Menurut Frostad dan Pijl (2007), penempatan murid-murid berkeperluan khas di dalam kelas inklusif dapat meningkatkan bukan sahaja prestasi akedemik malah kemahiran sosial ekoran daripada proses pembelajaran bersama-sama rakan sebaya mereka di dalam kelas. Pada peringkat awal, pihak sekolah perlu menerangkan secara terperinci dan terbuka kepada rakan inklusif yang lain mengenai ciri-ciri murid berkeperluan khas yang akan menjadi rakan sekelas mereka. Dengan adanya penerangan tersebut, rakan-rakan inklusif akan lebih dapat memahami dan menerima murid berkeperluan khas dalam kelas inklusif tersebut (Kamaliah dan Wan Amiman,2010). Menurut Larocque dan Darling (2008), mendapati persekitaran dan peranan yang dimainkan oleh rakan-rakan di kelas inklusif amat penting terutamanya pada peringkat awal murid berkeperluan khas di tempatkan di kelas inklusif. Ia dapat membantu menggalakkan interaksi sosial serta rasa diterima oleh rakan, lantaran mengurangkan rasa rendah diri dalam diri murid berkeperluan khas tersebut. Selain itu, strategi pembelajaran secara kooperatif atau kerja berkumpulan boleh diaplikasikan dalam kelas. Strategi ini akan menggalakkan interaksi antara rakan inklusif dan murid berkeperluan khas di dalam kelas. Pembelajaran kooperatif ini juga boleh menggalakkan interaksi dan semangat setia kawan melalui kepelbagaian aktiviti yang dijalankan (Salend, 2005). Rakan inklusif juga berperanan sebagai agen perubahan dalam komuniti sekolah. Mereka secara tidaklangsung menjadi individu yang bertanggungjawab menceritakan tentang perkembangan murid lain kepada rakan-rakan yang lain, ibu bapa dan jugamasyarakat luar (Norhayati, Mohd Mokhtar dan Mohd Hanafi, 2010). Contohnya rakan inklusif menceritakan perkembangan murid berkeperluan khas kepada rakan-rakannya, ibu bapa, dan masyarakat luar. Mereka boleh menceritakan tentang murid berkeperluan khas sama ada dari segi kelebihan atau ketidakupayaan murid berkeperluan khas. Dengan cara ini, masyarakat akan lebih memahami bahawa murid berkeperluan khas ini juga dapat melakukan tingkah laku seperti rakan inklusif yang lain serta apakah bentuk sokongan yang diperlukan oleh mereka. Selain itu, rakan inklusif ini juga memainkan peranan sebagai agen sokongan untuk membantu murid-murid berkeperluan khas ini semasa dalam kelas sekiranya memerlukan. Contohnya, mereka akan memberi bantuan dengan mengajar murid berkeperluan khas ini sekiranya mereka tidak memahami sesuatu pengajaran.