Selamat Datang Ke Site Pusat Kokurikulum Kuala Lumpur
SEJARAH PENUBUHAN
Peringkat Awal Penubuhan Cadangan penubuhan Pusat Kokurikulum Negeri telah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pendidikan ke 114 Kementerian Pelajaran Malaysia yang dipengersikan oleh Yang Berhormat Menteri Pelajaran Malaysia Sehubungan itu, Kuala Lumpur tidak terkecuali untuk merealisasikan penubuhannya.
Pada peringkat awal penubuhan, beberapa lokasi serta premis yang dicadangkan dan akhirnya Sekolah Kebangsaan Jalan Temerloh telah dipilih pada tahun 1997 sebagai PKK KL setelah murid-muridnya semakin berkurangan. Tambahan pula ia amat berdekatan dengan Taman Tasik Titiwangsa dan dapat mempelbagaikan aktiviti khususnya berkonsepkan pendidikan luar seperti kayak, orienteering dan sebagainya.
Luas kawasan Pusat Kokurikulum Kuala Lumpur dianggarkan 5 ekar.Bangunan PKK KL ini merupakan bekas bangunan Sekolah Kebangsaan Jalan Temerloh yang telah ditutup mulai 1 Januari 2000. (Rujukan surat: JPWP: 12-12/ (17) bertarikh 7 Julai 1999 kepada Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia mengenai Cadangan Penutupan SK Jalan Temerloh.
PKKKL telah diiktiraf oleh Kementerian Pelajaran Malaysia apabila pembukaan rasminya telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Dato' Dr. Abdul Shukor Bin Abdullah pada 24 Oktober 1998. Pada peringkat awal tidak banyak perubahan yang berlaku terutama dari segi pembangunan infrastruktur fizikal.
PERKEMBANGAN PKKKL SEKARANG
Sehingga kini PKK KL dari tahun ke tahun telah menunjukkan perkembangan dari segi pengendalian aktiviti dan penggunaannya yang melibatkan aktiviti peringkat negeri dan kebangsaan mahupun antarabangsa. Kebanyakan aktiviti ini dianjurkan sama ada daripada agensi kerajaan dan juga pihak swasta.
Di samping itu juga PKK KL menjadi tumpuan para peserta dari negeri-negeri lain kerana lokasinya strategik di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Dengan ini secara tidak langsung PKK KL telah dijadikan tempat persinggahan mereka bagi tujuan sesi lawatan ke tempat-tempat menarik di sekitar bandar yang bercahaya ini.
Ekoran itu, PKK KL kini telah menyediakan 8 bilik asrama yang dilengkapkan dengan katil, tilam dan bantal untuk pengunjungnya. Manakala bilik-bilik air juga dinaiktarafkan bagi menampung kapasiti seramai 160 hingga ke 180 orang. Bagi kemudahan seminar atau bengkel pula PKK KL mempunyai sebuah bilik mesyuarat berhawa dingin dan 1 dewan besar tertutup. Para pelanggan yang ingin merasakan masakan di PKK KL boleh membuat tempahan terus daripada 'caterer' yang dicadangkan oleh pihak pengurusan.
Dewan makan terbuka merupakan kantin sekolah lama telah diceriakan lagi dengan beberapa lanskaping termasuk pokok-pokok bunga dan kolam ikan di sekitarnya telah menjadi tarikan kepada para pelanggan yang berkunjung ke PKK KL.
Manakala aktiviti yang dijalankan di PKK KL kini semakin mendapat tumpuan daripada para peserta khususnya pelajar-pelajar sekolah yang sememangnya amat berminat dengan aktiviti-aktiviti lasak seperti rapelling, flying-fox, berkayak, orienteering, berbasikal, paintball, mendaki tembok tiruan dan sebagainya.
Seandainya pihak sekolah ingin merasakan suasana treking di hutan maka PKK KL boleh mengaturkan perancangannya dengan menyediakan pengangkutan ke kawasan hutan berhampiran seperti Sungai Pisang (Gombak), Bukit Tabor (Melawati), Bukit Apeh (Ampang) dan lain-lain lagi. Jika ingin menikmati suasana kelainan hutan di dalam bandar, bolehlah mencuba Hutan Simpan Bukit Nanas.
SEJARAH PENUBUHAN PUSAT KOKURIKULUM DAERAH BANGSAR / PUDU
Pada 23 Mac 2005, dalam usaha memantapkan pengendalian dan pengurusan Pusat Kokurikulum Kuala Lumpur, maka telah diberi kepercayaan. Jabatan Pelajaran Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah bersetuju memberikan hak kepada Pusat Kokurikulum Kuala Lumpur menggunakan sebuah blok bangunan di Sekolah Kebangsaan Seri Indah, Jalan Hujan Bukit, Taman Overseas Union, 58200 Kuala Lumpur. iaitu bangunan 3 tingkat di Blok C untuk dijadikan sebagai Pusat Kokurikulum Daerah (PKD).
Mengikut perancangan awal , Pusat kokurikulum Daerah ini akan bertindak untuk menguruskan segala program pendidikan luar di dalam zon Pudu dan Bangsar. Namun begitu, ekoran dari beberapa kekangan yang dihadapi oleh Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, maka segala aktiviti di Pusat Kokurikulum Daerah terpaksa dijalankan di kawasan luar yang bersesuaian menggunakan peruntukan yang telah diluluskan. Sementara itu, dalam masa yang sama, SJK(T) Saraswathy telah menumpang bangunan di sini sehingga tahun 2011. Sehinggalah mereka berpindah ke bangunan sekolah yang baru pada tahun 2012.
Beberapa kerja-kerja pembaikan dan pembangunan untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada pelanggan yang akan menjalankan aktiviti di Pusat Kokurikulum Daerah Bangsar Pudu. Semenjak dari itu, beberapa program telah berjaya dilaksanakan di sana.