GARIS PANDUAN
Permohonan dan Pelaksanaan Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) 2024
Permohonan dan Pelaksanaan Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) 2024
GLOSARI
Berikut merupakan deskripsi istilah yang digunakan dalam garis panduan ini.
PERANTIS:
Program Perantisan Kepimpinan Wanita.
Pelaksana:
Individu atau organisasi yang akan melaksanakan PERANTIS. Terdiri daripada individu (tokoh wanita), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), syarikat atau mana-mana organisasi yang ditubuhkan secara sah mengikut undang-undang Malaysia.
Perantis:
Peserta program PERANTIS yang akan dibimbing oleh tokoh wanita.
Tokoh wanita:
Tokoh wanita yang berkelayakan untuk membimbing Perantis.
Jawatankuasa Pemilihan PERANTIS (JPP):
Jawatankuasa yang akan menilai dan membuat pemilihan berdasarkan cadangan program yang dikemukakan. Jawatankuasa ini diwakili oleh panel pakar dalam bidang yang berkaitan.
Urus Setia:
Bahagian Penilaian, Pemantauan dan Pengurusan Pengetahuan (BPP), JPW.
Syarat-syarat berikut merupakan asas pertimbangan dalam pemilihan program yang akan dilaksanakan.
PELAKSANA
Pemohonan boleh dikemukakan oleh Pelaksana secara individu ataupun melalui organisasi. Kriteria pemohon individu adalah sama dengan kriteria tokoh wanita manakala kriteria bagi organisasi adalah seperti berikut:
Organisasi yang ditubuhkan secara sah mengikut undang-undang Malaysia.
Masih dalam tempoh pendaftaran yang sah.
Tidak disenarai hitam atau telah dibatalkan atau digantung pendaftaran oleh pendaftar pertubuhan atau undang-undang badan pendaftar yang sah di Malaysia.
Tidak mempunyai sebarang rekod tidak baik dengan mana-mana kementerian atau agensi kerajaan.
Mempunyai pengalaman dan kapasiti untuk melaksanakan PERANTIS.
Peranan dan tanggungjawab Pelaksana:
Mengemukakan permohonan.
Menyediakan kertas cadangan pelaksanaan program.
Memilih peserta program (Perantis).
Menyelaras pelaksanaan program.
Menyelaras peruntukan yang diterima.
Menyediakan laporan pelaksanaan dan penilaian.
Lain-lain urusan yang berkaitan.
TOKOH WANITA
Pemilihan tokoh wanita akan dinilai berdasarkan kriteria berikut:
Berjaya:
Mempunyai pencapaian atau pengiktirafan di peringkat antarabangsa/ kebangsaan/ negeri/ institusi/ komuniti;
Berpengalaman:
Mempunyai minimum tiga (3) tahun pengalaman dalam bidang yang berkaitan. Keutamaan diberikan kepada pemohon yang mempunyai pengalaman yang lebih lama; atau
Berkemampuan:
Mempunyai pengetahuan, kepakaran, minat dan sumber yang mencukupi untuk membimbing peserta PERANTIS 2024.
PERANTIS (PESERTA PROGRAM)
Pemilihan peserta program (Perantis) akan dibuat oleh Pelaksana dengan pemantauan daripada pihak Urus Setia. Pemilihan juga boleh dibuat oleh pihak Urus Setia. Perantis akan dipilih berdasarkan kriteria berikut:
Mempunyai pengalaman dalam bidang berkaitan;
Mempunyai posisi sebagai pemimpin daripada pelbagai peringkat; atau
Mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai pemimpin yang berkaliber.
KERTAS CADANGAN PELAKSANAAN PROGRAM
Kertas cadangan pelaksanaan program yang telah dihantar akan disaring dan disenarai pendek untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemilihan PERANTIS. Penyediaan dan pembentangan kertas cadangan oleh Pelaksana akan dinilai berdasarkan kriteria berikut:
Perancangan pelaksanaan program yang sistematik, jelas dan teratur;
Pemilihan tokoh wanita dan Perantis yang bersesuaian;
Memberikan impak yang signifikan terhadap pembangunan kemahiran kepimpinan Perantis;
Pengisian modul serta kaedah penyampaian yang berkesan; dan
Anggaran perbelanjaan yang optimum dengan jumlah kumpulan sasar yang bersesuaian.
