ILMU / PENGETAHUAN

Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan satu program yang wajib bagi pelajar yang menuntut di Institut Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia. Program ini dilaksanakan bagi pada semester tertentu sahaja. Misalnya bagi PBS Fasa ini dilakukan bagi pelajar tahun 1 semester 3 iaitu pada semester pendek. Program PBS ini memberi fokus untuk mendedahkan kefahaman awal kepada pelajar tentang alam persekolahan dari perspektif seorang guru. 

Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk memahami sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan dan peranan dalam bilik darjah melalui pemerhatian, temu bual, soal selidik, penelitian dokumen, refleksi dan interaksi dengan guru dan komuniti sekolah. Melalui PBS, guru pelatih dapat memahami pengurusan sekolah dan pengurusan bilik darjah dan tingkah laku murid untuk menyatupadukan teori dan amalan dalam konteks pengajaran pembelajaran. Ringkasnya dengan menjalani program PBS ini, pelajar akan lebih memahami bagaimana cara guru mengajar, bagaimana murid belajar dan bagaimana pengurusan sekolah dalam mengelola aktiviti dan mentadbir sesebuah sekolah tersebut.  Terdapat banyak pengalaman baru yang saya perolehi melalui sesi temu bual, membuat pemerhatian serta dengan melakukan soal selidik. 

PEMERHATIAN

Melalui pemerhatian yang telah dijalankan, saya mendapat pengalaman yang baharu tentang suasana dan juga budaya di sekolah yang saya pilih iaitu SK Taman Seroja. Saya dapat perhatikan bahawa setiap sekolah akan menjalankan program-program yang dapat meningkatkan kemahiran murid. Antara contohnya, bagi meningkatkan kemahiran membaca, pihak sekolah melaksanakan program NILAM bagi setiap murid di sekolah dan sekali gus mendorong pihak sekolah menjalankan tugas dengan lebih komited. 

Dalam pada itu, saya juga dapat melihat bahawa pengurusan yang lebih strategik dan aktif akan membawa kesan yang positif kepada kecemerlangan sekolah berbanding dengan pengurusan yang lemah atau pasif. Ini dapat dilihat berdasarkan kepada pengurusan sekolah yang terdahulu yang mana proses perkembangan dalam beberapa aspek agak lambat berbanding pengurusan yang ada sekarang. 

TEMU BUAL

Berdasarkan aktiviti temu bual yang saya jalankan, banyak pengetahuan baharu yang telah saya perolehi. Dalam temu bual yang telah saya laksanakan, pelbagai topik telah diutarakan yang kebanyakannya berkisar mengenai latar belakang sekolah serta berkaitan dengan ilmu pendidikan pada zaman kini.  Melalui temu bual yang telah saya lakukan, saya telah menemubual beberapa pihak seperti Guru Penolong Kanan Pentadbiran, guru panitia, guru-guru, kakitangan sekolah dan murid. Pada mulanya saya agak malu untuk menemu bual pihak berkenaan memandangkan ia adalah persekitaran yang baru dan saya juga merupakan seseorang yang sukar untuk memulakan sesuatu perbualan, tetapi dengan bantuan rakan PBS dan latihan yang dilakukan, saya dapat mengadaptasikan situasi itu dengan baik. 

Banyak ilmu yang telah saya perolehi sepanjang menjalankan tugasan Pengalaman Berasaskan Sekolah ini. Antara yang telah saya perolehi adalah dengan mengetahui peranan pihak pengurusan dalam memperkembangkan aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS) dalam kalangan murid serta bagaimana proses perkembangan kanak-kanak di sekolah tersebut di ukur sama ada melalui ujian khas atau ujian yang dikendalikan oleh pihak sekolah sendiri. Selain itu, soalan-soalan yang ditanyakan telah dirangka sebelum saya berjumpa dengan pihak tersebut. Hal ini adalah bertujuan untuk membuatkan sesuatu sesi perbincangan dan temu bual itu berjalan dengan lancar.

SOAL SELIDIK

Melalui soalan yang dinyatakan dalam borang soal selidik ini, saya dapat mengetahui bebrapa sikap murid yang berada di sekolah. Di samping itu, saya juga turut mengetahu dengan lebih luas tentang sistem pengurusan sekolah di SK Taman Seroja. 

Dalam masa yang sama, saya juga dapat menyesuaikan diri sebagai seorang guru untuk berinteraksi dengan murid-murid yang pada awalnya saya agak kekok apabila bergelar seorang guru kerana saya berasa bahawa ianya bagai satu mimpi. Tetapi dengan adanya peluang ini, saya dapat melatih diri saya untuk sentiasa bersedia apabila menjadi seorang guru dan perlu memupuk sikap sabar yang tinggi dalam diri untuk mengawal murid-murid di sekolah yang mempunyai pelbagai ragam dan karenah. Dengan cara membuat soal selidik ini saya dapat merapatkan lagi diri saya dengan murid dan secara tidak langsung saya dapat mengumpul maklumat yang diinginkan bagi melengkapkan tugasan saya.