab terhadap hasil usaha organisasi.

Penggerak ke arah kebaikan

  • Menampilkan diri sebagai seorang yang dinamik, maju, berdaya saing dan dapat mendorong seseorang melakukan kebaikan.

  • Berusaha agar hasil kerja dan amalan dapat menonjolkan ciri-ciri kecemerlangan dan ketinggian kualiti yang boleh menjadi sumber inspirasi kepada rakan sejawat.

  • Sentiasa berusaha menjadi pekerja yang terbaik.

Memperkotakan apa yang dikatakan

  • Sentiasa menunjukkan ketekalan dalam tanggapan, pengucapan dan tindakan, ada terhadap diri sendiri atau orang lain.

  • Apa yang dibuat mesti sesuai dengan apa yang diucapkan.

  • Sentiasa menepati apa yang dinyatakan dalam piagam pelanggan.

Berdisiplin dan beradab

  • Sentiasa menjaga adab sopan seperti yang terdapat dalam ajaran agama.

  • Sentiasa mematuhi peraturan dan arahan perkhidmatan.

  • Sentiasa berpandukan prosedur dan kaedah yang sesuai dan betul.

Nilai utama menjadi fokus Etika Kerja KPM

Amanah

  • Sentiasa menjalankan tugas yang diberikan dengan penuh tanggungjawab tanpa menyeleweng dan cuai.

  • Bersikap jujur dan setia kepada organisasi tanpa menyalahgunakan kuasa dan kedudukan.

  • Menggunakan masa dengan sebaik-baiknya dan menyiapkan kerja dalam tempoh yang ditetapkan dan tidak menggunakan masa pejabat untuk urusan peribadi.

  • Berdisiplin dan mengawal diri dan tidak melakukan sesuatu yang boleh menghilangkan kepercayaan orang lain terhadap dirinya.

  • Bertanggungjawab melaporkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Benar

  • Mempunyai niat yang baik dan jujur dalam melakukan sesuatu pekerjaan, tanpa niat yang tersembunyi ataupun mengharapkan balasan.

  • Bercakap benar dan menepati janji, tidak bercakap bohong dan mungkir janji.

  • Memberikan atau menerima arahan yang jelas dan tetap dan tidak mengelirukan.

  • Rela berkongsi pengalaman, ilmu dan kepakaran untuk kejayaan bersama.

Bijaksana

  • Menggunakan seluruh potensi, keupayaan dan kepakaran untuk menjayakan sesuatu tugas dengan cemerlang dan tidak mengambil jalan mudah.

  • Sentiasa berusaha menghasilkan kerja yang bermutu tinggi dan berkualiti.

  • Mempunyai fikiran yang rasional dan pertimbangan yang saksama dalam menyelesaikan sesuatu masalah tanpa mengikut perasaan dan emosi.

  • Sentiasa mempertingkatkan ilmu, kepakaran dan profesionalisme.

Bersyukur

  • Sentiasa menghargai anugerah dan nikmat yang diterima tanpa menganggap kejayaan sebagai hak.

  • Bersedia memberikan pengiktirafan kepada mereka yang berjaya tanpa sebarang prasangka, berdendam atau menabur fitnah.

  • Tenang menghadapi masalah dan reda menerima ketetapan, kegagalan dan ujian serta tidak boleh putus asa.

  • Berpuas hati dengan nikmat yang diperoleh seperti ganjaran yang diterima dan kemudahan yang disediakan.

Dedikasi

  • Bekerja tanpa rasa jemu dan bosan serta bersedia untuk menerima tugas dengan tidak mencari helah.

  • Sanggup berkorban masa dan tenaga demi kepentingan perkhidmatan

  • Tekun dan rajin serta bersikap positif dalam melaksanakan tugas dan memastikan hasil kerja sentiasa berkualiti.

  • Menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sabar, teliti dan ceria, tidak cuai atau merungut.

  • Cergas

Ikhlas

  • Menerima tanggungjawab dengan rela dan hati yang suci, tidak berpura-pura atau mengelak daripada tanggungjawab.

  • Menjalankan tugas semata-mata untuk mencapai matlamat organisasi, bukan kerana pangkat, kedudukan atau mendapat perhatian orang lain.

  • Memberikan layanan yang baik, tanpa mengira pangkat, status atau kedudukan dan tidak bersikap pilih kasih.

  • Bersedia menerima teguran dan kritikan dengan hati dan fikiran yang terbuka.

  • Saling hormat-menghormati antara satu sama lain tanpa sebarang kepentingan.

Penyayang

  • Bersifat pemaaf dan penyayang, tidak berdendam, sombong dan suka meninggi diri.

  • Menganggap setiap orang mempunyai harga diri yang perlu dihormati tanpa sebarang prasangka buruk.

  • Bersifat bertimbang rasa dan suka mengambil berat dalam melaksanakan tugas.

  • Menjadikan organisasi sebagi sebuah keluarga besar yang penuh kemesraan.

  • Bersifat simpati dan empati dalam menjalankan tugas seharian.