ULASAN
Sekolah merupakan tempat utama bagi pelajar memperoleh ilmu dan membina sahsiah diri. Persekitaran pembelajaran yang kondusif bergantung kepada kemudahan yang lengkap serta selesa. Oleh itu, pihak sekolah perlu bekerjasama dengan masyarakat setempat untuk menambah baik prasarana yang sedia ada. Demi kesejahteraan warga sekolah, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi meningkatkan kemudahan yang tersedia.
Langkah pertama ialah menaik taraf dewan tidak tertutup sekolah bagi memenuhi keperluan semasa. Dewan wawasan yang digunakan kini tidak dapat menampung jumlah pelajar yang semakin bertambah. Keadaan ini menyukarkan penganjuran program besar seperti perhimpunan rasmi dan majlis penyampaian anugerah. Selain itu, peralatan di dalam dewan seperti sistem audio, mikrofon, dan projektor juga perlu diperbaiki agar setiap aktiviti dapat dijalankan dengan lebih lancar. Penambahbaikan ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada pelajar dan guru, malah membantu meningkatkan keberkesanan komunikasi dalam setiap majlis yang diadakan.
Langkah kedua ialah membina surau baharu yang lebih luas untuk kegunaan warga sekolah. Surau sedia ada terlalu kecil dan tidak mampu menampung semua pelajar, terutama ketika waktu solat berjemaah. Akibatnya, pelajar perempuan terpaksa menggunakan bilik lain sebagai ruang solat sementara, yang kurang selesa dan tidak sesuai. Dengan adanya surau yang lebih besar dan lengkap dengan kemudahan seperti tempat wuduk yang mencukupi, ruang penyimpanan telekung serta sejadah, dan sistem pengudaraan yang baik, pelajar serta guru dapat menunaikan ibadah dengan lebih selesa. Selain menjadi tempat solat, surau ini juga boleh digunakan untuk aktiviti keagamaan seperti kelas tadarus, ceramah, dan program kerohanian yang dapat membentuk sahsiah pelajar.
Langkah seterusnya ialah penyediaan kenderaan rasmi sekolah untuk memudahkan pergerakan pelajar dan guru ke luar kawasan sekolah. Pada masa ini, pelajar sering menghadapi kesulitan untuk menyertai aktiviti luar seperti pertandingan sukan, program akademik, dan lawatan sambil belajar kerana tiada pengangkutan yang disediakan oleh pihak sekolah. Oleh itu, cadangan untuk memperoleh sebuah bas mini yang boleh membawa sekitar 16 hingga 20 orang pelajar dalam satu perjalanan wajar dipertimbangkan. Bas ini dapat menjimatkan kos dan memudahkan urusan sekolah dalam mengatur aktiviti luar, sekali gus memastikan pelajar dapat menghadiri program yang dianjurkan dengan lebih selamat dan selesa.
Akhir sekali, pihak sekolah perlu menambah kawasan parkir bagi menampung keperluan guru dan staf. Kekurangan petak parkir menyebabkan guru terpaksa meletakkan kenderaan di lokasi yang tidak sesuai seperti kawasan padang atau bahu jalan di sekitar sekolah. Keadaan ini bukan sahaja menyulitkan pergerakan keluar masuk kenderaan, tetapi juga menimbulkan isu keselamatan. Oleh itu, pembinaan kawasan parkir tambahan yang lebih tersusun dapat mengatasi masalah ini. Selain itu, sistem parkir yang lebih teratur seperti penyediaan ruang khas untuk guru dan staf boleh memastikan kelancaran dan keselesaan semua pihak.
Kesimpulannya, penambahbaikan kemudahan sekolah merupakan usaha yang penting bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan berkesan. Dengan menaik taraf dewan tertutup, membina surau baharu, menyediakan pengangkutan rasmi, dan menambah kawasan parkir, kesejahteraan warga sekolah dapat dipertingkatkan. Kerjasama antara pihak sekolah, ibu bapa, dan masyarakat setempat amat diperlukan bagi merealisasikan cadangan ini demi manfaat pelajar serta guru.
BORANG C