Jenis muzik yang digunakan dalam mempersembahkan seni tari dabus ini adalah bergenre marhaban atau berzanji. Bahkan, terdapat juga lagu dabus dalam bahasa Arab dan berbentuk zikir. Zikir dabus ini bersifat Islamik dan ianya akan memuja dan memuji Allah serta Rasulullah. Di Perak, lagu tradisional untuk persembahan tarian dabus ini adalah lagu yang bertajuk ‘Baju Putih Selendang Putih’. Lagu ini telah pun digunakan secara meluas untuk mempersembahkan tarian dabus di pelbagai peringkat. Hal ini demikian kerana, lagu ini merangkumi ciri-ciri lagu yang digunakan oleh pemain dabus sejak dahulu lagi. Ianya mempunyai jenis muzik seperti marhaban dan ianya memuja keagungan Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Merangkumi tiga jenis seni tari yang berbeza iatu susun sireh, ayam tajak serta helang sewah. Ketiga-tiga seni tari ini digunakan dalam satu-satu persembahan tarian dabus. Namun ianya biasanya akan dimulakan dengan langkah yang dikenali sebagai susun sireh.
Semasa penari mempersembahkan tarian, penari turut akan melakukan perbuatan mencederakan diri mereka dengan menggunakan buah dabus yang dibawa. Mereka akan bertindak mencucuk atau dalam erti kata lain menikam bahagian lengan mereka. Hal ini demikian kerana, tarian dabus ini adalah berkonsepkan kepahlawanan dan ketangkasan para pemain dabus. Bahkan, turut dikatakan bahawa, pemain yang cedera dan luka hasil daripada perbuatan mencederakan diri itu akan disembuhkan dan dipulihkan oleh ketua ataupun khalifah kumpulan dabus ini.
Terdapat beberapa jenis alat muzik yang digunakan untuk persembahan dabus. Antaranya ialah Gong, Rebana Dabus dan Anak Dabus. Paluan gong akan dipalukan sebagai penanda tempo kepada para penari. Manakala, sebanyak empat hingga lima buah rebana dabus pula akan mempengaruhi para penari ketika mempersembahkan persembahan tarian. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, anak dabus akan dimainkan oleh para pemain. Fungsi anak dabus ini adalah sebagai penanda tempo sesebuah lagu yang dimainkan. Pada anak dabus juga terdapatnya gegelang besi, maka gegelang besi itu akan mengeluarkan bunyi apabila anak dabus tersebut digoyang semasa penari menggerakkan tangan.
EN. MAT ROSNAN