Kisah kewujudan dan perkembangan tarian Dabus di negeri Perak dipercayai telah pun bermula sejak tahun 1600 dahulu lagi. Kisah bermula dengan kedatangan pedagang dari Sumatera iatu dari Batu Bahara. Dua orang pedagang itu dikenali sebagai Nakhoda Lembang dan Nakhoda Topah. Kedua-dua pedagang itu telah datang merantau di negeri Perak dan menetap di Setiawan iatu di kawasan Telaga Nenas. Nakhoda-nakhoda tersebut merupakan pemain dabus yang handal dan telahpun berlatih bermain dabus ketika menetap di sana. Peristiwa tersebut akhirnya telah berjaya menarik minat para penduduk setempat. Akibat daripada sikap dua orang nakhoda ini yang gemar merantau, akhirnya, Dabus telah berjaya diperkembangkan ke seluruh kawasan Perak iatu sehingga ke kawasan Bagan Datoh serta sebahagian daripada kawasan Selangor iatu tu kawasan Kuala Selangor.
Khalifah akan menjalankan upacara tertentu sebelum para penari membuat persembahan. Upacara yang akan dilakukan oleh Khalifah sebelum persembahan dimulakan adalah seluruh pentas persembahan, penari, pemuzik dan anak dabus akan diasap menggunakan kemenyan dan air yang dijampi akan direnjis-renjis oleh Khalifah.
Beberapa bahan seperti bertih, beras dan beras kunyit akan digunakan untuk upacara ini yang dikenali sebagai upacara buka panggung. Hal ini dilakukan adalah untuk mengelak gangguan makhluk halus serta mereka yang mempunyai niat yang tidak baik terhadap kumpulan dabus tersebut.
Khalifah akan menggunakan air pemulih atau air penawar untuk membasuh luka dan memulihkan bisa daripada besi akibat daripada tikaman di bahagian lengan yang dilakukan oleh penari menggunakan anak dabus. Bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan air penawar ini adalah umbut pisang yang dihiris, daun setawar, daun sireh serta serai yang dihiris. Air Penawar ini juga akan dijampi untuk memastikan keberkesannya.
Anak dabus juga perlulah dijaga dan dipelihara dengan sebaik-baiknya. Antara pantang-larang terhadap anak dabus adalah ianya tidak boleh dilangkah dan anak dabus tidak boleh diletakkan dengan cara mencucuk ke tanah. Bukan itu sahaja, malahan, peralatan permainan dabus termasuklah anak dabus, alat muzik dan lain-lain lagi tidak dibenarkan disentuh oleh orang luar yang bukannya pemain dabus. Pelanggaran pantang-larang ini dipercayai akan membawa kepada berlakunya perkara yang tidak diingini.