BIDANG KEUTAMAAN
Program pembangunan kepimpinan wanita yang akan dilaksanakan adalah berdasarkan bidang keutamaan berikut:
Kepimpinan
Politik
Ekonomi
Sosial
Teknologi
Perundangan
Keselamatan
Kesejahteraan
Pendidikan
Kesihatan
PERMOHONAN
Tempoh permohonan bermula dari 10 sehingga 30 Jun 2024.
Hanya permohonan yang lengkap sahaja akan diproses.
Permohonan boleh dilakukan secara dalam talian melalui pautan PERMOHONAN di bawah.
Bagi pemohon yang mempunyai kekangan untuk memohon secara dalam talian, permohonan boleh dihantar kepada pihak Urus Setia sama ada secara serahan tangan, pos atau melalui e-mel seperti berikut:
Ketua Pengarah
Jabatan Pembangunan Wanita
Aras 25, No. 55, Persiaran Perdana, Presint 4
62100 WP Putrajaya
(u.p.: Pengarah Bahagian Penilaian, Pemantauan dan Pengurusan Pengetahuan)
E-mel: bppp@jpw.gov.my
VERIFIKASI
Permohonan yang lengkap dan menepati garis panduan yang ditetapkan akan melalui proses semakan dan verifikasi.
Sekiranya pemohon didapati memberikan maklumat palsu, KPWKM berhak pada bila-bila masa menolak, menamatkan atau menarik balik tawaran serta peruntukan.
Seterusnya permohonan akan disenarai pendek untuk sesi pembentangan bersama Jawatankuasa Pemilihan PERANTIS bagi tujuan penilaian dan pemilihan.
PENILAIAN DAN PEMILIHAN
Proses penilaian dan pemilihan akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pemilihan PERANTIS yang terdiri daripada panel jemputan yang pakar dalam bidang yang berkaitan.
Pembentangan kepada Jawatankuasa akan dibuat oleh Pelaksana atau wakil Pelaksana.
Penilaian adalah berdasarkan budi bicara ahli jawatankuasa dan syarat-syarat asas pertimbangan PERANTIS.
KELULUSAN
Pemakluman kelulusan akan dikemukakan kepada penerima secara bertulis.
Surat Kelulusan akan disediakan kepada penerima untuk ditandatangani dan diduti setem sebelum dikembalikan semula kepada pihak Urus Setia dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan surat tersebut. Kos duti setem perlu ditanggung oleh penerima.
Akuan penerimaan Surat Kelulusan dan tawaran perlu ditandatangan oleh Pelaksana atau pihak yang diberi kuasa oleh Pelaksana serta seorang (1) saksi.
Sekiranya penerima gagal mengembalikan Surat Kelulusan tersebut dalam tempoh yang ditetapkan, kelulusan tersebut dianggap terbatal serta-merta tanpa perlu sebarang notis pemakluman daripada pihak Urus Setia.
Sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak Urus Setia dan Jawatankuasa Pemilihan PERANTIS adalah muktamad.
PEMBAYARAN
Peruntukan akan disalurkan setelah Surat Kelulusan yang lengkap diterima oleh pihak Urus Setia.
Pemohon perlu mengemukakan akuan penerimaan peruntukan kepada pihak Urus Setia dalam tempoh tujuh (7) hari setelah menerima surat pemakluman penyaluran peruntukan daripada pihak Urus Setia.
Tatacara kewangan bagi pelaksanaan PERANTIS adalah tertakluk kepada tatacara kewangan Kerajaan yang berkuatkuasa.
Kadar perbelanjaan adalah tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Pemilihan PERANTIS.
Peruntukan hendaklah digunakan bagi tujuan pelaksanaan program yang telah dipersetujui dalam Surat Kelulusan.
Peruntukan yang diberi adalah bagi tempoh yang ditetapkan sahaja. Sekiranya peruntukan tersebut didapati tidak digunakan dalam tempoh tersebut, maka peruntukan tersebut perlu dipulangkan semula.
