Dalam konteks pendidikan di Malaysia, mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid yang merupakan penutur natif bahasa Melayu iaitu mereka yang telah menguasai kemahiran mendengar dan bertutur dalam Bahasa Melayu, disebut pembelajaran bahasa pertama. Namun, mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid bukan Melayu seperti Cina, India, Kadazan, Bajau, Iban, Dusun, Bajau dan lain-lain dianggap sebagai mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua.
Sekiranya mengajar bahasa Melayu sebagai bahasa pertama, fokus pembelajaran adalah proses pemerkayaan bahasa. Berbeza dengan mengajar Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua, fokus pembelajaran adalah proses pembentukan tabiat berbahasa. Proses pembentukan tabiat berbahasa ini merujuk kepada pembinaan kemahiran baru dalam bahasa kedua. Jadi, tidak hairanlah jika murid bukan penutur natif khasnya di sekolah rendah sering kali berhadapan dengan masalah untuk menguasai bahasa Melayu. Antara yang paling menjadi tumpuan adalah, masalah yang dihadapi oleh murid bukan penutur natif dalam penulisan karangan.
Masih terdapat banyak kelemahan murid bukan penutur natif dalam aspek penulisan karangan, antaranya (i) tidak menguasai format karangan dengan baik, (ii) tidak dapat menjana idea sebelum dan semasa menulis karangan, (iii) struktur ayat yang kurang tepat dan (iv) tidak menguasai kemahiran untuk menyemak dan mengedit karangan sendiri sebelum menghantar karangan kepada guru. Kelemahan ini perlu diatasi, agar murid dapat menguasai kemahiran menulis karangan dengan betul.
Sesebuah karangan yang lengkap mestilah mempunyai perenggan pendahuluan, perenggan isi penting dan perenggan penutup. Manakala, karangan cemerlang mempunyai ciri-ciri seperti, (i) mengemukakan lebih daripada tiga isi dengan baik dan cemerlang, (ii) pengolahan isi serta penyampaian yang menarik, (iii) laras bahasa yang baik, (iv) olahan ayat yang baik serta gramatis, dan (v) menggunakan pelbagai kosa kata yang meluas sesuai dengan kehendak tajuk. Bagi karangan yang berformat, format karangan yang ditulis mestilah betul dan tepat.
Oleh sebab itu, bagi meminimumkan masalah yang dihadapi oleh murid bukan penutur natif dalam penulisan karangan, satu modul penulisan karangan direka bentuk dan dibangunkan khusus untuk murid bukan penutur natif. Modul ini dikenali sebagai Modul Mengarang ATAS-K. Modul ini dibangunkan dengan mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak yang terlibat dalam proses PdP karangan murid bukan penutur natif.