Petisyen Menuntut Moratorium Hukuman Mati

Petisyen Menuntut Moratorium Hukuman Mati

Tuntutan kami

Memandangkan isu ini sangat mustahak, kami yang bertanda tangan di bawah ini, meminta Parlimen Singapura:

  1. Memandangkan isu ini sangat mustahak, kami yang bertanda tangan di bawah ini, meminta Parlimen Singapura:

  2. Meluluskan moratorium hukuman mati sementara menunggu pihak kerajaan mengkomisikan semakan bebas dan telus berkaitan penggunaan hukuman mati di Singapura dan kesannya.

  3. Semakan perlu mengkaji risiko bahawa rejim hukuman mati sekarang mendedahkan orang kena tertuduh kepada pelucutan hak mereka untuk menerima perwakilan yang sewajarnya dan terdedah kepada perbicaraan yang membahayakan, selain risiko menerima keputusan yang silap, seterusnya salah jatuh dan laksana hukuman mati.

  4. Semakan perlu mengkaji sama ada sistem pengetepian/pengampunan eksekutif menyediakan jalan yang berpatutan untuk mereka yang dijatuhkan hukuman mati diberi pengampunan, kriteria yang menentukan jika petisyen pengetepian/pengampunan diterima atau ditolak, dan mengapa, semenjak 1998, tiada pengetepian/pengampunan diberikan kepada banduan yang dijatuhkan hukuman mati.

  5. Semakan perlu mengkaji mengapa mereka yang dijatuhkan hukuman mati di Singapura kebanyakannya berasal dari latar belakang minoriti kaum dan kekurangan sosioekonomi. Semakan juga perlu meneliti perjalanan kehidupan mereka dan bagaimana intervensi awal dan berciri tanpa paksaan mungkin memainkan peranan dalam membantu golongan ini mengelakkan sebarang pelanggaran sistem undang-undang negara.

  6. Semakan perlu mengkaji kesan riak bahaya dan trauma disebabkan hukuman mati ke atas kelompok masyarakat yang berbeza, termasuk banduan yang dijatuhkan hukuman mati, banduan dan tahanan yang lain, keluarga banduan yang dijatuhkan hukuman, komuniti dan masyarakat umum.

  7. Semakan bebas ini patut menggunakan pendekatan berpandukan bukti untuk membanding penggunaan hukuman mati dengan pendekatan alternatif dalam mengurus dan menangani isu-isu berat yang dikatakan boleh dikawal dengan menggunakan hukuman mati, seperti penggunaan dadah berbahaya yang berleluasa, serta jenayah bunuh.

Petisyen sepenuhnya

Petisyen ini menggesa pengumuman moratorium hukuman mati (maksudnya, menghentikan semua pelaksanaan hukuman mati), supaya semakan bebas dan telus dapat dijalankan ke atas penggunaan hukuman mati dan kesannya di Singapura.

Kami merupakan kaum keluarga dan orang tersayang mereka yang dijatuhkan hukuman mati. Kami amat bimbang kerana selepas dua tahun terhenti, hukuman mati telah dilaksanakan semula beberapa bulan kebelakangan ini dan kelihatan seperti jadual pelaksanaan sedang dipercepatkan. Soal hukuman mati di Singapura masih menimbulkan kebimbangan umum, dan semakin ramai warga Singapura menggesa pemansuhan. Oleh itu, kami menuntut pelaksanaan hukuman mati dihentikan dengan serta merta.

Ramai antara kami datang dari latar belakang serba kekurangan dan membesar dalam kemiskinan. Orang tersayang kami menempuh kehidupan yang sukar, dipenuhi cabaran — sering dibebani hutang dan keluar masuk penjara. Situasi tertekan dan menghimpit menjuruskan mereka kepada masalah dengan pihak berkuasa. Sebahagian besar mereka yang dijatuhkan hukuman mati juga didapati mempunyai tahap IQ yang rendah, dan mungkin mempunyai kurang upaya intelektual. Rejim hukuman mati yang ketat di Singapura mengambil mereka yang sudah dihimpit kesukaran dan menghambat mereka dengan kekejaman berganda. Selagi hukuman mati masih wujud di Singapura, masyarakat kita tidak akan mengambil usaha memahami dan menangani faktor-faktor utama yang menyebabkan seseorang dijatuhkan hukuman mati. Ini antara sebab utama hukuman mati mesti dimansuhkan.

