Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Alhamdulillah, dipanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya dapat kita merealisasikan sebuah “Portal SMDONG” bagi tahun 2021 selaras dengan era IR 4.0. Sekalung penghargaan dan setinggi ucapan tahniah dirakamkan kepada Jawatakuasa Portal Sekolah di atas pengorbanan, kegigihan, kesungguhan serta usaha yang bersepadu dalam menjayakan hasrat untuk menghasilkan Portal sekolah ini. Dengan ini, diharapkan agar portal ini menjadi garis panduan yang berguna kepada seluruh warga SMK Kedondong sepanjang tahun 2021.
Perubahan landskap pendidikan disebabkan pandemik COVID-19 merupakan satu cabaran yang sangat besar kepada seluruh warga pendidik. Oleh itu, semua guru hendaklah sentiasa peka dan menyesuaikan diri terhadap perubahan yang berlaku supaya dapat memenuhi keperluan dan kehendak sistem pendidikan dalam era pandemik COVID-19. Selain itu, semua guru mestilah sentiasa bersikap proaktif untuk memacu SMK Kedondong ke arah kemenjadian murid kerana komitmen yang tinggi dan berterusan daripada seluruh warga sekolah, ibu bapa serta agensi yang terlibat secara kolektif dapat memberi kejayaan kepada sekolah. Kecemerlangan hanya dapat dicapai melalui perancangan yang strategik daripada kepimpinan dan organisasi yang tersusun serta pemantauan yang berterusan.
Usaha merealisasikan gelombang terakhir Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) bermula tahun 2021 sehingga 2025 dalam memacu peningkatan sistem pendidikan menjadi antara fokus utama KPM. Oleh itu, warga sekolah perlu memainkan peranan yang aktif dan holistik dalam menjalankan tugas yang diamanahkan supaya dapat mencapai matlamat dalam mengukir kecemerlangan dalam semua aspek yang meliputi aspek kurikulum, kokurikulum serta kecemerlangan jati diri murid. Justeru , budaya kerja berpasukan dan kerja buat yang berfokus kepada amal perlu ditekankan bagi merealisasikan visi dan misi SMK Kedondong untuk menjadi sebuah sekolah yang cemerlang.
Semua warga sekolah perlu menghayati dan mengkaji semula visi dan misi KPM dan juga sekolah dari masa ke masa bagi memastikan semua aspek yang terdapat dalam Penunjuk Prestasi Sekolah (KPI) dapat dicapai dengan jayanya. Tidak dinafikan bahawa, kegemilangan sesuatu organisasi memerlukan banyak pengorbanan, kesungguhan serta usaha yang gigih oleh semua pihak. Justeru itu, saya menyeru kepada semua warga SMK Kedondong untuk terus berganding bahu dalam mencipta kegemilangan untuk menjayakan budaya ilmu pengetahuan dan mencipta kemenjadian murid sebagai agenda utama dalam perkhidmatan. Selain itu, segala maklumat yang terdapat dalam portal dapat diakses oleh semua pihak terutamanya guru, murid, ibu bapa dan masyarakat di seluruh dunia. Setiap perkembangan yang berlaku di sekolah juga turut dikongsikan dalam portal ini.
Pendidikan berkualiti, insan terdidik dan negara sejahtera perlu dijadikan panduan dalam menentukan hala tuju sesebuah sekolah dalam usaha menghasilkan modal insan kelas pertama. Oleh itu, guru perlu menjadi sandaran dalam memastikan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) menjadi tunjang utama dalam pengajaran dan pembelajaran (PdPc) dalam bilik darjah serta pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPr) selaras dengan kehendak KPM.
Akhir kalam, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua guru di atas kerjasama dan komitmen yang diberikan untuk memastikan kegemilangan SMK Kedondong. Jadikan tugas sebagai seorang guru sebagai satu ibadah di samping tempat mencari rezeki kepada diri dan keluarga.
Sekian Terima Kasih, Selamat Bertugas.