Akidah merupakan asas terpenting dalam kehidupan seorang Muslim. Ia bermaksud kepercayaan yang teguh tanpa keraguan terhadap perkara-perkara ghaib yang ditetapkan oleh Allah SWT. Akidah yang benar akan memandu setiap amalan dan menentukan kualiti akhlak seorang Muslim.
Firman Allah SWT dalam surah Muhammad, ayat 19:
فَٱعْلَمْ أَنَّهُۥ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَٱسْتَغْفِرْ لِذَنۢبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتِ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مُتَقَلَّبَكُمْ وَمَثْوَىٰكُمْ
Maksudnya: "Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat)."
Rukun Iman merupakan asas atau tunjang di dalam akidah. Oleh yang demikian, rukun iman mempunyai prinsip-prinsip tertentu yang perlu difahami, dihayati, diyakini dengan pasti dan seterusnya melaksanakan apa yang diperintahkan. Rukun Iman terbahagi kepada enam perkara iaitu:
DALIL RUKUN IMAN
Orang-orang beriman sudah tentu akan beramal, tetapi orang beramal belum tentu lagi beriman. Dan orang yang langsung tidak beramal semakin lemah imannya atau langsung tiada iman. Sebab itu Allah SWT sering mengingatkan bahawa amalan yang akan diterima Allah SWT hanyalah amalan orang-orang yang beriman. Firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya' ayat 94:
فَمَن يَعْمَلْ مِنَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَهُوَ مُؤْمِنٌۭ فَلَا كُفْرَانَ لِسَعْيِهِۦ وَإِنَّا لَهُۥ كَـٰتِبُونَ
Maksudnya: "Maka barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, sedang ia beriman, maka tidak ada pengingkaran terhadap amalannya itu dan sesungguhnya Kami mencatatnya untuknya" .
Berdasarkan firman Allah SWT diatas, dapat disimpulkan bahawa akidah merupakan asas yang menjadi tunjang kepada setiap amal ibadah. Sekiranya akidah tidak dibina dengan benar, maka ibadah seperti solat hanya akan menjadi pergerakan zahir semata-mata tanpa roh penghayatan. Namun, apabila akidah diperkukuh, solat dan amalan lain akan terlaksana dengan penuh penghayatan serta mampu melahirkan ketenangan jiwa dan kekuatan rohani.
Ingatlah, "Hati yang tenang lahir daripada akidah yang kukuh".