Nabi Muhammad SAW adalah rasul terakhir dan perutusan baginda SAW sebagai pelengkap menyempurnakan semua ajaran rasul sebelum ini. Keunggulan Rasulullah SAW menzahirkan rasa cinta mendalam menjadi contoh teladan dalam setiap aspek kehidupan kerana baginda SAW merupakan qudwah hasanah. Mencintai Rasulullah SAW adalah cara mendapat kesempurnaan iman. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Seseorang tidaklah beriman (dengan sempurna) sehingga saya lebih dicintainya berbanding anak dan ibu bapanya serta manusia lain keseluruhannya."
(Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW merupakan seorang yang paling baik penampilan, tingkah laku dan pergaulan, amat lembut tapak tangan, amat harum baunya serta paling takut kepada Allah SWT. Akhlak baginda adalah al-Quran, sangat merendah diri, sangat pemalu, berlembut kepada yang lemah dan sangat pemurah terutamanya pada bulan Ramadan.
Saidatina Aisyah RA berkata:
فَإِنَّ خُلُقَ نَبِيِّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ كَانَ القُرآنَ
Maksudnya: Sesungguhnya akhlak Nabi SAW itu adalah al-Quran.
(Riwayat Muslim)
Al-Amanah bermaksud menunaikan segala yang dipertanggungjawabkan, sama ada harta, masa, rahsia, atau tugas. Teladan Baginda terbukti apabila Baginda memastikan segala harta amanah orang Musyrikin Quraisy dikembalikan kepada pemiliknya sebelum Baginda berhijrah.
Dalam aplikasi harian, kita mestilah sentiasa menepati masa dan tarikh akhir (dateline) serta menunjukkan prestasi cemerlang dalam pekerjaan atau pelajaran sebagai bukti integriti. Selain itu, amanah terhadap harta awam atau pejabat juga penting; kita dilarang menyalahgunakan sebarang kemudahan atau sumber yang bukan milik peribadi.
Kesabaran dan kemaafan Baginda SAW adalah luar biasa, di mana Baginda membalas kejahatan dengan kebaikan. Contohnya, Baginda tetap bersabar ketika dicaci dan dibaling batu di Taif hingga berdarah, Baginda hanya mendoakan kebaikan untuk mereka. Sifat pemaaf ini juga mengatasi segala rasa marah atau dendam, seperti yang ditunjukkan ketika penaklukan Kota Makkah.
Dalam kehidupan kita, apabila menghadapi ujian, kita perlu melatih diri untuk bersangka baik (Husnuzon) kepada Allah SWT dan mengelakkan keluhan yang berlebihan. Dalam interaksi sosial, kita perlu mengamalkan kawalan emosi yang tinggi, menahan amarah ketika dicaci, dan sentiasa memaafkan kesalahan orang lain sebelum tidur untuk membersihkan hati daripada sebarang kekusutan.
Tawaduk adalah cerminan Baginda yang merupakan pemimpin negara tetapi menjalani kehidupan yang sangat sederhana, tidak suka dihormati secara berlebihan, dan melayan semua orang tanpa memilih bulu.
Aplikasi di rumah yang paling baik ialah tidak segan membantu isteri dalam urusan rumah tangga, seperti menjemur pakaian atau mengemas. Di tempat awam, kita perlu sentiasa memberi salam terlebih dahulu, bergaul secara hormat dengan semua lapisan masyarakat, dan menjauhi sikap sombong atau menunjuk-nunjuk, kerana kebaikan sejati terpancar melalui kerendahan hati.
Mencontohi sunnah Baginda SAW tidaklah sukar; ia bermula dengan perubahan kecil dalam rutin harian kita. Sunnah ini boleh dibahagikan mengikut waktu dan interaksi, menjadikannya panduan yang mudah diikuti oleh setiap individu.