Majoriti mereka yang dijatuhkan hukuman mati didapati bersalah kerana mengedar atau menjual dadah. Pihak kerajaan sering menjaja naratif sempit di mana seseorang itu hanya boleh menjadi pengedar dadah yang rakus atau mangsa malang penggunaan dadah. Namun, ramai orang tersayang kami yang dijatuhkan hukuman mati bergelut dengan trauma dan kebergantungan kepada bahan menagihkan. Mereka sebenarnya mangsa rejim menangani dadah yang tidak masuk akal atau munasabah, di mana tiada usaha untuk memahami isu ketagihan atau membantu mereka yang menggunakan dadah melalui intervensi yang benar-benar berupaya membantu. Hukuman kejam seperti tempoh pemenjaraan yang lama, hukuman rotan dan pemakaian peranti pengesan (‘tagging’) sering menghalang mereka daripada menjalani kehidupan biasa, lalu meningkatkan risiko mereka akan terus bergantung kepada dadah. Sistem sokongan sosial yang wajar, perkhidmatan kesihatan, dan akses kepada pekerjaan bermaruah dengan gaji kehidupan wajar boleh mengelakkan penglibatan mereka dalam kegiatan yang melanggar undang-undang.

Bukti kukuh lebih utama berbanding andaian, tetapi hakikatnya, tiada bukti yang hukuman mati boleh mengelakkan jenayah. Kadar jenayah bunuh di negara seperti Kanada dan Australia menurun selepas hukuman mati dimansuhkan. Hukuman mati tidak menghalang mereka yang suka mengambil kesempatan ke atas kerentanan dan keadaan terdesak orang tersayang kami. Dalam kalangan semua mereka yang dijatuhkan hukuman mati hari ini, tiada seorang pun ketua sindiket dadah. Membunuh orang yang kami sayangi tidak akan menghalang mereka ini daripada membawa masuk dadah, selagi terdapat ramai lagi individu rentan dalam masyarakat yang boleh dipergunakan.

Sekali dijalankan, hukuman mati tidak boleh diterbalikkan. Si mati pergi buat selama-lamanya. Ini sepatutnya membimbangkan masyarakat, kerana tiada jaminan yang tiada kes salah hukum. Sebagai contoh,Gobi Avedian dijatuhkan hukuman baharu iaitu penjara selama 15 tahun, selepas beliau dijadualkan untuk dihukum mati, hanya disebabkan permohonan lewat oleh peguam. Ilechukwu Uchechukwu Chukwudi dan, kes terkini, Raj Kumar Aiyachami kedua-duanya dibebaskan daripada segala tuduhan selepas dijatuhkan hukuman mati sebelum ini. Kes-kes ini menunjukkan bahawa salah hukum mungkin berlaku dalam sistem perundangan kita, dan boleh membawa kepada pelaksanaan hukuman mati yang tersilap.

Apabila orang tersayang kami disiasat, kenyataan diambil oleh pihak polis tanpa kehadiran peguam. Akta Penyalahgunaan Dadah juga mengandungi andaian di mana jika seseorang didapati membawa kuantiti dadah yang melebihi had tertentu, mereka semestinya membawa dadah untuk tujuan pengedaran dan mengetahui bahan yang dibawa. Ini meletakkan beban pembuktian ke atas bahu tertuduh. Klausa pengecualian atas dasar ‘keabnormalan minda,’ yang mengizinkan mahkamah untuk tidak menjatuhkan hukuman mati, juga samar dan tidak berasaskan hujah sains. Seseorang boleh dijatuhkan hukuman hanya berpandukan testimoni tertuduh yang lain. Ini hanya beberapa contoh pengendalian kes melibatkan hukuman mati yang boleh meningkatkan risiko salah hukum.

