ATAS-K merujuk kepada Ayat Topik (AT), Ayat Sokongan (AS) dan Ayat Kesimpulan (-K). Ketiga-tiga ayat ini merupakan asas utama dalam pembinaan sesuatu perenggan yang baik untuk menghasilkan satu karangan lengkap dan teratur. Atas sebab itu, ATAS-K diberi penekanan dalam modul ini dalam semua aspek pemerengganan karangan, iaitu perenggan pendahuluan, perenggan isi penting dan perenggan penutup.
Modul ini dibahagikan kepada lima bab yang mempunyai kesinambungan antara satu sama lain. Bab 1: Proses Menulis Karangan, menerangkan tentang fasa-fasa dalam menulis karangan. Terdapat empat fasa dalam proses menulis karangan yang perlu dikuasai oleh murid, iaitu fasa persediaan, fasa penjanaan idea, fasa penulisan karangan dan fasa penyemakan karangan. Manakala, fasa penilaian turut diterangkan dalam bab ini dan kaitannya dengan keempat-empat fasa tersebut.
Bab 2: Persediaan merupakan fasa pertama dalam proses penulisan karangan. Fasa persedian akan menyediakan murid dengan beberapa perkara asas dalam penulisan karangan sebelum mula menulis. Antara perkara yang perlu dikuasai oleh murid dalam fasa ini adalah, tanda baca, struktur asas karangan, binaan asas perenggan (ATAS-K), penulisan perenggan pendahuluan, perenggan isi penting, perenggan penutup dan penanda wacana.
Manakala, fasa penjanaan idea dan fasa penulisan karangan digabungkan dalam Bab 3: Penjanaan Idea & Penulisan Karangan. Dalam fasa penjanaan idea, murid terlebih dahulu diperkenalkan kepada jenis-jenis karangan termasuk format dan cara menulis format dengan betul. Seterusnya, murid juga akan menguasai aspek penjanaan idea (menyenaraikan isi penting) dan melengkapkan rangka karangan. Akhir sekali, murid akan menulis karangan berdasarkan tajuk sama seperti dalam fasa penjanaan idea.
Bab 4: Penyemakan Karangan adalah fasa terakhir dalam proses menulis karangan. Dalam fasa ini, murid akan menguasai kemahiran atau cara untuk menyemak, mengedit dan membetulkan karangan mereka sendiri sebelum diserahkan kepada guru untuk proses penilaian. Formula Pilih, Ubah, Buang, Ganti (P.U.B.G) akan diperkenalkan kepada murid untuk memudahkan mereka menyemak karangan sendiri.
Bab 5: Penilaian merupakan fasa yang hanya melibatkan guru sahaja. Proses penilaian akan berlaku selepas pembelajaran keempat-empat fasa yang awal. Rubrik penilaian disediakan sebagai rujukan dan panduan guru dalam menentukan tahap penguasaan murid. Tahap penguasaan murid ditetapkan pada empat tahap, iaitu cemerlang, baik, sederhana dan minimum.
Kesimpulannya, modul ini diharapkan mampu memberi impak yang berbeza terhadap tahap penguasaan murid bukan penutur natif dalam penulisan karangan. Modul yang direka bentuk dan dibangunkan berdasarkan data analisis keperluan yang empirikal ini sesuai digunakan oleh murid (dengan bimbingan guru) atau digunakan oleh guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran khususnya di dalam bilik darjah.