PROGRAM NILAM

APA ITU NILAM?

PENGENALAN


Program NILAM atau Nadi Ilmu Amalan Membaca merupakan gabungan atau adunan semua aktiviti galakan membaca yang mula dilaksanakan pada tahun 1999.


Pada tahun 2017,program NILAM yang sedia ada telah ditambah baik menjadi program NILAM Tambah Baik. Program ini merupakan inisiatif pihak kementerian bagi menambah baik kualiti bacaan dalam kalangan murid. Program ini memberi keutamaan kepada kepelbagaian bahan bacaan serta aktiviti pengayaan selepas membaca.


Pelaksanaan program ini diharapkan dapat meningkatkan pencapaian kemahiran literasi dan numerasi murid sekolah seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025.


Pada tahun 2020, program NILAM Nafas Baharu diperkenalkan. Fokus diberikan kepada instrumen perekodan NILAM. Borang NILAM diperkenalkan dan jumlah bacaan NILAM direkodkan secara atas talian.


Pada tahun 2021, sistem perekodan NILAM yang baharu iaitu iQ-NILAM telah diperkenalkan dan akan digunakan sepenuhnya di sekolah mulai tahun ini. Sistem ini membolehkan murid untuk merekod bacaan di mana sahaja. Diharapkan dengan adanya sistem ini, program NILAM dapat dijalankan dengan lebih berkesan.