Beberapa kes baru-baru ini juga menunjukkan perkembangan membimbangkan, di mana hak kepada perbicaraan adil bagi mereka yang menghadapi hukuman mati tidak dihormati. Pada 2020, terbongkar berita yang Perkhidmatan Penjara Singapura telah berkongsi kandungan surat menyurat 13 banduan hukuman mati kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) (iaitu pihak pendakwa). Ini termasuk surat yang dihantar daripada banduan dan peguam bela, bahan yang dikategorikan sebagai sulit dan peribadi. Pada 2022, didapati bahawa Penjara dan AGC pernah meminta maklumat sulit tentang permohonan perundangan seorang banduan hukuman mati sebelum permohonan difail sekalipun, sebelum memutuskan untuk membenarkan permohonan pihak peguam bela banduan tersebut untuk mewawancara banduan yang lain berkaitan urusan permohonan. Timbalan Pendakwa Raya yang berurusan dengan peguam bela berkaitan permohonan wawancara tersebut kemudian mewakili AGC di permohonan. Memandangkan perkara sebegini pernah berlaku, bagaimana mungkin kami, sebagai ahli keluarga, boleh yakin yang orang tersayang kami akan diberikan peluang selengkapnya untuk membuktikan mereka tidak bersalah?

Kami memandang berat suasana takut yang menjejaskan kesanggupan peguam untuk mengambil kes hukuman mati di peringkat akhir. Ini melanggar hak kepada perwakilan undang-undang yang sewajarnya untuk mereka yang dijatuhkan hukuman mati. Kami sendiri pernah melihat dan melalui situasi di mana semakin sukar untuk mendapatkan wakil peguam untuk orang tersayang kami. Ramai peguam enggan mengambil kes, tanpa mempertimbangkan benar atau salah kes terlebih dahulu. Tiada peguam yang menawarkan diri untuk mewakili Datchinamurthy a/l Kataiah apabila beliau dijadualkan untuk dilaksanakan hukuman pada 29 April 2022, meskipun beliau masih ada kes perbicaraan sivil terhadap AGC. Sehari sebelum hukuman dijadualkan, Datchinamurthy terpaksa mewakili diri sendiri di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, untuk memperoleh penangguhan pelaksanaan hukuman.

Hukuman mati menyebabkan keperitan dan kesiksaan yang teramat buat mereka yang dijatuhkan hukuman, serta keluarga dan orang tersayang. Peraturan Penjara jelas menyatakan bahawa banduan hukuman mati perlu diasingkan daripada banduan lain. Orang tersayang kami menghabiskan 23 jam di dalam sel bersendirian, tanpa kontak dengan orang lain, sambil merenung hal kematian. Ketika waktu riadah di luar, apabila mereka dibahagikan kepada pasangan, mereka tetap diasingkan daripada satu sama lain dan dihalang daripada bertemu. Mengapa perlu menghukum mereka dengan sebegitu banyak cara?

Berbeza daripada banduan lain, banduan akhir tidak boleh mengirim atau menerima e-surat. Mereka juga mengalami kesukaran untuk menerima surat fizikal, termasuk daripada ahli keluarga terdekat, atau lukisan oleh anak-anak mereka. Keizinan untuk menerima lawatan ahli keluarga yang lain serta rakan taulan tertakluk kepada budi bicara pihak penjara, dan selalunya, tidak mudah untuk memahami kriteria atau pertimbangan yang diambil di sebalik setiap keputusan. Banduan hukuman mati juga tidak diizinkan bercakap dengan wartawan atau aktivis yang membantu kes mereka. Mengapa? Penolakan hak mereka kepada hubungan sesama manusia dan hak bersuara hanya menyusutkan nilai keadilan hukuman mati.

