MENGHADAPI LIBERALISME & SEKULARISME DALAM DUNIA ISLAM
KARANGAN : MUHAMMAD AMIRUL FAIZ BIN MOHD NAZRI
(Pemenang Tempat Ke-2 Risalah Al-Abrar MInggu Eksplorasi Intelektual)
KARANGAN : MUHAMMAD AMIRUL FAIZ BIN MOHD NAZRI
(Pemenang Tempat Ke-2 Risalah Al-Abrar MInggu Eksplorasi Intelektual)
As-syahid Syeikh Dr. Sa’id Ramadan al-Buti dalam kitabnya, a-Islam wa Mushkilah al-Shabab menyentuh secara ringkas akan pergelutan-pertelingkahan yang melanda para pemuda Islam di seluruh dunia. Pengamatan paling utama yang dikemukakan oleh as-syahid melalui tulisan ini ialah puncha kekacauan utama yang dialami oleh mereka ya’ni para pemuda ialah kebudayaan ‘ilmu yang celaru. Berbicara perihal budaya pula, ingatan penulis terimbau kepada seorang pemikir Algeria, Malik Bennabi, satu sosok yang lantang membicarakan Islam dalam pergolakan sosial. Menurut beliau, budaya itu “sesuatu yang menjadi cara hidup yang umum dalam masyarakat tertentu.”
Kedua-dua pemikir ini, walaupun berbeza pandangan dalam menanggapi konsep ‘budaya’ dan pemerhatian mereka terhadap dunia Islam bertunjangutamakan orang Arab sahaja, satu hal boleh disepakati oleh kedua-duanya dan tiada boleh diingkar kita: budaya ke’ilmuan merupakan satu khazanah yang telah tercicir dari dunia Islam. Terbitnya Islam dahulu yang dianggap sebagai pemegang kunci peradaban dunia telah luput, dan berpindah ke dunia Barat. Walaupun perkara ini hanya tinggalan sejarah sahaja, namun kegelisahannya dirasakan hingga kini. Dunia Islam; mengemis-kuis, menjadi hamba kepada aturan mereka. semata-mata; rasionalisme dan saintifik itu disadur bersama.
Sebagai pemegang kunci peradaban dunia yang baharu, Baratlah yang mengagih-agihkan ke’ilmuan mereka ke seluruh bahagian dunia. Abad ke-16 hingga ke-19 menyaksikan lambakan “‘ilmu-ilmu baharu” dengan istilah yang menggiurkan: liberalisme, sekularisme, individualisme, modernisme, sosialisme, feminisme, cauvinisme, empirisme, nihilisme, skeptisisme dan berbagai lagi -isme yang sekadar melambangkan kerancuan mereka. Faham-faham Barat ini malangnya, telah cair ke dalam dunia kita hingga tidak tersedar bahawa citra jagat kita dipandu mereka. Kerancuan faham Barat ini meresapi hingga ke hal-hal pokok dunia Islam —keTuhanan, kebebasan, agama, sistem pemerintahan dan etika-nilai. Kita dilandai badai kerosakan, namun badai ini pula kita ni’mati oleng-olengnya.
Ketahuilah wahai para penghuni dunia Islam, hakikatnya, kerosakan yang terjadi dan kealpaan yang tidak disedari ini kerana keghairahan kita dalam memburu ilmu semakin lenyap dengan bergulirnya masa. Dan ketahuilah bahawa ‘ilmu itu bukanlah hanya pengetahuan semata-mata, bahkan mestilah ianya berupaya menjelaskan hakikat satu-satu ma’na. Hanyasanya dengan ‘ilmu, kita tidak keliru meneguk tuak yang disangka air telaga.
oh pengemis, hina kau di mata manusia,
di pasar dan jalanan, kau meminta-minta,
—ah, apakah mereka sudah lupa?
bahawa dahulu kau yang berharta,
memberi dari sebutir hingga segala,
tiada tersisa walau satu butir cuma,
kini hanya pakaian yang kau punya,
melindungi aib yang harus dipelihara.
Notakaki: Renchana ini tidak mengikut jalur kepengarangan (undang-undang bahasa) Dewan Bahasa dan Pustaka.