Penilaian MPCCSustAWARD21 adalah bersandarkan kepada kriteria - kriteria tertentu dan penilaian oleh juri-juri yang bertauliah yang berkaitan dengan bidang kepakarannya. Kategori anugerah yang dipertandingkan adalah Anugerah SmartGreen PolyCC 2021, Pertandingan Penjimatan Tenaga Elektrik PolyCC 2021, dan juga Anugerah iKON Hijau PolyCC 2021. Bagi anugerah tersebut, setiap penjurian dalam penilaian pencapaian program/aktiviti perlu diberi pertimbangkan dengan pemberat yang sesuai secara keseluruhan. Setiap pemberat akan dikaitkan dengan kategori yang telah dikenalpasti terlebih dahulu. Template laporan akan dibangunkan berdasarkan kepada setiap item penilaian dan rubrik pemarkahan.
Pengiktirafan yang diberi adalah seperti berikut :
Anugerah SmartGreen PolyCC 2021
Penilaian kemampanan institusi bagi anugerah yang dipertandingkan dalam SmartGreen Polytechnic & College Community (Anugerah SmartGreen PolyCC 2021) secara keseluruhannya akan disemak mengikut garis panduan dalam Blueprint SmartGreen PolyCC 2021-2026 (BSGPC). Pegawai Penilai yang bertauliah akan menjalankan penilaian dengan lebih terperinci menggunakan kriteria dan elemen senarai semak yang dibangunakan berdasarkan tujuh bidang tumpuan BSGPC.
Pertandingan Penjimatan Tenaga Elektrik PolyCC 2021
Pertandingan Penjimatan Tenaga Elektrik Politeknik dan Kolej Komuniti diadakan dengan tujuan membudayakan kehidupan cekap tenaga elektrik (electrical energy efficient) dalam kalangan warga Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia bagi memastikan tenaga elektrik dapat digunakan sebaiknya; mendidik dan memupuk budaya menjimatkan penggunaan tenaga elektrik di tempat kerja dan kehidupan harian; dan juga memberi kesedaran kepada warga Politeknik dan Kolej Komuniti mengenai kesan penjimatan tenaga elektrik kepada alam sekitar. Penilaian pertandingan ini adalah berdasarkan pembuktian ringkasan pencapaian yang dilampirkan bersama seperti salinan bil elektrik, penubuhan jawatankuasa berkaitan penjimatan tenaga elektrik, latihan/aktiviti promosi dalaman, lawatan penanda arasan, amalan baik yang dilaksanakan, penggunaan peralatan/produk/teknologi hijau dalam polisi penjimatan tenaga elektrik dan pengiktirafan serta kejayaan yang diperolehi. Seramai 3 orang Panel yang pakar dalam bidang akan dilantik dalam sesi penilaian ini.
Anugerah iKON Hijau PolyCC 2021
iKON Hijau Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia adalah pengiktirafan yang diberi kepada Politeknik, Kolej Komuniti mahupun individu yang aktif dalam melaksanakan pelbagai kegiatan dan aktiviti berteraskan elemen hijau. Penilaian anugerah ini adalah berdasarkan pembuktian ringkasan pencapaian yang dilampirkan bersama seperti salinan sijil, surat dan gambar-gambar aktiviti berkaitan yang menunjukkan penglibatan institusi/calon dari segi peringkat penganjuran atau penyertaan, kategori penglibatan, kejayaan dan pengiktirafan yang diperolehi. Contoh aktiviti/program seperti promosi jimat tenaga, penanaman pokok, program 3R, seminar, ceramah, penyelidikan inovasi dalam bidang teknologi hijau dan lain-lain. Seramai 3 orang Panel yang pakar dalam bidang akan dilantik dalam sesi penilaian ini.