APA ITU MAJLIS SULH?
Majlis Sulh merupakan perbincangan antara pihak-pihak yang bertikai dalam tuntutan kes di Mahkamah Syariah. Majlis Sulh diketuai oleh seorang Pegawai Sulh yang akan memimpin sesi perbincangan. Apabila terdapat persetujuan bersama dalam tuntutan kes, maka persetujuan bersama tersebut akan direkodkan sebagai Penghakiman Persetujuan dan pihak-pihak tidak akan melalui proses perbicaraan kes.
APA TUNTUTAN KES YANG MELIBATKAN MAJLIS SULH?
Tidak semua kes yang difailkan dan didaftarkan di Mahkamah Syariah akan melalui proses Majlis Sulh. Hanya kes-kes tertentu sahaja antaranya seperti berikut :
Tuntutan gantirugi pertunangan/melanggar janji untuk berkahwin.
Tuntutan yang berbangkit dari perceraian seperti :
Tuntutan Hak Jagaan Anak
Tuntutan Ubah Perintah/Perjanjian Hak Jagaan Anak
Tuntutan Harta Sepencarian (Cerai Hidup/Cerai Mati/ Berpoligami)
Tuntutan Nafkah Anak
Tuntutan Ubah Perintah/Perjanjian Nafkah Anak
Tuntutan Tunggakan Nafkah Anak
Tuntutan Nafkah Iddah
Tuntutan Tunggakan Nafkah IsteriĀ
Tuntutan Muta'ah
Kes-kes lain yang munasabah
ADAKAH KES YANG MEMPUNYAI DOKUMEN PERJANJIAN PENYELESAIAN SEMASA PENDAFTARAN KES PERLU MELALUI PROSES MAJLIS SULH?
Tidak perlu, pihak Mahkamah akan meneliti dokumen perjanjian penyelesaian tersebut dan akan menetapkan satu tarikh di hadapan Hakim untuk merekodkan dokumen perjanjian penyelesaian tersebut sebagai perintah Mahkamah. Ini selari dengan Arahan Amalan Mahkamah Syariah No. 2 Tahun 2012 yang sedang berkuatkuasa.
ADAKAH PERJANJIAN PENYELESAIAN BOLEH DIREKODKAN PADA MANA-MANA PERINGKAT PROSIDING DI MAHKAMAH?
Ya, boleh berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 99 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukan :
Pihak-pihak dalam apa-apa prosiding boleh, pada mana-mana peringkat prosiding itu, mengadakan sulh bagi menyelesaikan pertikaian mereka mengikut apa-apa kaedah sebagaimana yang ditetapkan atau, jika tiada kaedah sedemikian, mengikut Hukum Syarak.
ADAKAH PEGUAM SYARIE YANG MEWAKILI BOLEH MELIBATKAN DIRI DALAM MAJLIS SULH?
Tidak boleh kerana pihak-pihak perlu hadir sendiri dan tiada Peguam Syarie boleh hadir bagi sesuatu pihak dalam majlis sulh. Ini berdasarkan kepada Kaedah-Kaedah Tatacara Mal (Sulh) yang menyatakan :
Dalam Majlis Sulh, pihak-pihak hendaklah hadir sendiri dan tiada Peguam Syarie boleh hadir bagi sesuatu pihak dan tiada sesuatu pihak boleh diwakili oleh seorang lain tanpa kebenaran Pengerusi.