KRISIS UMAT ISLAM PALESTIN: TANGGUNGJAWAB & SOLIDARITI GLOBAL
KARANGAN : WAN NUR AQILAH BINTI ABD SAMAD
(Pemenang Tempat Ke-3 Risalah Al-Abrar MInggu Eksplorasi Intelektual)
KARANGAN : WAN NUR AQILAH BINTI ABD SAMAD
(Pemenang Tempat Ke-3 Risalah Al-Abrar MInggu Eksplorasi Intelektual)
"Saksi Bisu"
Di bumi Al-Quds, suara kebenaran dihela dalam derita,
Biduan khabar menjadi saksi bisu di medan sengketa.
Mereka bukan sekadar pena dan lensa,
Tetapi jiwa-jiwa yang teguh menghadapi bahtera.
Mereka menjadi saksi buruan peluru dan ancaman maut,
Dirampas amannya, terikat rantai kekejaman yang tidak pernah surut.
Balai mereka digempur, mimpi mereka diranapkan,
Namun, tetap saja teguh merakam cerita di tengah runtuhan.
Di maya, khabaran mereka dihapus tanpa belas,
Gangguan siber menjerut kebenaran yang bernafas.
Mengharapkan dunia mendengar, meski samar dan kelam,
Berita mereka tetap bergaung, menghidupkan perjuangan silam.
Wahai semesta, bangkitlah bersama keadilan,
Hentikan penindasan, tegakkan keinsafan.
Meski jasad dibantai tanpa henti,
Kebenaran pasti tetap akan berdiri.
Risalah ini daku nukilkan kepada sekalian warga yang melihatnya. Tiada apa yang istimewa dari diri yang kerdil ini. Hanya saja tidak mahu menyiakan peluang yang terbentang, untukku kongsikan secebis risalah yang telah lama sekali inginku tebarkan pada semesta. Bukan niat di hati untuk bermadah indah, namun semoga saja coretan ringkas ini dapat menyentuh jiwa-jiwa yang membacanya sebagai sebuah renungan dan penghayatan yang mendalam. Dengan Lafaz yang agung, Bismillahirrahmanirrahim, duhai warga, dengarkan tintaku ini.
“Bahwasanya tiap-tiap detik masa, cakrawala Gaza diselubungi asap hitam yang pekat, menggulung seperti bayangan gelap yang menelan harapan insan. Suara siren berselang-seli dengan jeritan pilu di setiap sudut kota, memecah keheningan malam yang telah lama hilang damainya. Di tengah-tengah kekacauan ini, tetaplah ada seorang insan bergelar biduan khabar, berdiri teguh, mengangkat lensa cahaya kameranya, berusaha mengabadikan kebenaran yang sering terkubur di bawah debu sengketa dan peperangan”
Konflik di Palestine bukan sebuah isu yang baharu, namun krisis ini sudah berlaku sejak puluhan tahun lamanya, di mana hari demi hari, kebahagiaan rakyat Palestine terus dirampas sehingga meninggalkan mereka di dalam tekanan kezaliman yang tidak terjangkau peritnya. Episod duka dan kekejaman yang dikenakan ke atas rakyat Palestine oleh “laskar”durjana Zionis Israel terlihat tiada titik noktahnya.
Detik hitam yang berlaku pada 7 Oktober 2023 yang lalu makin menambah derita yang tidak pernah pudar menghantui setiap langkah kehidupan warga Palestine sejak tahun 1948. Dunia terus memasang mata menjadi saksi disegala kesaksian, melihat jiwa dan raga rakyat Gaza di Palestine kian dilapah dengan asakan kezaliman yang begitu dasyat oleh mereka yang tidak layak digelar “Manusia”.
Pengeboman, pembunuhan, pencerobohan, dan penyeksaan yang berlaku ke atas rakyat Palestine telah meragut puluhan ribu nyawa yang tidak berdosa di mana majoritinya terdiri daripada kanak-kanak kecil yang baru ingin mengenal dunia. Jeritan si ibu, tangisan si bapa, rayuan si anak bergema bersahutan di setiap ceruk kota. Habis sudah tangisan membasahi buana, namun masih tidak didengari dunia. Langit berbicara dengan bahasa sepi, begitu juga dunia yang hanya mampu menjadi saksi bisu kepada jiwa yang terpenjara, merintih di dalam rayuan kekosongan yang tiada penghujungnya. Sinar yang diharapkan, bukannya ilusi.
Maka, dalam mendepani pergolakan sengketa yang tiada penghujung ini, biduan khabar atau umum dikenali sebagai wartawan, bangkit dengan meneruskan perjuangannya di bumi Palestine, merakam segenap penjuru di setiap runtuhan-runtuhan bagunan dan menjalankan liputan langsung bagi memperlihatkan kepada semesta betapa dasyatnya situasi yang berlaku di sana. Mereka menjalankan tugas yang cukup murni dalam menengakkan kebenaran. Mereka menggalas tugas yang amat mencabar dan melibatkan risiko serta tekanan yang luar biasa bagi melaporkan perkembangan terkini mengenai serangan, angka korban dan situasi semasa yang berlaku di Palestine ketika ini. Bukan sekadar itu, mereka juga merupakan suara dan harapan bagi rakyat Palestine, di mana mereka mengambil tanggungjawab yang berat ini untuk menyuarakan mesej penderitaan yang berlaku ke atas rakyat Palestine kepada dunia di luar sana. Namun persoalannya, bagaimana bisa wartawan yang ditugaskan untuk menjalankan tugasnya turut dijadikan sasaran dan dibunuh oleh tentera Zionis? Renungkan.
Duhai rakan, tentu kita semua sedari, Zionis Israel jelas telah melakukan pelanggaran ke atas undang-undang dunia apabila melibatkan pembunuhan terhadap para wartawan yang sepatutnya tidak boleh menjadi sasaran mereka. Bukan sahaja kanak-kanak dan rakyat Palestine menjadi mangsa kekejaman, namun wartawan di Palestine juga turut berdepan dengan maut setiap hari. Mengikut data yang diambil daripada kajian The International Federation of Journalists (IFJ) dan Palestinian Journalists Syndicate (PJS) mengatakan bahawa, sehingga pertengahan bulan Disember 2024 ini, lebih daripada 180 wartawan telah dibunuh oleh Zionis Israel, 360 yang tercedera dan 60 ditahan. Tidak hairan, jumlah ini akan sentiasa meningkat hari demi hari. Lihatlah dunia, ini bukan kisah dongeng atau rekaan sketsa semata.
Apa yang berlaku di bumi Palestine merupakan kisah hitam yang sangat sadis,di mana terkumpulnya ribuan koleksi cerita yang tidak mungkin dunia mampu rasai sakitnya. Setiap jiwa yang berada di sana, mempunyai impian dan kehidupan layaknya fitrah manusiawi. Namun terkubur tiada bertepi. Meskipun begitu, tetap saja ada biduan khabar yang tidak pernah luntur jihadnya, mengorbankan jiwa dan raganya, demi menjalankan amanah yang diberikan. Akhir kata dari saya, perjuangan wartawan di Gaza merupakan manifestasi keberanian yang luar biasa dalam mempertahankan kebenaran di sebalik bayangan kezaliman yang tidak bertepi. Darah dan debu menjadi saksi bisu kepada usaha mereka dalam menyampaikan setiap khabar duka di bumi Al-Quds pada semesta. Maka, duhai rakan, hayati dan renungkanlah. Semoga nukilan ini memberi semangat baharu untuk kita sama-sama gencarkan lagi tembakan doa yang tidak pernah berhenti buat saudara kita di sana.