MAKLUMAT BERKAITAN DASAR PENDIDIKAN TERKINI

Dasar pendidikan adalah suatu kenyataan mengenai hasrat bagi mencapai sesuatu maksud atau kehendak. Ia turut merupakan satu garis panduan pentadbiran yang merangkumi segala arahan dan peraturan untuk mencapai matlamat, misi, visi sesebuah negara. Di Malaysia, dasar pendidikan mempunyai peranan yang amat penting dalam menentukan hala tuju sistem pendidikan negara yang mana dasar ini dikenali sebagai Dasar Pendidikan Kebangsaan. Ia dilaksanakan pada tahun 1957. Menurut Suffean Hussin (2002), beliau mengkategorikan dasar-dasar pendidikan yang digubal kepada empat tujuan utama iaitu kawalan (mendisiplin), solusi (penyelesaian masalah), kebajikan (perkhidmatan) dan inovasi (pembaharuan) untuk sesebuah negara yang ingin maju dan berdaya saing. Sewaktu saya menjalani PBS di SK Taman Seroja, Saya telah mendapatkan sedikit maklumat berkenaan dengan beberapa program yang dijalankan disekolah berdasarkan dasar pendidikan terkini ini.

PROGRAM KURIKULUM

STEM

Sepanjang waktu PBS ini, saya mendapati bahawa pihak sekolah membuat pembaharuan atau lebih dikenali sebagai inovasi yang selari dengan dasar pendidikan masa kini. Inovasi ini dilakukan di bawah program STEM yang merujuk kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. Dalam melaksanakan inovasi ini, pihak sekolah telah menjalankan projek Akuaponik dan hidroponik iaitu mereka melakukan kaedah menggabungkan dua jenis penanaman yang berbeza iaitu ikan dan tumbuhan bersama. Melalui projek ini, jelaslah menunjukkan bahawa guru-guru dan murid-murid yang terlibat sangat kreatif dalam menjayakan projek tersebut.

PROGRAM J-QAF

Program J-Qaf ini merupakan salah satu aktiviti yang dilakukan untuk mendisiplinkan murid terhadap kepatuhan agama. Pada setiap tahun, unit J-Qaf akan melakukan beberapa program yang melibatkan pengajaran Pendidikan Islam kepada murid-murid. Salah satu contohnya adalah program Kem Bestari Solat yang dilaksanakan bagi meningkatkan pengetahuan murid-murid tentang bacaan dalam solat dan amali solat. Melalui program ini. murid-murid akan dapat meningkatkan kefahaman mereka dalam solat serta secara tidak langsung dapat mendidik murid-murid membina jati diri yang terpuji.

KBAT

KBAT merujuk kepada Kemahiran Berfikir Aras Tinggi. Bagi meningkatkan kemahiran KBAT dalam kalangan murid-murid, mereka akan diberikan tugasan yang mampu merangsang daya pemikiran mereka supaya dapat menjadi lebih kritis dan kreatif. Sebagai contoh, guru-guru akan memberikan soalan bertaraf KBAT untuk dilengkapkan oleh murid serta memberikan tugasan penyelesaian masalah untuk menilai sejauh mana tahap pemikiran murid. Dengan cara itu, murid-murid pada zaman kini akan dapat meningkatkan kemahiran berfikir yang selaras dengan dasar pendidikan terkini.

PEMERTABATAN PENDIDIKAN BAHASA MELAYU

Pemertabatan Pendidikan Bahasa adalah satu daripada aspek yang terkandung di dalam dasar pendidikan terkini. Melalui temu bual saya dengan guru di SK Taman Seroja, saya mendapati bahawa pihak sekolah amat mementingkan penggunaan bahasa melayu dan mereka sentiasa memartabatkan bahasa melayu ketika berada di sekolah. Sebagai contoh, pihak sekolah mengambil inisiatif untuk melibatkan murid-murid dalam bengkel penulisan pantun peringkat kebangsaan. Dalam masa yang sama, pihak sekolah juga telah berjaya menerbitkan dan membukukan sebuah karya pantun yang menggabungkan hasil terbitan murid-murid dari sekolah tersebut. Jelaslah di sini bahasa melayu merupakan tunjang bahasa yang perlu dijaga dan dibanggakan oleh rakyat Malaysia.

HAL EHWAL MURID

RANCANGAN MAKANAN TAMBAHAN

Salah satu dasar pendidikan terkini adalah bertujuan untuk menjaga kebajikan murid-murid. Melalui dasar ini, saya mendapati bahawa terdapat program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang diberikan kepada murid-murid yang kurang berkemampuan. Mengikut laporan yang telah dikongsikan, seramai 101 orang murid dari SK Taman Seroja yang menerima RMT pada tahun 2023 ini. Makanan ini disediakan mengikut bajet yang diperuntukkan iaitu sebanyak RM 3.50 bagi seorang murid. Dengan adanya makanan RMT yang telah diberikan pada waktu rehat, mereka dapat mengurangkan beban perbelanjaan mereka sewaktu datang ke sekolah.

BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN

Tujuan pemberian bantuan awal persekolahan ini adalah untuk meringankan bebanan kewangan ibu bapa terutamanya ibu bapa yang mempunyai anak ramai yang ingin masuk ke sekolah. Bantuan awal persekolahan 2023 ini diagihkan agar dapat membantu serba sedikit dalam pembelian barang-barang sekolah seperti pakaian, barang alat tulis dan buku-buku. Bagi tahun 2023, bantuan awal persekolahan ini diberikan kepada semua murid tanpa mengira status, agama, dan sosioekonomi murid. Dengan adanya bantuan ini, dapatlah ibu bapa melengkapkan keperluan sekolah anak-anak dengan lebih rapi.

KWAMP

KWAMP merujuk kepada Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin. Salah satu tujuan dasar pendidikan terkini juga adalah untuk menjaga kebajikan murid-murid di sekolah. Melalui temu bual yang dilakukan, saya mendapati bahawa data bagi murid yang layak menerima bantuan ini akan diambil daripada sistem APDM. Pada tahun 2023, seramai 59 orang murid layak menerima bantuan ini. Tempoh pengagihan bantuan ini dilakukan dalam tempoh 14 hari selepas memo dikeluarkan.  Melalui bantuan ini, secara tidak langsung dapat membantu sedikit sebanyak ibu bapa dalam membeli keperluan anak-anak mereka.