Pelaksana mempunyai obligasi untuk memberikan kerjasama dan kebenaran untuk pihak Kerajaan membuat pemeriksaan atau auditan terhadap apa-apa perbelanjaan yang dibuat oleh Pelaksana dalam menguruskan peruntukan PERANTIS.
PERBELANJAAN YANG TIDAK DIBENARKAN
Senarai perbelanjaan yang tidak dibenarkan adalah seperti berikut:
Pembelian harta modal atau aset seperti bangunan, komputer, mesin jahit dan sebagainya.
Apa-apa jenis bantuan yang berbentuk wang tunai/ barangan/ baucar/ pinjaman/ biasiswa/ modal perniagaan dan sebagainya.
Sebarang ganti rugi sama ada melibatkan peserta, penceramah, pihak ketiga dan sebagainya.
Bayaran kos operasi berkala bagi organisasi seperti gaji kakitangan, bil utiliti, sewaan, caruman dan lain-lain.
Sebarang perbelanjaan yang melibatkan perkara di atas perlu dipulangkan semula kepada KPWKM.
PEMULANGAN BAKI
Pelaksana perlu memulangkan baki peruntukan yang tidak habis dibelanja atau terdapat perbelanjaan yang tidak dibenarkan atau berlaku pelanggaran syarat dalam tempoh kontrak yang dinyatakan dalam Surat Kelulusan.
Pemulangan baki perlu dilakukan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh surat arahan pemulangan baki diterima oleh Pelaksana.
Sebarang rayuan untuk tidak memulangkan baki peruntukan tidak akan dipertimbangkan.
PELANGGARAN SYARAT
Notis Mungkir akan dikeluarkan kepada Pelaksana yang didapati telah melanggar syarat-syarat dan terma yang telah ditetapkan seperti yang terkandung dalam Surat Kelulusan.
Tindakan yang boleh diambil oleh Kementerian/ Agensi terhadap Pelaksana yang melanggar syarat adalah seperti berikut:
Menamatkan kelulusan dan menarik balik peruntukan;
Menyenarai hitam Pelaksana yang bermasalah; atau
Tindakan perundangan.
Pelaksana perlu memaklumkan tarikh dan jadual pelaksanaan program, tempat dan nama program kepada pihak Urus Setia 30 hari sebelum melaksanakan program bagi tujuan penyelarasan dan pemantauan.
Pelaksana tidak dibenarkan membuat sebarang pindaan terhadap skop pelaksanaan program melainkan dengan kebenaran bertulis daripada pihak Urus Setia.
Pelaksana perlu sentiasa mematuhi terma-terma yang disyaratkan dalam Surat Kelulusan yang telah dimeterai dan garis panduan yang dikemukakan oleh Kementerian ini.
Pelaksana perlu memaklumkan secara bertulis kepada pihak Urus Setia sekiranya terdapat perubahan maklumat perhubungan atau maklumat lain berkaitan Pelaksana bagi memudahkan urusan perhubungan dan pengemaskinian data.
TEMPOH PELAKSANAAN
Pelaksana perlu menyelesaikan program PERANTIS dalam tempoh kontrak iaitu enam (6) bulan atau seperti mana dinyatakan dalam Surat Kelulusan. Pelaksana perlu memulangkan semula peruntukan sekiranya tidak berjaya melaksanakan program dalam tempoh tersebut.
KAEDAH PELAKSANAAN
Program PERANTIS boleh dilaksanakan sama ada dalam bentuk kursus, bengkel, latihan, bimbingan, pementoran, khidmat nasihat, rundingan, bimbingan kelompok, komuniti sokongan dan lain-lain kaedah yang bersesuaian, efektif dan efisien.
PEMILIHAN PESERTA (PERANTIS)
Pemilihan Perantis akan dibuat oleh pihak Urus Setia atau Pelaksana (dengan pemantauan pihak Urus Setia). Jumlah Perantis bagi setiap program tertakluk kepada jenis dan kaedah program yang akan dilaksanakan.
PENGIKTIRAFAN KEPADA KERAJAAN
Pelaksana perlu memberi pengiktirafan kepada Kerajaan dengan menyatakan bahawa program tersebut adalah anjuran bersama KPWKM. Antara bentuk pengiktirafan adalah seperti berikut:
Menyediakan sijil penyertaan kepada peserta mengikut format yang telah ditetapkan oleh Kementerian.
