Adakah dibenarkan untuk melantik beberapa orang tokoh dalam satu program?
Hanya seorang tokoh dibenarkan untuk dilantik sebagai pembimbing yang bertanggungjawab bagi setiap program. Namun tokoh-tokoh atau penceramah lain boleh dijemput untuk sama-sama menjayakan program tersebut.
Apakah yang akan berlaku sekiranya tokoh yang dilantik tidak dapat meneruskan komitmen sehingga selesai program?
Bagi Pelaksana individu, tokoh tersebut perlu memulangkan semula peruntukan yang telah diterima.
Bagi Pelaksana organisasi, perbincangan dan persetujuan antara Pelaksana dan tokoh perlu dicapai sebelum permohonan dibuat. Seeloknya dibuat ikatan secara sah. Namun bagi kes-kes yang tidak dapat dielakkan seperti kematian, kesihatan atau salah laku, Pelaksana boleh memohon kelulusan urus setia untuk penukaran/ penggantian tokoh.
Kami ingin memohon untuk melaksanakan program kemahiran seperti jahitan dan masakan, adakah dibolehkan?
Tidak. Program tersebut lebih berbentuk kemahiran dan keusahawanan. Melainkan terdapat unsur-unsur pembangunan kepimpinan seperti program pembangunan pemimpin-pemimpin atau pemain utama dalam industri jahitan atau masakan dan pengisian modul lebih fokus kepada pembangunan industri itu sendiri. Perlu justifikasi impak yang signifikan.
Saya ingin menyertai program ini sebagai peserta/ perantis. Bagaimana cara untuk memohon?
Buat masa ini permohonan hanya dibuka kepada Pelaksana. Sebarang maklumat berkaitan permohonan sebagai peserta/ perantis akan dikemas kini dari semasa ke semasa melalui saluran media rasmi JPW.
Adakah pelaksanaan PERANTIS ini sama seperti pelaksanaan program di bawah Geran Bantuan Khas Perbendaharaan (BKP)?
Tidak. Syarat kelayakan serta bidang keutamaan kedua-dua inisiatif ini adalah berbeza. PERANTIS terbuka kepada individu (tokoh wanita) dan organisasi. Fokus utama PERANTIS adalah kepada pembangunan kepimpinan wanita dalam pelbagai bidang.
Saya menerima geran BKP dan program masih belum selesai dilaksanakan, adakah saya boleh memohon PERANTIS?
Boleh.
Bagaimana saya ingin mengisi borang bagi permohonan untuk beberapa program dan tokoh di bawah NGO yang sama?
Setiap program/ tokoh perlu isi borang yang berasingan. Pemohon yang ingin mengisi borang juga perlu orang yang berasingan sebagai orang yang bertanggungjawab (PIC) terhadap program tersebut. Ini bagi memudahkan rujukan dan semakan permohonan. No. kad pengenalan pemohon akan digunakan sebagai nombor rujukan permohonan.
Apakah bentuk laporan tahunan yang dimaksudkan di senarai keperluan dokumen?
Laporan tahunan yang mengandungi maklumat aktiviti organisasi.
Saya merupakan pemohon secara individu, apakah maklumat yang perlu diisi pada pautan Google Form permohonan di ruangan 'alamat organisasi didaftarkan'?
Sila isi 'tiada'. Maklumat ini hanya untuk permohonan kategori organisasi.
Bagaimanakah cara untuk saya menyemak status permohonan saya?
Pemohon boleh menyemak status permohonan melalui laman web PERANTIS menerusi ikon 'semakan'.
Status permohonan saya adalah 'gagal', bolehkah saya mohon semula?
Boleh.
Bolehkah saya mengemukakan permohonan secara serahan tangan kepada pihak urus setia?
Semua permohonan hendaklah melalui laman web PERANTIS dan permohonan secara serahan tangan hanya dibenarkan bagi pemohon yang mempunyai masalah yang tidak dapat dielakkan seperti golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Adakah saya perlu mendahulukan duit saya dahulu untuk menjalankan program?
Tidak. Sekiranya permohonan berjaya, pemohon akan menerima peruntukan sebelum program dilaksanakan.
Adakah saya boleh memohon peruntukan ini untuk program kepimpinan yang sedang berjalan sekarang?
Boleh. Namun peruntukan yang diterima hanya dibenarkan untuk perbelanjaan baki program (yang belum dilaksanakan), tidak boleh digunakan untuk perbelanjaan yang telah dilakukan sebelum Surat Kelulusan diterima.
Sekiranya bajet yang yang diperlukan melebihi nilai siling RM50,000, bolehkah saya guna dana daripada sumber lain?
Boleh. Sila sertakan maklumat berkaitan dalam laporan pelaksanaan program.
Saya merupakan pemohon individu dan ingin menggunakan akaun bank bersama, adakah dibenarkan?
Penggunaan akaun bersama adalah tidak dibenarkan. Pemohon digalakkan untuk menggunakan akaun bank berasingan bagi individu dan akaun bank organisasi/ NGO bagi permohonan melalui organisasi/ NGO.
Adakah saya perlu mengemukakan penyata akaun bank bagi bulan terkini sahaja?
Ya. Pemohon perlu mengemukakan penyata akaun bank bagi satu (1) bulan terkini sahaja meliputi maklumat asas akaun.
Adakah saya perlu melaksanakan program selama 6 bulan?
Tempoh pelaksanaan bergantung kepada cadangan yang dikemukakan. Program tersebut mesti selesai dilaksanakan dalam tempoh kontrak (6 bulan).
Apakah bentuk program yang dibenarkan?
Bentuk program bergantung kepada cadangan yang dikemukakan. Tiada syarat tertentu yang ditetapkan. Contoh bentuk program ialah bengkel, latihan, kursus, rundingan, khidmat nasihat, pementoran, komuniti sokongan dan sebagainya.
Berapa jumlah minimum peserta yang diperlukan?
Tiada had jumlah peserta yang ditetapkan.
Program yang akan saya laksanakan melibatkan beberapa siri. Adakah saya perlu menghantar Laporan Pelaksanaan Program (LPP) setiap kali selesai pelaksanaan mengikut siri?
LPP boleh dihantar dalam masa 30 hari selepas selesai melaksanakan keseluruhan program. Pelaksanaan setiap siri boleh digabungkan dalam satu laporan.
Saya memerlukan tempoh melebihi 30 hari bagi melengkapkan LPP dan dokumentasi, adakah saya layak untuk dipertimbang pelanjutan tempoh penghantaran LPP?
Tidak, LPP hendaklah dihantar dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.
Bagi lampiran pembayaran, bolehkah sekiranya saya mengemukakan invois sahaja?
Invois adalah dokumen arahan pembayaran, bukan bukti pembayaran. Namun sekiranya invois tersebut telah dicop 'TELAH DIBAYAR' atau 'PAID', invois tersebut boleh diterima. Dokumen lain sebagai bukti pembayaran ialah resit dan baucar bayaran (bagi penerima yang tidak boleh mengeluarkan resit).