Masyarakat yang maju dikenali dengan kualiti pendidikan yang tinggi. Dalam menghasilkan pendidikan yang cemerlang dalam pelbagai aspek, maka negara perlulah bercermin kepada negara-negara maju seperti Singapura, Ireland, United Kingdom dan Australia. Antara faktor terpenting dalam menghasilkan pendidikan yang berkualiti dan terbaik ialah penggunaan media pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, praktikal dan ceria. Bersesuaian dengan suasana pendidikan abad ke 21 (PAK-21) dimana pembelajaran mestilah memaksimumkan penggunaan deria murid-murid yang ada.
Pemilihan media pengajaran dan pembelajaran yang dapat meransang potensi murid adalah amat penting untuk diberi perhatian. Guru-guru mestilah kreatif untuk menyediakan kit media pengajaran dan pembelajaran yang efektif dan menarik minat. Media pengajaran merupakan domain utama dalam bidang teknologi pengajaran. Media pengajaran ialah segala sesuatu yang dapat digunakan untuk menyalurkan pesanan daripada pengirim kepada penerima sehingga dapat merangsang fikiran, perasaan, perhatian, minat seterusnya terjadinya proses pembelajaran yang bermakna.