Waktu pagi adalah asas permulaan hari yang berkat. Baginda SAW mengajarkan kita untuk segera bersugi atau memberus gigi selepas bangun dan berwuduk sebagai persiapan. Ketika berpakaian, kita disunatkan untuk memulakan dengan anggota badan kanan (memakai baju, seluar, atau kasut) sambil membaca doa. Apabila keluar rumah, kita diingatkan untuk membaca doa keluar rumah yang memohon perlindungan dan tawakal. Semua amalan ini bertujuan untuk memastikan setiap langkah kita bermula dengan kesedaran dan ketaatan kepada Allah SWT.
Sepanjang hari, sunnah Baginda SAW banyak tertumpu pada interaksi yang positif. Sunnah utama dalam pergaulan adalah memberi Salam terlebih dahulu kepada sesiapa sahaja yang ditemui, dan menjadikan senyuman sebagai sedekah. Dalam berbicara, kita harus berwajah manis, bercakap dengan nada yang lembut, dan mendengar orang lain tanpa memotong kata-kata mereka. Bagi amalan ibadah, Baginda menekankan kepentingan menjaga Solat Sunat Rawatib (solat sunat sebelum dan selepas solat fardu) bagi melengkapi kekurangan solat fardu.
Malam adalah waktu untuk berehat dan mengakhiri hari dengan baik. Dalam adab makan, Baginda SAW mengajar kita untuk makan dengan tangan kanan, menggunakan tiga jari, tidak mencela makanan, dan mengelakkan makan berlebihan. Sebelum tidur, sunnah yang amat ditekankan adalah berwuduk, mengibaskan tilam sebanyak tiga kali, dan tidur mengiring di sebelah kanan. Jangan lupa untuk membaca Ayatul Kursi dan tiga surah Qul (Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Nas) sebagai amalan zikir dan perlindungan sebelum memejamkan mata.
Sunnah yang paling penting adalah berbuat baik kepada ahli keluarga. Baginda SAW bersabda bahawa sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik kepada isterinya. Ini bermaksud melayan pasangan dengan penuh kasih sayang, meluangkan masa untuk berbual mesra, dan menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak (seperti mencium atau mendukung cucu Baginda). Sunnah ini memastikan rumah kita menjadi syurga kecil yang dipenuhi rahmat dan ketenangan.
Walaupun pengemis itu sering mencaci maki dan memfitnah Baginda di khalayak ramai. Namun, setiap pagi, Baginda SAW akan datang menyuap makanan kepada pengemis itu dengan penuh kelembutan, tanpa mendedahkan identiti Baginda. Apabila Baginda SAW wafat, Saidina Abu Bakar RA meneruskan amalan mulia ini. Pengemis itu terkejut dan bertanya mengapa layanan hari ini berbeza. Apabila beliau diberitahu bahawa orang yang menyuapnya sebelum ini adalah Nabi Muhammad SAW (yang sering dicacinya), pengemis itu terus menangis dan mengucap syahadah.
Kisah ini mengajarkan kita bahawa kasih sayang, kesabaran, dan membalas kejahatan dengan kebaikan adalah senjata dakwah yang paling ampuh, dan ia adalah cerminan hakikat bahawa Baginda diutuskan sebagai rahmat untuk sekalian alam.
Hakikat cinta kita kepada Rasulullah SAW bukanlah sekadar laungan selawat, tetapi terletak pada usaha gigih untuk mencontohi akhlak dan sunnah Baginda dalam setiap aspek kehidupan. Jangan kita menjadi Muslim yang cemerlang dalam ibadah wajib (hablumminallah) tetapi lemah dalam interaksi dan pergaulan (hablumminannas).
Ingatlah, akhlak adalah cerminan kesempurnaan iman. Marilah kita bermula dengan langkah kecil: amalkan satu sunnah baru atau perbaiki satu sifat akhlak kita setiap hari. Dengan menjadikan Baginda SAW sebagai panduan hidup, kita berharap dapat beroleh syafaat Baginda di Akhirat kelak dan mencapai darjat Muslim Kamil (Muslim yang sempurna).