Orang tersayang kami yang dijatuhkan hukuman mati menerima layanan dahsyat di penjara. Ada antara mereka yang memberitahu kami mereka menjadi mangsa keganasan dan cacian oleh pegawai penjara. Jika mereka memberi respons kepada cacian tersebut, mereka menghadapi risiko hukuman dan layanan lebih teruk. Hampir tiada pilihan untuk membuat aduan dan menangani isu sebegini — ada antara mereka yang tidak diberi peluang bertemu dengan Visiting Justice sejak bertahun, meskipun sudah memohon. Ada juga yang berkata jika mereka lebih lantang untuk membela diri dan banduan lain, sistem penjara memastikan yang mereka dihalang daripada bertemu Visiting Justice.

Apabila kami bersuara di khalayak umum untuk membela orang tersayang kami yang dijatuhkan hukuman mati, atau menentang hukuman mati, kami begitu risau yang mereka akan menerima akibat tindakan kami di penjara. Ada antara kami yang memang pernah mengalaminya, apabila menyertai kempen awam menentang hukuman mati, orang tersayang kami diancam di penjara, dan apa-apa kemudahan kecil yang dinikmati – seperti buku, kiub ais atau ubat – ditarik balik.

Kami semua telah mengemukakan rayuan bagi pihak orang yang tersayang. Setiap kali, rayuan untuk hukuman mati diketepikan telah ditolak melalui surat yang ringkas dan dingin daripada pejabat Presiden. Ratusan surat yang dikirim ke Istana, merayu Presiden untuk belas kasihan dalam kes Nagaenthran K Dharmalingam dan Datchinamurthy Kataiah tidak dibalas sama sekali. Sejak 1998, tiada sebarang permohonan untuk pengetepian hukuman telah diluluskan oleh kerajaan Singapura, dan ini menimbulkan pertanyaan sama ada Kabinet dan Presiden telah mempertimbangkan permohonan kami dengan sebaik-baiknya. Kriteria yang digunapakai kurang diketahui, dan masih tidak pasti jika sistem pengetepian/pengampunan eksekutif merupakan pilihan yang boleh diambil oleh mereka yang hanya mampu bersandarkan belas kasihan.

Hari ini, sudah ada pilihan penghukuman alternatif yang boleh digunakan untuk kesalahan membawa dadah dan bunuh, dua kategori atau kesalahan yang lazim membawa kepada pelaksanaan hukuman mati Singapura dewasa ini. Kami melihat ada beberapa orang yang membunuh atau mengedar dadah tidak dijatuhkan hukuman mati, tetapi dalam kes orang tersayang kami, hukuman tetap dijatuhkan. Kadang-kadang, individu yang membekalkan dadah kepada orang tersayang kami menerima hukuman penjara seumur hidup, tetapi ahli keluarga kami dijatuhkan hukuman mati.

Kami percaya bahawa adalah mustahil untuk merangka sistem yang dapat membezakan impak kesalahan oleh seseorang sehingga hukuman mati boleh dianggap hukuman wajar. Lebih dahsyat lagi, pendakwa raya memegang kuasa untuk memutuskan siapa yang berhadapan dengan kemungkinan dijatuhkan hukuman mati, dengan (A) memilih sama ada untuk menuduh mereka bawah kesalahan yang membawa hukuman mati dan (B) sama ada untuk mengeluarkan Sijil Kerjasama, dalam kes pengedaran dadah, dan (C) sama ada untuk memohon hukuman mati atau hukuman lebih ringan.

Masyarakat kita tidak boleh berselindung di sebalik hukuman mati dan terus mengelak daripada menangani isu sistemik tentang kekurangan sosioekonomi atau penyisihan. Selain itu, kita tidak boleh menyalahertikan balasan dendam sebagai keadilan.

Moratorium hukuman mati bukanlah perkara baharu di Singapura. Sedekad yang lalu, sudah wujud moratorium ketika menantikan semakan ke atas rangka kerja undang-undang berkaitan hukuman mati. Selepas sepuluh tahun, sudah tiba masa sekali lagi untuk betul-betul mempertimbangkan kegunaan hukuman mati. Kami menggesa Parlimen Singapura untuk meluluskan moratorium rasmi, bagi membolehkan semakan komprehensif ke atas penggunaan hukuman mati untuk semua kesalahan di mana hukuman ini digunapakai.