Memaparkan logo KPWKM dalam bahan media seperti backdrop/ banner/ bunting.
Pelaksana perlu membenarkan Kerajaan pada bila-bila masa yang sesuai untuk melakukan pemantauan/ naziran terhadap pelaksanaan program dan penggunaan geran PERANTIS.
Kerajaan mempunyai hak memantau perkembangan dan perjalanan program bagi memastikan penerima tidak menyalahgunakan peruntukan tersebut.
Sebarang ketidakpatuhan terhadap mana-mana ketetapan boleh dikategorikan sebagai pelanggaran syarat dan boleh diambil tindakan undang-undang.
LAPORAN PEMANTAUAN PROGRAM
Pelaksanaan program akan dipantau dan dinilai oleh pihak Urus Setia serta Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN) daripada semasa ke semasa. Dapatan daripada pemantauan ini akan disertakan dalam Laporan Pemantauan Program.
LAPORAN PELAKSANAAN PROGRAM
Adalah menjadi tanggungjawab Pelaksana untuk mengemukakan Laporan Pelaksanaan Program (LPP) kepada pihak Urus Setia.
Setiap Pelaksana dikehendaki mengemukakan LPP dalam tempoh 30 hari selepas program tersebut berakhir.
Penerima yang tidak mengemukakan LPP akan dianggap TELAH GAGAL melaksanakan program seperti yang dipersetujui dalam Surat Kelulusan serta perlu memulangkan semula peruntukan yang telah diterima.
Laporan perlu disediakan dalam Bahasa Malaysia dan dikemukakan bersama-sama dokumen sokongan.
Senarai dokumen yang diperlukan dalam Laporan Pelaksanaan Program adalah seperti berikut:
A) Perlu dicetak, ditandatangan dan diimbas dalam format pdf:
B) Salinan perlu diakui sah dan diimbas dalam format pdf:
Penyata akaun bank yang menunjukkan transaksi perbelanjaan peruntukan.
Semua bukti pembayaran seperti resit dan baucar pembayaran.
C) Salinan dokumen dalam bentuk pdf:
Bahan pembelajaran program seperti nota dan slaid.
Resume tenaga pengajar.
Atur cara program.
Gambar pelaksanaan program
Backdrop/ banner/ bunting
Penceramah/ VIP
Peserta
Tempat program
Semua perkara A, B dan C yang dinyatakan perlu diletakkan dalam satu folder, dinamakan (rename) dengan format "LPP - Nama Pelaksana".
Contoh: LPP - Pertubuhan Wanita Hebat
Kemudian folder tersebut dimuat naik melalui Google Drive. Pautan tersebut perlu disertakan dalam borang Laporan Pelaksanaan Program.
Manakala bagi Pelaksana yang mempunyai kekangan untuk menghantar LPP secara dalam talian boleh memuat turun borang LPP di sini dan hantar kepada pihak Urus Setia secara fizikal.
SURAT KUIRI
Surat Kuiri akan dikemukakan kepada Pelaksana sekiranya didapati:
Laporan Pelaksanaan Program tidak lengkap.
Maklumat yang diberikan tidak tepat atau palsu.
Pelaksanaan program tidak menepati skop yang telah dipersetujui dalam Surat Kelulusan.
Terdapat perbelanjaan yang tidak dibenarkan.
Terdapat elemen yang disyaki menjurus kepada pelanggaran syarat.
Surat Kuiri perlu dijawab beserta dengan maklumat yang diperlukan dalam masa 14 hari daripada tarikh penerimaan Surat Kuiri. Sekiranya tiada maklum balas daripada Pelaksana dalam tempoh tersebut, Pelaksana boleh dianggap telah melanggar syarat dan boleh diambil tindakan.
Ketua Pengarah
Jabatan Pembangunan Wanita
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Aras 25, No. 55, Persiaran Perdana
Presint 4, 62100 Putrajaya
(u.p.: Pengarah Bahagian Penilaian, Pemantauan dan Pengurusan Pengetahuan)
Telefon : 038323 1616/ 1618/ 1620/ 1596/ 1265/ 1608/ 1609/ 1610/ 1627/ 1632
Emel : bppp@jpw.gov.my